Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengugut untuk menyaman The Wall Street Journal selepas akhbar itu menerbitkan laporan mengenai dakwaan surat berunsur lucah yang kononnya ditulis olehnya kepada mendiang ahli kewangan penuh kontroversi, Jeffrey Epstein.
Laporan WSJ yang pantas mencetuskan kontroversi di ibu negara AS pada Khamis itu mendakwa surat kepada Epstein yang ditandatangani Trump merupakan sebahagian daripada koleksi ucapan ulang tahun kelahiran ke-50 Epstein pada tahun 2003.
Akhbar itu menyatakan mereka telah menyemak surat tersebut tetapi tidak menyiarkan imejnya.
Menurut laporan itu, Ghislaine Maxwell, pasangan Epstein, sedang menyediakan hadiah istimewa untuk ulang tahun tersebut dan menghubungi keluarga serta rakan-rakan Epstein. Salah seorang daripadanya ialah Donald Trump.
Maxwell mengumpul surat daripada Trump dan puluhan kenalan Epstein untuk dimuatkan dalam sebuah album ulang tahun kelahirannya pada 2003, menurut dokumen yang diteliti oleh The Wall Street Journal.
Beberapa halaman album itu — yang disusun sebelum Epstein ditahan untuk pertama kali pada 2006 — merupakan antara dokumen yang disemak oleh pegawai Jabatan Kehakiman AS ketika menyiasat Epstein dan Maxwell beberapa tahun lalu, menurut individu yang pernah melihat halaman tersebut, seperti dilaporkan WSJ.
Surat palsu?
Trump menyelar akhbar itu menerusi hantaran di platform Truth Social: “The Wall Street Journal dan Rupert Murdoch secara peribadi telah diberi amaran oleh Presiden Donald J. Trump bahawa surat yang kononnya ditulis olehnya kepada Epstein adalah PALSU, dan sekiranya ia diterbitkan, mereka akan disaman.”
Trump menambah: “Encik Murdoch menyatakan bahawa beliau akan menanganinya, tetapi jelas tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian. Editor The Wall Street Journal, Emma Tucker, telah diberitahu sendiri oleh Karoline Leavitt dan juga oleh Presiden Trump bahawa surat itu PALSU, tetapi Emma Tucker enggan mendengarnya. Sebaliknya, mereka tetap menerbitkan cerita yang palsu, berniat jahat, dan memfitnah. Presiden Trump akan menyaman The Wall Street Journal, NewsCorp, dan Encik Murdoch dalam masa terdekat.”
“Akhbar perlu belajar untuk bercakap benar dan tidak bergantung pada sumber yang mungkin langsung tidak wujud,” kata Trump.