Presiden Perancis telah membalas apa yang disebut sebagai kempen maklumat palsu terancang melibatkan video viral yang mencetuskan tuduhan bahawa Presiden Emmanuel Macron menyembunyikan beg kokain ketika menaiki kereta api ke Ukraine.
"Apabila perpaduan Eropah menjadi tidak menyenangkan, maklumat plasu sanggup menjadikan tisu biasa kelihatan seperti dadah," kata Istana Elysee di X pada hari Ahad, mengecam tuduhan tersebut.
Catatan itu merujuk kepada klip pendek yang disiarkan di media sosial menunjukkan Macron bersama Canselor Jerman Friedrich Merz dan Perdana Menteri Britain Keir Starmer di dalam kabin kereta api dalam perjalanan malam dari Poland ke Ukraine.
Netizen membuat spekulasi bahawa Macron menyembunyikan beg serbuk putih dengan tangannya ketika kamera memasuki kabin, sambil mendakwa Merz kelihatan memegang sudu kokain.
Pegawai Perancis menjelaskan bahawa objek yang dipegang Macron sama sekali tidak berbahaya, hanyalah tisu yang digulung menjadi bebola, dan mengatakan video itu sengaja disalah tafsir untuk menggalakkan ketidakpercayaan awam.
Media Perancis juga menolak dakwaan itu, menyatakan Merz hanya memegang sudu minuman biasa.
"Berita palsu ini disebarkan oleh musuh Perancis, baik di luar maupun dalam negara," tambah Istana Elysee. "Kita mesti terus berwaspada terhadap manipulasi."
Maklumat palsu
Kejadian ini berlaku ketika kebimbangan semakin meningkat di Perancis dan seluruh Eropah tentang penyebaran kempen maklumat palsu yang didalangi pihak asing.
Laporan terkini oleh Perkhidmatan Tindakan Luar Kesatuan Eropah (EEAS) memberi amaran tentang "aktor negara dan bukan negara yang menyebarkan naratif palsu untuk menggugat kestabilan masyarakat demokratik," dengan Perancis berulang kali dikenal pasti sebagai sasaran utama.
Kerajaan Perancis juga berada dalam keadaan berjaga-jaga berikutan serangan siber dan operasi pengaruh baru-baru ini yang dikaitkan dengan anasir luar.
Pada April 2023, Macron memperkenalkan strategi nasional untuk memerangi manipulasi maklumat, menyebutnya sebagai "pertaruhan untuk demokrasi kita".
Inisiatif itu termasuk kerjasama dengan platform teknologi, sokongan untuk kewartawanan bebas, dan alat undang-undang untuk menangani pengaruh jahat.