Visi hebat melahirkan insan yang hebat — dan Fatih Sultan Mehmed dilahirkan untuk menjadi seorang tokoh yang tiada tolok bandingnya.
Pada tanggal 29 Mei, 572 tahun yang lalu, Sultan Mehmed II memberi tamparan maut kepada Empayar Byzantine dengan menakluk Istanbul dan sekali gus menamatkan riwayat Empayar Rom Timur.
Mehmed, yang masih muda ketika menakluk Istanbul, meletakkan Empayar Uthmaniyyah di atas landasan yang penuh dengan transformasi.
Berikut ialah sorotan ringkas kisah “Sang Penakluk’ Fatih Sultan Mehmed.
Sultan Mehmed dilahirkan pada 30 Mac 1432 di Edirne, yang merupakan ibu kota Empayar Uthmaniyyah ketika itu. Ayahandanya, Sultan Murad II, merupakan pemerintah Uthmaniyyah pada waktu tersebut. Mehmed tinggal di Edirne sehingga usia dua tahun, kemudian dihantar ke Amasya pada 1434, di mana abangnya Ahmad yang berusia 14 tahun menjadi gabenor di ‘sanjak’ (wilayah pentadbiran) tersebut, bersama adik mereka Alaeddin Ali.
Ayahandanya melantik beberapa guru bagi memastikan Mehmed mendapat pendidikan secukupnya. Namun, Mehmed yang dikenali sebagai anak yang bijak dan penuh semangat bukanlah pelajar yang mudah dikawal. Beliau diajar oleh guru-guru dari latar belakang Islam dan Barat. Walaupun lebih dikenali dengan kejayaan ketenteraan, sumbangannya dalam bidang falsafah, seni dan sains turut dihargai.
Mehmed dipercayai fasih dalam bahasa Parsi, Arab, Yunani purba dan Itali — sesuatu yang dilihat ramai sebagai lambang terhadap cita-citanya untuk membentuk empayar merentasi Timur dan Barat.
Ahli sejarah Turki menyatakan perpustakaan beliau mengandungi buku-buku dalam bidang geometri, agama, kejuruteraan, astronomi, aritmetik, arkeologi, geografi dan falsafah.
Selain itu, beliau juga merupakan penyair dan peminat seni. Beliau pernah menugaskan pelukis Renaissance terkenal, Bellini, untuk melukis potretnya. Beliau dikatakan mendapat inspirasi daripada kehidupan Alexander the Great dalam usahanya membina empayar menerusi penulisan mengenai kempen ketenteraan tokoh legenda itu.
Antara karya dalam perpustakaannya termasuk Iliad oleh Homer, dan peta dunia purba karya Ptolemy dipercayai menjadi salah satu khazanah terpenting dalam koleksi peribadinya.
Dilahirkan untuk memimpin
Sultan Mehmed dikenali sebagai seorang yang tinggi, berpipi tembam, berhidung melengkung, berotot dan kuat, serta sangat obses dengan membaca. Beliau membaca karya-karya falsafah dalam terjemahan bahasa Parsi dan Arab. Dalam bidang ilmu, beliau melindungi para ilmuwan tanpa mengira agama atau mazhab, dan turut menyokong penerbitan karya-karya mereka.
Dalam usaha membuktikan keupayaan dirinya kepada pemimpin kanan Uthmaniyyah dan rakyat, serta mencapai impian agung untuk mencatat sejarah, matanya tertumpu pada penaklukan Constantinople — ibu kota Byzantine ketika itu. Beliau dengan segera membuat persiapan untuk pertempuran yang bakal tiba.
Walaupun kota itu telah beberapa kali dikepung sebelum ini, tiada siapa yang berjaya menakluknya. Mehmed II menyedari bahawa kota itu hanya boleh ditakluki dengan menggunakan strategi luar biasa dan pemikiran yang tajam.
Beliau mengumpul sejumlah besar askar (dikatakan lebih 200,000, walaupun ada anggaran yang kurang daripada itu) dan tampil di hadapan tembok kuat kota Constantinople dengan penuh keyakinan.
Kota itu dikepung dari darat dan laut, diikuti dengan satu rancangan yang mengejutkan: kapal perang mereka diheret melalui kawasan darat di Galata — satu koloni perdagangan Genoa ketika itu — yang kini terletak di bahagian Eropah di Istanbul.
Kempen ketenteraan itu berlanjutan lebih 50 hari, dengan serangan meriam besar dilepaskan bertalu-talu bagi memecahkan tembok kota itu untuk membuka laluan untuk askarnya.
Akhirnya, pada 29 Mei, kota Constantinople jatuh ke tangan tentera Uthmaniyyah, dan Mehmed II dianugerahkan dengan gelaran yang kekal dalam sejarah hingga ke hari ini: al-Fatih — Sang Penakluk.
Wira muda
Fatih Sultan Mehmed baru berusia 21 tahun ketika beliau menamatkan kisah sejarah Empayar Byzantine dan menaikkan status Empayar Uthmaniyyah ke tahap kuasa besar yang akhirnya berjaya memerintah tiga benua untuk beberapa abad.
Penaklukan kota itu merupakan kemenangan terbesar dalam hidupnya, tetapi ia tidak terhenti di situ. Mehmet turut berjaya meletakkan beberapa kawasan seperti Serbia, Morea, Trebizond (kini Trabzon), Bosnia, Albania dan beberapa wilayah Anatolia di bawah kawalan Uthmaniyyah.
Beliau memerintah sehingga 1481 dan terlibat dalam 25 ekspedisi ketenteraan, serta menjadikan Istanbul sebagai ibu kota empayarnya, yang akhirnya meliputi kawasan dari Sungai Danube hingga Kizilirmak.
Beliau berjaya memperluaskan wilayah empayarnya kepada lebih 2.2 juta kilometer persegi.
Kemenangan terakhirnya adalah di Otranto, Itali pada 1480, dan beliau dikatakan sedang merancang untuk menuju ke Rom. Namun, al-Fatih meninggal dunia pada 3 Mei 1481.
Sehingga kini, ahli sejarah di Türkiye masih berdebat sama ada beliau benar-benar berniat mengambil alih Rom disebabkan penaklukan Otranto, atau jika beliau sebenarnya ingin meluaskan kuasa ke arah Timur.
Fatih, yang memimpin puluhan kempen ketenteraan serta menyaksikan sendiri penaklukan Istanbul, meninggalkan legasi yang kekal terukir dalam sejarah — dan terus dikenang hingga ke hari ini.
SUMBER: TRT World