Mosab Abu Toha, penyair dan penulis dari Palestin yang sangat dihormati, berjaya memenangi Hadiah Pulitzer tahun ini. Beliau diumumkan sebagai pemenang menerusi siri penulisannya yang disiarkan dalam The New Yorker, mengisahkan kehidupan dan kehilangan di Gaza, tempat beliau menghabiskan sebahagian besar hidupnya.
“Saya baru sahaja memenangi Hadiah Pulitzer untuk Komentar,” umum Abu Toha di X. “Biarlah ia membawa harapan / Biarlah ia jadi sebuah kisah.”
Anugerah ini hadir pada bulan ke-18 perang Israel ke atas Gaza yang terus dikepung, yang kini telah meragut lebih 52,000 nyawa rakyat Palestin.
Abu Toha, 32, memetik puisi penulis Palestin tersohor Refaat Alareer yang terkorban dalam serangan udara Israel di Shujaiya di selatan Gaza, bersama abangnya, kakaknya dan empat anak saudaranya. Sebagai pensyarah sastera Inggeris, Alareer mendedikasikan kerjayanya kepada pemupukan sastera Palestin di bawah penjajahan Israel. Beliau memperjuangkan suara anak muda menerusi projek ‘We Are Not Numbers’, yang dilancarkan selepas serangan Israel pada 2014. Usaha itu bertujuan menentang tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin yang menjadi sekadar angka statistik.
Mengulas mengenai kemenangan itu, lembaga Pulitzer memuji penulisan Abu Toha tentang “kemusnahan fizikal dan emosi di Gaza yang menggabungkan laporan mendalam yang disulam dengan intimasi sebuah memoir bagi menyampaikan pengalaman rakyat Palestin sepanjang lebih setahun setengah berperang dengan Israel.”
Dalam beberapa penulisannya, Abu Toha mengenang perjuangan keluarganya bagi mendapatkan makanan di bawah penjajahan, diiringi dengan kenangan manis tentang hidangan-hidangan yang biasa mereka nikmati sebelum perang terjadi. Jawatankuasa tersebut mengiktiraf empat tulisan oleh Abu Toha: satu tentang kenangan beliau terhadap landskap yang kini musnah; satu lagi mengenai kem pelarian Jabalia; satu tentang perjuangan mencari makanan di Gaza; dan satu lagi mengenai pengalaman beliau berdepan halangan semasa perjalanannya sejak tiba di Amerika Syarikat.
“Saya merindui Gaza, ingin duduk di meja dapur bersama ibu dan ayah saya, dan membuat teh untuk adik-beradik perempuan saya. Saya tidak perlu makan. Saya hanya mahu melihat mereka semula,” tulisnya.
Dilahirkan pada 1992 di kem pelarian Al-Shati, Abu Toha membesar di bawah sekatan dan pengeboman. Di Gaza, beliau muncul sebagai antara suara sastera paling berpengaruh dalam generasinya.
Hari ini, beliau merupakan seorang bapa, cendekiawan dan penyair yang karyanya pernah diterbitkan di The Atlantic, The New York Review of Books, dan The New Yorker. Koleksi puisi pertamanya, Things You May Find Hidden in My Ear (2022), memenangi kedua-dua Anugerah Buku Palestin dan Anugerah Buku Amerika.
Dari derita di Gaza ke dewan Harvard
Selepas memperoleh ijazah sarjana muda dalam Bahasa Inggeris dari Universiti Islam Gaza, Abu Toha mengajar Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah UNRWA selama kira-kira tiga tahun.
Pada 2014, beliau mendapat inspirasi daripada sebuah buku yang ditemuinya di runtuhan bangunan yang dibom. Beliau kemudiannya menubuhkan Perpustakaan Edward Said di Beit Lahia—perpustakaan berbahasa Inggeris pertama di Gaza. Noam Chomsky menyifatkan perpustakaan itu sebagai “sekelumit cahaya dan harapan buat anak-anak muda Gaza.” Cawangan kedua dibuka di Bandar Gaza pada 2019 dan menjadi tempat perlindungan budaya yang biasanya tidak wujud dalam suasana perang.
Tahun yang sama, Abu Toha menjadi sarjana pelawat di Universiti Harvard menerusi program Scholar-at-Risk. Beliau bekerja sebagai pustakawan di Perpustakaan Houghton dan memegang biasiswa di Harvard Divinity School.
Pada 2023, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Seni Halus dalam Penulisan Kreatif dari Universiti Syracuse, dan kemudian dilantik sebagai tenaga pengajar di sana.
Ditahan, didera, dibebaskan
Pada tahun yang sama, Abu Toha ditahan tentera Israel di sebuah sekatan jalan ketika cuba melarikan diri dari Beit Lahia di utara Gaza bersama isterinya, Maram, dan tiga anak kecil mereka.
Mereka melarikan diri ke kem pelarian Jabalia selepas diberi amaran oleh tentera Israel tentang serangan yang akan datang. Namun, tidak lama kemudian, kem itu turut menjadi sasaran—sebuah serangan udara yang berlaku hanya 70 meter dari tempat mereka berlindung.
Abu Toha kehilangan 31 ahli keluarganya dalam satu serangan udara Israel ke atas rumah mereka di Bandar Gaza pada 13 Oktober 2023, termasuk dua sepupunya, suami mereka, dan semua anak-anak mereka. Rumah keluarganya di Beit Lahia turut dibom pada 28 Oktober 2023.
Tanpa rumah untuk pulang, Abu Toha berusaha untuk keluar dari Gaza. Pegawai AS memberitahunya bahawa beliau dan keluarganya, termasuk anak lelaki mereka yang merupakan warganegara AS, dibenarkan melintasi sempadan Rafah ke Mesir. Namun sebelum tiba di sempadan, beliau ditahan oleh tentera Israel di sekatan jalan semasa dalam perjalanan dari utara ke selatan Gaza.
“Pihak tentera memisahkan saya dengan keluarga, memukul dan menyoal siasat saya,” tulisnya. Beliau akhirnya dibebaskan dan dibenarkan meninggalkan Gaza ke AS selepas desakan daripada komuniti antarabangsa dan penyokong yang memperjuangkan pembebasannya.
Diana Buttu, seorang peguam Palestin-Kanada, memberitahu majalah Time, memetik cerita isteri Abu Toha bahawa “Beliau dipaksa meninggalkan anaknya… Mereka semua dipaksa berjalan dengan tangan diangkat. Dia mengangkat tangannya… [dan dia serta] kira-kira 200 orang lain diasingkan dari barisan itu dan diculik.”
Pada 20 November, Michael Luo dari The New Yorker mengesahkan penahanan Abu Toha. PEN America dan PEN International membuat gesaan untuk pembebasannya. Sehari kemudian, Democracy Now! melaporkan bahawa beliau telah dibebaskan dari penjara Israel di Negev.
Dipukul, dimasukkan ke hospital, dan akhirnya dibenarkan keluar dari Gaza, Abu Toha turut membawa dukacita bersamanya. Beliau meratapi pemergian sahabatnya Refaat Alareer. “Dia bukanlah seseorang yang mahu mati,” kata Abu Toha kepada Democracy Now! pada Januari. “Mayatnya masih di bawah runtuhan.”
Beliau mengingati Refaat bukan sahaja melalui puisi, tetapi juga kegembiraan yang dikongsi—“memetik strawberi dan membalas jenaka di kampus.”
Dalam puisi Alareer If I Must Die, Abu Toha menemui sebaris ramalan dan penentangan. “Dalam puisinya ‘If I Must Die’, dia tidak menulis ‘If I die.’ ‘If I must die,’ jika kematianku satu keperluan, ‘Biarlah ia membawa harapan. Biarlah ia jadi sebuah kisah. Biarlah ia membawa harapan.’ Sungguh mengharukan dan indah apabila saya melihat ramai orang di seluruh dunia membaca puisinya dan menerbangkan layang-layangnya.”
Beliau menambah: “Dan saya yakin Refaat kini berada di luar, menyaksikan — maksud saya, walaupun jasadnya masih di bawah runtuhan, namun rohnya, jiwanya menyaksikan segalanya. Dia melihat layang-layang yang terbang di langit dunia yang bebas. Dan saya rasa, saya percaya, satu-satunya harapannya kini ialah agar layang-layang itu terbang di atas Gaza untuk melindungi anak-anak, ibu, bapa dan semua orang di Gaza daripada serangan udara Israel.”