Kerajaan bayangan Myanmar mendakwa satu serangan udara oleh pihak junta pemerintah telah meragut sekurang-kurangnya 17 nyawa pelajar dan mencederakan 20 yang lain di sebuah sekolah yang terletak di kawasan yang dikuasai pihak pembangkang pada Isnin.
Kejadian berlaku ketika gencatan senjata sedang berkuat kuasa susulan gempa bumi yang dahsyat baru-baru ini.
Sekolah berkenaan, yang dikendalikan oleh kerajaan bayangan National Unity Government (NUG), terletak di bandar Depayin di tengah Myanmar, dalam wilayah Sagaing — kira-kira 160 km di utara Mandalay dan tidak jauh dari pusat gempa yang berlaku pada 28 Mac.
“Berdasarkan maklumat yang kami terima setakat ini, 17 pelajar telah terbunuh dan 20 lagi cedera,” kata jurucakap NUG, Nay Phone Latt.
“Ada kemungkinan terdapat mangsa yang masih hilang akibat kemusnahan bom, jadi jumlah kematian mungkin lebih tinggi,” tambahnya.
Tentera Myanmar kini berdepan kesukaran untuk mentadbir dan telah kehilangan banyak kawasan dalam usaha mengekang pemberontakan oleh pihak tentera etnik minoriti dan gerakan penentangan yang bersekutu dengan NUG.
Jurucakap junta enggan mengulas semasa dihubungi Reuters.
Minggu lalu, pihak junta mengumumkan lanjutan gencatan senjata pasca gempa bumi sehingga 31 Mei.
Gencatan senjata itu diumumkan pada awal April, beberapa hari selepas gempa bumi berlaku, sebagai langkah menyokong usaha bantuan kemanusiaan.
Walaupun pengumuman gencatan senjata telah dibuat, serangan udara dan tembakan artileri oleh pihak tentera masih berterusan di beberapa kawasan di Myanmar.
NUG terdiri daripada sisa-sisa pentadbiran pilihan raya yang digulingkan oleh pihak tentera dalam rampasan kuasa, bersama kumpulan penentang lain yang menentang pemerintahan junta.
SUMBER: AA