ASIA
2 min membaca
China kecam AS kerana unilateralisme dan pembulian ekonomi dengan tarif
Seorang pegawai China menyatakan dasar "America First" yang mengatasi peraturan antarabangsa merosakkan kestabilan pengeluaran global dan rantaian bekalan, serta memberi kesan serius terhadap pemulihan ekonomi dunia.
China kecam AS kerana unilateralisme dan pembulian ekonomi dengan tarif
China mengumumkan kadar tarif 34% ke atas barangan A, sama dengan kadar yang dikenakan Trump terhadap barangan China. / AP
8 April 2025

China telah menuduh Amerika Syarikat (AS) mengamalkan dasar unilateralisme, protectionisme dan pembulian ekonomi melalui pengenaan tarif, sambil menyeru wakil syarikat-syarikat Amerika termasuk Tesla untuk "mengambil tindakan konkrit" bagi menyelesaikan isu tarif tersebut.  

Jurucakap Hal Ehwal Luar Negeri China Lin Jian dalam taklimat media pada hari Isnin menyatakan dasar "America First" yang mengutamakan kepentingan domestik berbanding peraturan antarabangsa telah merosakkan kestabilan rantaian pengeluaran dan bekalan global, serta memberi kesan serius terhadap pemulihan ekonomi dunia.  

Minggu lepas, Presiden AS Donald Trump mengenakan tarif tambahan 34 peratus ke atas barangan China sempena kempen "Hari Pembebasan". Ini merupakan tambahan kepada dua pusingan tarif 10 peratus yang telah diumumkan pada Februari dan Mac lalu, yang didakwa Trump sebagai tindak balas terhadap peranan Beijing dalam krisis fentanyl.  

China dan beberapa kerajaan lain telah membalas dengan pantas. China mengumumkan kadar tarif 34 peratus ke atas barangan AS, sama dengan kadar yang dikenakan Trump terhadap barangan China.  

Pada hari Isnin, Beijing menunjukkan keyakinan walaupun pasaran di Hong Kong dan Shanghai merudum. The People’s Daily, media rasmi kerajaan China, mengeluarkan kenyataan tegas. "Langit tidak akan runtuh," tegas China, walaupun tarif AS memberi kesan.

"Berhadapan dengan tindakan sewenang-wenang cukai AS, kami tahu apa yang kami lakukan, dan kami mempunyai alat untuk menanganinya," tambah kenyataan tersebut.

Tindak balas 

Beijing telah mengumumkan pelbagai langkah balas pada petang hari Jumaat sebagai tindak balas terhadap tarif Trump. Antaranya, China telah menggantung import sorgum, ayam dan tepung tulang dari syarikat Amerika tertentu, menguatkuasa kawalan eksport tambahan ke atas mineral nadir bumi, dan memulakan tindakan undang-undang di Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).  

Tidak diketahui sama ada pemimpin China, Xi Jinping, akan berjumpa dengan Trump untuk berunding tentang tarif. Lin merujuk soalan mengenai kemungkinan pertemuan itu kepada jabatan lain.  

"Tekanan dan ancaman bukan cara untuk berurusan dengan China. China akan mempertahankan hak dan kepentingan sahnya dengan tegas," tambah Lin.  

Pada hujung minggu, pegawai kerajaan China telah bertemu dengan wakil-wakil perniagaan Amerika termasuk Tesla, GE Healthcare dan lain-lain.  

"Punca masalah tarif ini berada di AS," kata Ling Ji, Timbalan Menteri Perdagangan dalam mesyuarat dengan 20 syarikat Amerika itu menurut kenyataan rasmi mesyuarat.  

"Kami harap syarikat-syarikat Amerika dapat menangani masalah dari akar umbinya… keluarkan kenyataan yang rasional, ambil tindakan konkrit, dan bekerjasama mengekalkan kestabilan rantaian bekalan global."  

Ling juga memberi jaminan bahawa China akan kekal terbuka kepada pelaburan asing dan selamat untuk dilabur.  

SUMBER:TRT World and Agencies
Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us