Pendedahan MI5: Agensi perisikan buka rahsia 115 tahun
Pendedahan MI5: Agensi perisikan buka rahsia 115 tahun
Pameran baharu di Arkib Negara London membuka tirai dunia perisikan, menonjolkan pengkhianatan dramatik, intrik diraja dan evolusi perisikan British.
14 April 2025

Untuk pertama kali dalam sejarah 115 tahun MI5, agensi perisikan UK yang terkenal itu mendedahkan beberapa rahsianya melalui pameran di London yang memaparkan pengakuan ejen berganda dan gadget ala James Bond.  

Tumpuan diberikan kepada Karl Muller, antara musuh utama pertama yang ditangkap agensi perisikan domestik pada 1915, dan ajalnya yang pelik.  

Ejen mengesyaki Muller sebagai perisik Jerman, tetapi sebiji lemon sederhana - yang dipamerkan dalam pameran "MI5: Rahsia Rasmi" - yang menjatuhkannya.  

Muller mendakwa menggunakan buah itu (yang ditemui dalam kotnya ketika ditahan) untuk membersihkan giginya.  

Sebenarnya, dia menggunakan jus lemon sebagai dakwat halimunan pada surat biasa yang disekat MI5, untuk memaklumkan pergerakan tentera British kepada pihak atasan semasa perang.  

Dia kemudian dihukum mati di Menara London.  

Dari lemon ke teknologi canggih  

MI5 ditubuhkan beberapa tahun sebelumnya ketika kebimbangan pencerobohan Jerman, dengan pegawai tentera Vernon Kell sebagai ketua pertama.  

Kini, lebih 5,000 orang bekerja untuk agensi itu - saudara kepada MI6 (perkhidmatan luar negara) yang terkenal melalui James Bond.  

"Setelah 30 tahun berkhidmat dengan MI5, saya boleh katakan realiti kerja kami sering berbeza dari fiksyen," kata Pengarah MI5 Ken McCallum di pratonton pameran kerjasama dengan Arkib Negara di Kew, London barat.  

"MI5 tentang manusia biasa bekerjasama melakukan perkara luar biasa untuk keselamatan negara," tambahnya. 

Instuisi wanita  

Pameran yang dibuka hari Sabtu ini turut memaparkan episod kurang gemilang MI5.  

Bahagian Perang Dingin mempamerkan pasport dan beg bimbit diplomat British Guy Burgess - ejen berganda Rusia sejak Perang Dunia II yang lari ke Moscow pada 1951.  

Juga dipamerkan nota yang mengesahkan Setiausaha Peribadi Ratu Elizabeth II memberitahu baginda pada awal 1970-an bahawa penasihat seninya, Anthony Blunt, adalah ejen Soviet.  

Nota itu menyatakan reaksi ratu "sangat tenang dan tidak terkejut".  

Antara artifak terkini termasuk peluru mortar yang ditembak IRA ke taman 10 Downing Street (kediaman PM) pada 1991.  

Pameran diselang-selikan dengan komen ejen MI5 tanpa nama.  

"Ejen tetap sumber intel penting untuk MI5," tulis seorang pada 2024, sambil mengakui pengurusan ejen tetap "kompleks" dengan soalan kritikal seperti motif dan kebenaran maklumat mereka.  

Walaupun dominasi lelaki pada awal era perisikan, hampir 48% kakitangan MI5 pada 2022 adalah wanita.  

Ejen terkenal Maxwell Knight antara yang pertama mencadangkan wanita sesuai jadi perisik pada 1930-an, menulis: "Intuisi wanita kadangkala sangat membantu dan tepat."  

Bagi yang berminat menyertai MI5, pameran menyediakan ujian asas seperti menyerap maklumat dalam 10 saat dan memecah kod.  

Pameran percuma ini berlangsung hingga 28 September.

SUMBER:AFP
Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us