logo
Fokus Hari Ini | 19 Mei
03:37
Dunia
Fokus Hari Ini | 19 Mei
Selepas menyerang tanpa henti, tentera Israel sekali lagi mengebom hospital Nasser di Khan Younis. China kenakan duti anti-lambakan untuk import plastik dari Amerika, Eropah, Jepun, dan Taiwan.

Israel tambah serangan ke atas Gaza, jumlah kematian meningkat

Tentera Israel melancarkan satu lagi serangan ke atas Hospital Nasser selepas beberapa siri serangan udara ke atas Khan Younis yang mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang.

Pegawai kesihatan melaporkan jumlah kematian hari ini di Gaza telah meningkat kepada sekurang-kurangnya 17 nyawa susulan serangan Israel yang berterusan.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza Munir al-Bursh berkata sebuah pesawat Israel menyasarkan seorang pesakit di dalam Hospital Indonesia di utara Gaza semalam, "tanpa sebarang amaran."

Sementara itu, Yayasan Kemanusiaan Gaza yang dibiayai Amerika Syarikat dan Israel, dikatakan bersedia untuk mengawasi pengagihan bantuan di wilayah bergolak itu.

Yayasan itu menyifatkan rancangan Tel Aviv untuk membenarkan bantuan makanan masuk ke Gaza sebagai "langkah sementara yang penting."

Rakyat Eropah keluar mengundi di Romania, Poland, Portugal

Rakyat Eropah mula keluar mengundi pada Ahad di Romania, Poland, dan Portugal dalam pilihan raya penting yang akan membentuk masa depan negara mereka.

Di Romania, Datuk Bandar Bucharest, Nicusor Dan meraih kemenangan dengan 54 peratus undi, menewaskan pemimpin nasionalis George Simion.

Poland pula menuju pusingan akhir selepas pemimpin liberal Rafal Trzaskowski mendahului undian dengan 30.8 peratus.

Di Portugal, Perikatan Demokrat yang berhaluan kanan-tengah memenangi kebanyakan kerusi tetapi gagal mencapai majoriti, sementara Chega yang berhaluan kanan mula melonjak.

Setakat ini, keputusan akhir undi masih belum diumumkan.

Al Shabab lakukan serangan bom berani mati, sasar Somalia

Serangan pengebom berani mati di luar kem tentera Somalia di Mogadishu meragut sekurang-kurangnya 11 nyawa dan menyebabkan 20 lagi cedera.

Serangan pada Ahad itu menyasarkan rekrut tentera di berek Damaanyo.

Menurut sumber, orang awam merupakan antara yang terkorban. Kumpulan pengganas Al Shabab telah mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Australia hantar kereta kebal Abrams bantu Ukraine lawan Rusia

Australia memberitahu Ukraine bahawa satu armada kereta kebal Abrams sedang dalam perjalanan untuk membantu menepis serangan tentera Rusia, menurut laporan media tempatan.

Dalam mesyuarat di Rom, Perdana Menteri Anthony Albanese mengesahkan komitmen Australia untuk memberi tekanan ke atas Rusia.

Walaupun dilaporkan Amerika Syarikat merasa tidak senang, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy melahirkan rasa terima kasih atas sumbangan kereta kebal itu dan menggesa sekatan terhadap Rusia.

Australia ketika ini berada dalam peringkat awal mempertimbangkan perkongsian pertahanan yang lebih mendalam dengan Kesatuan Eropah.

Beijing kenakan tarif tinggi ke atas import plastik AS, EU, Asia

China membuat keputusan untuk mengenakan duti anti-lambakan yang mencecah 74.9 peratus ke atas sesetengah import plastik dari Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU), Jepun dan Taiwan.

Keputusan itu dibuat susulan kenaikkan tarif oleh Amerika ke atas barangan China.

Pada masa yang sama, terdapat tanda-tanda bahawa ketegangan perdagangan antara Amerika dan China mungkin akan reda selepas kedua-dua negara bersetuju untuk mengurangkan tarif selama 90 hari.

Kumpulan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik baru-baru ini memberi amaran tentang kesan negatif terhadap rangka kerja perdagangan global.

Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us