UK: Sekatan bantuan ke Gaza oleh Israel 'mengerikan'
Setiausaha Luar Britain sekali lagi menyuarakan kebimbangan mengenai sekatan bantuan berterusan oleh Israel ke Gaza, dan menyifatkannya sebagai krisis kemanusiaan yang dahsyat.
Semasa bercakap di sesi Jawatankuasa Perhubungan dan Pertahanan Antarabangsa, David Lammy menyifatkan sekatan itu sebagai "mengerikan".
Beliau menekankan, keadaan di Gaza telah menyebabkan ramai menderita disebabkan tiada bantuan keperluan hidup selain menyaksikan pembunuhan ahli keluarga dan sahabat handai.
Lammy berkata beliau telah bercakap dengan Menteri Luar Israel Gideon Sa'ar beberapa minggu lalu, dan mengingatkan Israel mempunyai tanggungjawab untuk memastikan akses kemanusiaan.
Lagi rakyat Palestin maut susulan pengeboman Israel di Gaza
Serangan udara Israel di utara Gaza membunuh beberapa rakyat Palestin dan menyebabkan ramai lagi cedera, menurut sumber perubatan tempatan yang dipetik oleh agensi berita WAFA. Serangan menyasarkan bandar Beit Hanoon.
Ini terjadi susulan keputusan Israel pada 18 Mac untuk menamatkan gencatan senjata secara unilateral di Gaza. Sejak itu, serangan terbaharu Israel meragut ratusan nyawa, termasuk lebih 100 kanak-kanak.
Pegawai kesihatan di Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 2,308 orang maut dan hampir 6,000 lagi cedera sejak serangan disambung semula.
Rubio gesa India 'kerjasama' dengan Pakistan redakan ketegangan di Kashmir
Selepas serangan ngeri di Kashmir yang ditadbir India menyebabkan ketegangan teruk, Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio menggesa India dan Pakistan untuk berundur dan meredakan permusuhan mereka.
Semasa bercakap dengan Menteri Luar India Subrahmanyam Jaishankar dan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, Rubio menyatakan sokongan terhadap perjuangan India menentang ekstremisme. Namun, beliau turut menyeru kedua-dua pihak untuk bekerjasama bagi menyiasat tragedi yang meragut puluhan nyawa.
Dalam panggilan telefon dengan Jaishankar, Rubio menyatakan solidariti AS sambil menggesa India agar berhati-hati.
India menyalahkan Pakistan kerana menyokong serangan di Pahalgam, namun ia tidak mengemukakan sebarang bukti. Pakistan pula menafikan dakwaan itu dan mendesak siasatan antarabangsa dijalankan.
AS, Ukraine tandatangani perjanjian mineral 'bersejarah'
Amerika Syarikat dan Ukraine telah menandatangani perkongsian ekonomi "bersejarah", sekali gus memberi Washington akses kepada sumber mineral yang jarang ditemui di Ukraine selepas beberapa minggu berunding.
Kiev berkata ia telah memperoleh kawalan ke atas sumbernya sendiri sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.
Perjanjian itu dibuat susulan tekanan Presiden Donald Trump, yang menyeru Ukraine untuk "membayar balik" sokongan yang diberikan Washington dalam membantu negara itu menangkis pencerobohan Rusia.
Bancian baharu India akan merangkumi status kasta
India mengumumkan ia akan memasukkan pengenalan kasta dalam bancian rasminya yang terbaharu.
Ini merupakan kali pertama kerajaan India merekodkan data sedemikian secara rasmi sejak mencapai kemerdekaan. Ia merupakan langkah penting untuk sebuah negara yang masih terikat dengan sistem kasta yang melihat status sosial dan ekonomi seseorang.
Secara amnya, kasta yang lebih tinggi mendapat manfaat keistimewaan budaya, manakala kasta yang lebih rendah sering menghadapi diskriminasi sistemik. Perubahan ini mampu membentuk semula landskap politik dan sosial di India.
Mengikut anggaran, lebih dua pertiga daripada 1.4 bilion penduduk India berada dalam kategori kasta yang kurang bernasib baik, menjadikan bancian baharu ini sebagai detik yang berpotensi mengubah ketidaksamaan di negara itu.