Tentera penceroboh Israel telah menyasarkan sebuah gereja Katolik di utara Gaza, mengorbankan sekurang-kurangnya tiga rakyat Palestin dan mencederakan 10 yang lain, dengan Latin Patriarchate of Jerusalem menyatakan bahawa tentera Israel ketika itu sedar ia sedang menyasarkan “gereja secara langsung.”
Kardinal Pierbattista Pizzaballa menyuarakan keraguan bahawa serangan itu adalah satu “kesilapan”, seperti yang didakwa oleh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dalam panggilan telefon bersama Presiden AS Donald Trump.
“Apa yang kami tahu dengan pasti ialah sebuah kereta kebal — tentera Israel kata ia satu kesilapan, tetapi kami tidak pasti. Mereka menyasarkan gereja secara langsung,” kata Pizzaballa kepada Vatican News.
Di tengah-tengah kemarahan antarabangsa, Israel menyifatkan serangan ke atas gereja di Gaza itu sebagai “kesilapan.”
Namun ia bukan kes terpencil. Israel telah beberapa kali menyerang gereja di Gaza sejak memulakan pembunuhan beramai-ramai di wilayah bergolak itu.
Berikut ialah garis masa serangan Israel terhadap beberapa gereja di Gaza sejak 2023:
19 Oktober 2023:
Gereja Saint Porphyrius, Bandar Gaza: Israel mengebom sebuah bangunan dalam kompleks Gereja Saint Porphyrius, satu tempat di mana kira-kira 400–500 pelarian Palestin Muslim dan Kristian berlindung. Serangan itu membunuh sekurang-kurangnya 18 orang, termasuk beberapa kanak-kanak, dan mencederakan ramai lagi. Greek Orthodox Patriarchate of Jerusalem mengutuk serangan itu sebagai jenayah perang. Tentera Israel mendakwa gereja itu bukan sasaran utama mereka.
17 Oktober 2023:
Hospital Arab Al-Ahli (kompleks Gereja Baptist), Gaza: Israel menyasarkan kawasan halaman Hospital Arab Al-Ahli, yang merupakan sebahagian daripada kompleks Gereja Baptist, tempat perlindungan orang awam yang dipindahkan. Hampir 500 orang terbunuh, termasuk pesakit dan pelarian. Serangan itu menerima kecaman antarabangsa yang meluas, dengan kumpulan hak asasi menyatakan ia melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang melindungi infrastruktur awam, termasuk tapak keagamaan.
17 Julai 2025:
Gereja Holy Family, Gaza: Israel menyasarkan Gereja Katolik Holy Family di kawasan Zeitoun, Bandar Gaza — satu-satunya gereja Katolik di Gaza. Serangan itu membunuh tiga orang: Saad Salameh (60 tahun, penjaga gereja), Fumayya Ayyad (84 tahun) dan Najwa Abu Daoud (69 tahun). Beberapa yang lain turut cedera, termasuk paderi Father Gabriel Romanelli, yang mengalami kecederaan di kaki dan dirawat di Hospital Baptist Al-Ahli. Latin Patriarchate of Jerusalem melaporkan kerosakan teruk pada gereja itu, dan Paus Leo XIV menggesa gencatan senjata serta-merta.
Gaza majoritinya dihuni umat Islam, dengan kira-kira 1,000 penganut Kristian — kebanyakannya Greek Orthodox — menurut laporan Jabatan Negara AS.
Populasi Kristian di Palestin telah berkurangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerana ramai berhijrah akibat konflik atau mencari peluang di luar negara.
Pemimpin Kristian kerap mengutuk serangan oleh pendatang haram Israel, pelampau Yahudi dan tentera Israel.
Selain gereja, Israel juga telah memusnahkan puluhan masjid sepanjang pembunuhan beramai-ramai itu, menurut pemantauan Euro-Med Human Rights Monitor.