Satu tinjauan baharu yang diterbitkan akhbar Haaretz mendedahkan bahawa retorik genosid, yang dahulunya hanya melibatkan kumpulan pelampau penduduk haram Israel, kini bertukar menjadi sentimen arus perdana - di mana orang awam turut menyokong pembersihan etnik, pembunuhan beramai-ramai, dan tindakan membalas dendam berdasarkan tafsiran kitab suci mereka.
Kajian Geocartography Knowledge Group untuk Penn State University pada Mac 2025 yang melibatkan 1,005 responden orang Yahudi Israel mendedahkan sisi yang menggerunkan mengenai sebuah masyarakat yang semakin radikal disebabkan nasionalisme agama dan peperangan.
Tinjauan mendapati 82 peratus warga Yahudi Israel menyokong pengusiran rakyat Palestin dari Gaza, manakala 56 peratus menyokong pengusiran warga Arab dari Israel — satu peningkatan daripada masing-masing 45 peratus dan 31 peratus dalam tinjauan yang sama pada 2003.
Apabila ditanya sama ada mereka menyokong tindakan tentera Israel (IDF) menakluki sesebuah bandar musuh dengan membunuh semua penduduknya seperti yang dilakukan oleh Joshua (Yusha’) di Jericho, hampir separuh responden menjawab “ya”.
Secara keseluruhan, 47 peratus menyokong tindakan sama seperti penaklukan Jericho dalam kitab suci mereka — di mana semua penduduk di bandar musuh, dalam konteks ini merujuk kepada rakyat Palestin — perlu dibunuh.
Dua daripada setiap tiga rakyat Israel (sekitar 66 peratus) percaya bahawa versi moden Amalek — musuh tradisi Yahudi — wujud pada hari ini, dan daripada jumlah itu, 93 peratus percaya perintah kitab suci mereka untuk memusnahkan Amalek masih terpakai.
Tinjauan ini muncul ketika perang Israel ke atas Gaza mengorbankan 54,000 rakyat Palestin — kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Pemimpin Israel kerap menggunakan istilah “Amalek” untuk menggambarkan rakyat Palestin, dan rabai tentera pula menyifatkan perang ini sebagai “kewajipan dalam kitab suci”.
Siapa Amalek?
Amalek ialah musuh tradisi dalam kitab Taurat yang dikatakan telah menyerang Bani Israel selepas Exodus (penghijrahan besar-besaran) dari Mesir.
Dalam Kitab Ulangan (Deuteronomy), Tuhan memerintahkan agar “memori tentang Amalek dibuang dari bawah syurga” dan “jangan lupa” — dan dalam sejarah, ianya ditafsir oleh sesetengah pihak sebagai mandat ilahi untuk pemusnahan secara total.
Walaupun ramai cendekiawan Yahudi menafsirkan Amalek secara simbolik sebagai lambang kejahatan, pemimpin agama pelampau kanan seperti Rabbi Yitzchak Ginsburgh percaya Amalek hari ini merujuk kepada rakyat Palestin. Kepercayaan ini memberi justifikasi agama kepada keganasan dan menjadikan “penghapusan Amalek” sebagai satu kewajipan suci.
Kini, istilah itu digunakan sebagai senjata teologi untuk menghalalkan perang, membalas dendam dan memastikan kemusnahan besar yang bukan setakat untuk memenuhi matlamat politik atau ketenteraan, tetapi sebagai perintah Tuhan.
Menormalisasikan kekerasan ekstrem
Tokoh agama seperti Rabai Yitzchak Ginsburgh — yang dahulu dianggap sebagai pelampau — kini semakin berpengaruh dalam wacana ideologi Israel moden.
Ginsburgh, ketua yeshiva Od Yosef Chai di penempatan haram Yitzhar, pernah menyatakan bahawa membunuh orang bukan Yahudi adalah dibenarkan kerana nyawa mereka kurang berharga.
Beliau menyifatkan rakyat Palestin sebagai “kekotoran rohani” dan menyeru supaya tentera Israel “dibersihkan” daripada nilai hak asasi manusia dan belas kasihan.
Intipati ideologinya terkandung dalam khutbah dan buku beliau The Time to Crack the Nut, yang menyeru supaya struktur demokratik sekular Israel sekarang yang digambarkan sebagai “kulit keras pelindung” perlu dimusnahkan, dan tanah mereka perlu disucikan daripada orang bukan Yahudi bagi menyambut kedatangan Messianic Age (Zaman al-Masih).
Beliau menggambarkan “pemecah kulit keras” itu sebagai orang Yahudi yang mmpu bertindak tanpa memikirkan tentang etika dan moral, serta menyelubungi diri mereka dengan dendam kesumat.
Ginsburgh turut memuji pembunuh Baruch Goldstein, seorang penduduk Yahudi haram yang membunuh 29 rakyat Palestin ketika mereka sedang menunaikan solat di Masjid Ibrahimi di Hebron. Beliau turut menulis bahawa tiga “kulit najis” — media, badan kehakiman dan kerajaan — perlu dihancurkan, sementara pihak tentera juga perlu “diperbaiki” dengan menghapuskan pengaruh moral negara luar.
Tinjauan tersebut mengesahkan bahawa ideologi ini bukan lagi bersifat terpencil.
Menurut Haaretz, media Israel — yang dianggap sebagai lapisan “kulit pertama” dalam metafora Ginsburgh — telah berhenti membuat liputan kritikal terhadap genosid di Gaza sejak 7 Oktober 2023 dan kini berpegang kepada seruan untuk membalas dendam dan mengusir rakyat Palestin.
Badan kehakiman juga kini selari dengan nasionalisme teologi ini. Hakim Mahkamah Agung Israel yang juga seorang penduduk haram, David Mintz, baru-baru ini menyifatkan perang di Gaza sebagai “perang wajib dalam kitab suci” bagi menjustifikasikan penafian bantuan kemanusiaan — satu tindakan yang telah menyebabkan kebuluran di wilayah bergolak itu.
Dalam bidang pendidikan, kurikulum nasionalis pelampau kanan telah membentuk semula pemikiran generasi muda. Kini, hanya sembilan peratus lelaki Yahudi Israel berusia bawah 40 tahun yang menolak idea pengusiran atau pembunuhan beramai-ramai.
SUMBER: TRT World dan Agensi