Hubungan Israel, AS tegang susulan perjanjian antara Trump dan Hamas: laporan
Hubungan antara Israel dan Amerika Syarikat kini semakin tegang susulan perjanjian yang dicapai oleh pihak Presiden Donald Trump dengan kumpulan pejuang Palestin Hamas.
Perjanjian itu membawa kepada pembebasan anggota tentera Israel-Amerika Edan Alexander. Namun, menurut media tempatan Israel, rancangan tersebut tidak diselaraskan bersama Tel Aviv dan ini menyebabkan beberapa pihak merasa tidak puas hati.
Saluran media Channel 13 Israel melaporkan bahawa walaupun pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berusaha untuk mengekalkan hubungan rapat dengan Washington, keadaan masih tegang hingga kini.
Amnesty, kumpulan hak asasi manusia saman UK kerana bantu genosid Israel di Gaza
Di United Kingdom, kumpulan hak asasi manusia mengheret kerajaannya ke mahkamah. Menurut mereka, penghantaran alat ganti jet pejuang ke Israel oleh UK menunjukkan negara itu turut bersubahat dalam pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Desakan itu diketuai oleh kumpulan hak asasi Palestin Al-Haq, yang turut disokong oleh nama besar seperti Amnesty International, Human Rights Watch dan Oxfam.
Antara lain, desakan yang dibuat adalah untuk memastikan eksport alat ganti buatan British yang digunakan dalam jet pejuang F-35 dapat dihentikan.
Penduduk Tripoli diarah duduk di rumah susulan pertempuran di ibu negara Libya
Di Libya, keadaan berubah menjadi ganas apabila pertempuran berlaku di Tripoli. Pihak berkuasa menggesa penduduk setempat untuk berada di dalam rumah masing-masing bagi menjamin keselamatan mereka.
Kementerian Kesihatan mengisytiharkan darurat di hospital-hospital sekitar Tripoli, manakala Kementerian Pendidikan memberi kebenaran kepada pegawai tempatan untuk membatalkan kelas dan peperiksaan jika perlu.
Kementerian Dalam Negeri, yang beroperasi di bawah kerajaan Libya yang diiktiraf pihak antarabangsa, berkata semua orang harus berada di dalam bangunan dan mengelak daripada keluar sehingga diberitahu kelak.
AS, China henti perang perdagangan untuk 90 hari, tarif dikurangkan
Amerika Syarikat dan China telah bersetuju untuk menghentikan perang perdagangan mereka selama 90 hari. Kedua-dua negara mengumumkan bahawa mereka akan mengurangkan tarif yang tinggi kepada kadar yang lebih munasabah.
Persetujuan itu dicapai susulan perbincangan pada hujung minggu lalu. Ia merupakan pertemuan serius pertama yang diadakan di antara kedua-dua pihak sejak Presiden Trump mengumumkan kadar tarif timbal balik.
Setiausaha Perbendaharaan Amerika Scott Bessent menyifatkan perbincangan itu sebagai produktif dan penuh hormat, dengan kedua-dua pihak menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama.
PKK isytihar bubar dan lucut senjata
Kumpulan pengganas PKK telah membubarkan dan melucutkan senjata selepas melancarkan pemberontakan dahsyat selama 40 tahun, yang membunuh ribuan orang awam, termasuk wanita, kanak-kanak dan bayi.
Menteri Luar Turki Hakan Fidan berkata langkah seterusnya adalah penting.
Ankara bercadang untuk melihat dengan teliti sama ada keputusan itu dilaksanakan dengan ikhlas. Jika ya, katanya, keputusan itu adalah satu langkah besar menuju ke hadapan untuk semua pihak bagi menjamin keamanan serantau.