Perintis sukan ekstrem, Felix Baumgartner — yang terkenal dengan terjunan dari pinggir angkasa pada 2012 — maut pada Khamis dalam satu nahas paragliding di Itali, menurut polis tempatan. Beliau berusia 56 tahun.
Baumgartner hilang kawalan terhadap paragliding bermotor yang dipandunya ketika terbang di kawasan Porto Sant’Elpidio di wilayah Marche, tengah Itali, dan terhempas berhampiran kolam renang sebuah hotel. Punca kemalangan masih belum diketahui.
Datuk Bandar Porto Sant’Elpidio, Massimiliano Ciarpella, berkata laporan awal menunjukkan Baumgartner mungkin mengalami masalah kesihatan secara tiba-tiba ketika berada di udara. Beliau menyampaikan ucapan takziah atas pemergian “seorang simbol keberanian dan semangat terhadap penerbangan ekstrem.”
Penerjun pertama yang pecah halangan bunyi
Baumgartner menjadi buah mulut dunia pada Oktober 2012 apabila beliau, dengan memakai sut khas, terjun dari belon udara panas pada ketinggian 38 kilometer dari permukaan Bumi — menjadikannya penerjun udara pertama yang memecah halangan bunyi, yang biasanya dicatat pada lebih 1,100 kilometer sejam.
Terjunan bersejarah itu dilakukan di ruang udara Roswell, New Mexico, dengan kelajuan maksimum melebihi 1,343 kilometer sejam, bertepatan dengan ulang tahun ke-65 penerbangan juruterbang legenda AS Chuck Yeager yang memecah halangan bunyi pada 14 Oktober 1947.
Baumgartner mula terlibat dalam aktiviti terjun udara sejak remaja sebelum menceburi sukan ekstrem seperti BASE jumping.
Kerjaya panjangnya dalam aksi terjunan berani mati termasuk terjunan merentasi Selat Inggeris dan terjunan dari Menara Berkembar Petronas di Malaysia.