Microsoft telah mengakui bahawa ia menjual perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan canggih kepada tentera Israel semasa genosid di Gaza serta membantu usaha mencari dan menyelamat tebusan Israel.
Namun, syarikat itu juga menyatakan bahawa setakat ini tiada bukti menunjukkan platform Azure dan teknologi AI-nya digunakan untuk menyasarkan atau membahayakan rakyat Palestin di Gaza.
Catatan blog tanpa tandatangan di laman web korporat Microsoft itu nampaknya menjadi pengakuan awam pertama syarikat mengenai penglibatan mendalamnya dalam genosid berterusan, di mana rejim Zionis Israel telah membunuh kira-kira 64,000 rakyat Palestin dan memusnahkan hampir seluruh Gaza.
Ini berlaku hampir tiga bulan selepas siasatan oleh The Associated Press (AP) mendedahkan butiran yang sebelum ini tidak dilaporkan mengenai perkongsian rapat gergasi teknologi Amerika itu dengan Kementerian Pertahanan Israel, di mana penggunaan produk AI komersial oleh tentera meningkat hampir 200 kali ganda selepas serangan maut Hamas pada 7 Oktober 2023.
AP melaporkan bahawa tentera Israel menggunakan Azure untuk menyalin, menterjemah, dan memproses risikan yang dikumpulkan melalui pengawasan besar-besaran, yang kemudian boleh disemak dengan sistem sasaran berasaskan AI milik Israel, dan sebaliknya.
Perkongsian ini mencerminkan peningkatan minat syarikat teknologi untuk menjual produk AI mereka kepada pihak tentera untuk pelbagai kegunaan, termasuk di Israel, Ukraine, dan Amerika Syarikat.
Namun, kumpulan hak asasi manusia mambangkitkan kebimbangan bahawa sistem AI, yang mungkin mempunyai kecacatan dan mudah tersilap, digunakan untuk membantu membuat keputusan tentang siapa atau apa yang disasarkan, mengakibatkan kematian ribuan orang yang tidak bersalah.
Microsoft menyatakan pada hari Khamis bahawa kebimbangan pekerja dan laporan media mendorong syarikat itu melancarkan semakan dalaman dan mengupah firma luar untuk melakukan "pencarian fakta tambahan."
Kenyataan itu tidak mengenal pasti firma luar tersebut atau memberikan salinan laporannya. Ia juga tidak menjawab beberapa soalan tentang bagaimana tepatnya tentera Israel menggunakan teknologinya, dan syarikat itu enggan memberi komen lanjut pada hari Jumaat.
Microsoft menolak untuk menjawab soalan bertulis daripada AP tentang bagaimana model AI-nya membantu menterjemah, menyusun, dan menganalisis risikan yang digunakan tentera untuk memilih sasaran serangan udara.
Kontrak Israel dengan Google, Amazon, Palantir
Kenyataan Microsoft menyatakan bahawa ia telah membekalkan tentera Israel dengan perisian, perkhidmatan profesional, storan awan Azure, dan perkhidmatan AI Azure, termasuk penterjemahan bahasa, serta bekerjasama dengan kerajaan Zionis Israel untuk melindungi ruang siber negara daripada ancaman luar.
Microsoft juga menyatakan ia memberikan "akses khas kepada teknologi kami melebihi terma perjanjian komersial" dan "sokongan kecemasan terhad" kepada Israel sebagai sebahagian usaha menyelamatkan lebih 250 tebusan yang ditahan oleh Hamas pada 7 Oktober.
"Kami memberikan bantuan ini dengan pengawasan ketat dan secara terhad, termasuk meluluskan beberapa permintaan dan menolak yang lain," kata Microsoft. "Kami percaya syarikat bertindak berdasarkan prinsip yang dipertimbangkan dengan teliti, untuk menyelamatkan nyawa tebusan sambil menghormati privasi dan hak lain rakyat awam di Gaza."
Syarikat itu tidak menjawab sama ada ia atau firma luar yang diupah berkomunikasi atau berunding dengan tentera Israel sebagai sebahagian siasatan dalamannya. Ia juga tidak memberi maklumat lanjut tentang bantuan khas kepada tentera Israel untuk menyelamatkan tebusan atau langkah spesifik melindungi hak dan privasi rakyat Palestin.
Dalam kenyataannya, Microsoft mengakui ia "tidak dapat melihat bagaimana pelanggan menggunakan perisian kami pada pelayan atau peranti mereka sendiri," dan tidak tahu bagaimana produknya mungkin digunakan melalui pembekal awan komersial lain.
Selain Microsoft, tentera Zionis Israel mempunyai kontrak meluas untuk perkhidmatan awan atau AI dengan Google, Amazon, Palantir, dan beberapa firma teknologi Amerika utama lain.
Microsoft menyatakan tentera Zionis Israel, seperti pelanggan lain, terikat dengan Dasar Penggunaan AI dan Kod TIngkah Laku AI syarikat, yang melarang penggunaan produk untuk mendatangkan bahaya dalam apa cara sekalipun seperti yang dilarang oleh undang-undang. Syarikat itu berkata tiada bukti tentera Israel melanggar terma tersebut.
Emelia Probasco, felo kanan di Center for Security and Emerging Technology Universiti Georgetown, berkata kenyataan itu penting kerana tidak banyak syarikat teknologi komersial yang jelas menetapkan piawaian untuk bekerjasama dengan kerajaan antarabangsa.
"Kita berada dalam detik di mana syarikat, bukan kerajaan, yang menentukan syarat penggunaan kepada kerajaan yang sedang berkonflik," katanya. "Ini seperti pengeluar kereta kebal memberitahu negara: 'Anda hanya boleh menggunakan kereta kebal kami untuk tujuan tertentu.' Itu dunia baru."
'Helah PR untuk membersihkan imej'
Israel menggunakan risikannya yang luas untuk menyasarkan rakyat Palestin. Contohnya, serbuan Februari 2024 yang menyelamatkan dua tebusan Israel di Rafah mengorbankan 60 rakyat Palestin. Serangan Jun 2024 di kem pelarian Nuseirat menyelamatkan empat tebusan Israel tetapi membunuh sekurang-kurangnya 274 rakyat Palestin.
Serangan dan pengeboman besar-besaran Israel di Gaza dan Lubnan telah mengorbankan lebih 64,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
No Azure for Apartheid, kumpulan pekerja Microsoft semasa dan bekas, pada hari Jumaat menyeru syarikat itu membuka laporan siasatan sepenuhnya kepada umum.
"Jelas bahawa tujuan kenyataan ini bukan untuk menangani kebimbangan pekerja, tetapi sebagai helah PR untuk membersihkan imej mereka yang tercemar kerana hubungan dengan tentera Israel," kata Hossam Nasr, bekas pekerja Microsoft yang dipecat Oktober lalu selepas menganjurkan peringatan tidak rasmi di ibu pejabat syarikat untuk mangsa Palestin di Gaza.
Cindy Cohn, pengarah eksekutif Electronic Frontier Foundation, memuji Microsoft kerana mengambil langkah ke arah ketelusan. Tetapi beliau berkata kenyataan itu menimbulkan banyak soalan tidak terjawab, termasuk butiran tentang bagaimana perkhidmatan dan model AI Microsoft digunakan tentera Israel pada pelayan kerajaan mereka.
"Saya terima ada sedikit ketelusan di sini," kata Cohn, yang lama mendesak gergasi teknologi AS lebih terbuka tentang kontrak tentera mereka. "Tetapi sukar untuk menyelaraskannya dengan apa yang sebenarnya berlaku di lapangan."