Turkiye hantar unit pengeluaran gas terapung pertamanya
Turkiye telah menghantar unit pengeluaran terapung pertamanya yang dikenali sebagai Osman Gazi, menuju ke Medan Gas Sakarya di Laut Hitam.
Turut hadir adalah Presiden Recep Tayyip Erdogan yang menyempurnakan upacara pelepasan di Istanbul, diiringi pegawai atasan dan kumpulan Mehter tradisional.
Bersempena ulang tahun ke-572 Penaklukan Istanbul, perjalanan platform melalui selat itu bermula dengan restu presiden dan komunikasi radio.
Osman Gazi dilihat sebagai langkah berani Turkiye dalam sektor tenaga di mana pengeluaran gas dijangka dapat digandakan.
Bendera AS kembali muncul di Syria selepas 12 tahun
Utusan Amerika Syarikat Thomas Barrack menaikkan bendera AS di kedutaannya di Damsyik.
Ini merupakan kali pertama bendera AS dinaikkan di Syria sejak 2012.
Walaupun operasi kedutaan masih digantung, lawatan Barrack menandakan permulaan persahabatan baharu antara dua negara itu.
Dilantik pada 23 Mei, Barrack bertemu dengan Presiden Syria Ahmed al Sharaa dan membuka semula kediaman kedutaan dengan Menteri Luar Asaad al Shaibani.
Beliau mengulangi sokongan Amerika terhadap kepimpinan al Sharaa, selain memberi bayangan mengenai kemungkinan rundingan damai dengan Israel.
Beliau turut mengesahkan bahawa sekatan terhadap Syria telah ditarik balik oleh Presiden Trump, dan negara itu tidak lagi berada dalam senarai "penaja keganasan".
Ukraine terbuka untuk rundingan di Istanbul, mahu inti pati syarat damai Rusia
Ukraine telah menyatakan kesediaannya untuk mengambil bahagian dalam rundingan damai yang dirancang akan diadakan di Istanbul pada minggu depan.
Bagaimanapun, Kiev menegaskan bahawa Rusia mesti berkongsi syarat damainya terlebih dahulu.
Ukraine menyifatkan keengganan Moscow untuk berbuat demikian sebagai tindakan "tidak membina," sambil memberi amaran bahawa mesyuarat itu tidak akan membawa apa-apa kesan tanpa ketelusan.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan jumlah korban orang awam semakin meningkat, dengan lebih 13,000 orang terbunuh sejak konflik itu bermula.
Amerika Syarikat menyeru Rusia untuk bersetuju dengan gencatan senjata yang komprehensif.
Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan juga menggesa semua pihak terus membuka saluran dialog walaupun usaha diplomatik terhenti.
Peratusan undi awal tinggi di Korea Selatan
Sejumlah besar rakyat Korea Selatan keluar mengundi pada Jumaat untuk hari kedua pengundian awal yang bertujuan menamatkan ketegangan politik sejak beberapa bulan lalu susulan perisytiharan undang-undang tentera oleh bekas Presiden Yoon Suk-yeol.
Dengan ketidaktentuan ekonomi negara dan pertukaran pemimpin beberapa kali, pemimpin liberal Lee Jae-myung dilihat memperoleh peratusan undi tinggi setakat ini, diikuti oleh Kim Moon-soo dari pihak konservatif.
Setakat ini, 21 peratus daripada 44.4 juta pengundi berdaftar telah membuang undi, dengan peratusan keluar mengundi di luar negara mencecah paras tertinggi dalam sejarah menjelang pilihan raya 3 Jun ini.
Hamas: Respons gencatan senjata Israel gagal penuhi tuntutan teras
Kumpulan pejuang Palestin, Hamas, berkata respons Israel terhadap cadangan gencatan senjata Gaza yang disokong Amerika Syarikat tidak memenuhi tuntutannya.
Rancangan itu, yang dikemukakan oleh utusan Presiden Donald Trump, Steve Witkoff, kini sedang disemak oleh Hamas.
Sementara itu, pesawat pejuang Israel telah mengebom selatan Lubnan dan menyerang beberapa bandar.
Di Gaza, ketua agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk pelarian Palestin Philippe Lazzarini memberi amaran bahawa taktik perang Israel, termasuk menyebabkan kebuluran, akan mengancam kehidupan generasi seterusnya di Gaza.
Beliau menggesa agar akses kepada bantuan diberi dengan segera bagi mengelak malapetaka kemanusiaan yang kini semakin parah.