Di dunia mana seorang yang dikehendaki kerana jenayah perang boleh bergerak bebas di ibu kota Barat, disambut dengan penghormatan diplomatik, sedangkan institusi yang sepatutnya menegakkan keadilan diabaikan oleh pengasasnya sendiri?
Ini bukan soalan hipotesis. Ini sedang berlaku sekarang. Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, yang didakwa oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas jenayah perang dan kemanusiaan, bersalaman dengan mesra di atas permaidani merah dengan pemimpin-pemimpin Eropah.
Hungary, ahli Kesatuan Eropah, baru mengumumkan pengunduran diri dari ICC. Keputusan ini dibuat ketika Netanyahu berada di Budapest untuk lawatan rasmi, secara efektif menjadikan Hungary sebagai tempat perlindungan bagi pesalah perang yang didakwa.
Tapi di mana kemarahan? Di mana kutukan daripada pegawai EU? Tiada kegemparan media, tiada perdebatan politik serius.
Jerman, antara penyokong utama ICC, juga telah menjelaskan: mereka tidak akan menangkap Netanyahu jika beliau melawat. Ini Jerman yang sama yang mengajar tentang kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia, tetapi memilih untuk membebaskan Israel dari akauntabiliti. Ini bukan lagi hipokrasi, ini persubahatan.
Sistem Keadilan Selektif
Institusi yang mendakwa menegakkan undang-undang antarabangsa - ICC, PBB, apa yang kononnya digelar sistem demokratik liberal - kebanyakannya dicipta oleh kuasa Eropah.
Tetapi adakah ia benar-benar untuk keadilan? Atau sekadar direka untuk mengukuhkan dominasi Barat sambil menghukum pihak lain secara selektif?
ICC misalnya, telah mendakwa pemimpin dari Afrika, Timur Tengah dan Balkan. Tetapi apabila melibatkan pemimpin Barat atau sekutunya, keadilan tiba-tiba menjadi "rumit".
Dwistandard ini terlalu ketara. Israel bebas melakukan keganasan dan kegilaan, sementara mereka yang menentang penindasan dianggap penjenayah.
Ini bukan sekadar pengkhianatan undang-undang antarabangsa - ia pengkhianatan terhadap idealisme yang didakwa Barat.
Demokrasi Barat dalam krisis
Ketua dasar luar EU baru-baru ini melawat Israel dan berani menyebut Israel sebagai "rakan yang sangat baik".
Rakan baik dalam apa sebenarnya? Dalam melakukan jenayah perang? Melaksanakan pembersihan etnik? Mencabar undang-undang antarabangsa? Bagaimana EU yang mendakwa memperjuangkan hak asasi dan demokrasi boleh memeluk kerajaan yang aktif memusnahkan seluruh bangsa?
Ini bukan sekadar kegagalan diplomasi Barat, ia mendedahkan sistem yang dibina atas pembohongan. Barat suka memberi ceramah tentang demokrasi, hak asasi dan kedaulatan undang-undang.
Tetapi apa yang kita saksikan hari ini membuktikan nilai-nilai ini hanya dipakai apabila ia memenuhi kepentingan Barat. Kerajaan yang sama yang mewajarkan pengeboman atas nama demokrasi tiada masalah melindungi Netanyahu.
Media yang sama yang menggambarkan penentangan Palestin sebagai "keganasan" bersikap pengecut dengan tidak menggunakan perkataan sebenar untuk tindakan Israel - genosid.
Di AS, pelajar yang berani memprotes genosid Gaza ditangkap, didiamkan dan dimalukan. Universiti yang dulunya bangga sebagai kubu kebebasan bersuara kini bekerjasama dengan rejim AS untuk menyekat suara hati nurani.
Pelajar dirantai, diseret dan digantung hanya kerana menuntut keadilan untuk Palestin. Mesejnya jelas: menyokong penjenayah perang seperti Netanyahu boleh diterima, tetapi menentang genosid adalah kesalahan.
Ini bukan perkara baru. Kuasa Barat lama menggunakan demokrasi sebagai senjata untuk mewajarkan perang, campur tangan dan eksploitasi ekonomi.
Tetapi apa yang kita lihat hari ini lebih terang daripada sebelumnya. Topeng telah dibuka. Sistem dunia liberal mendedahkan diri sebenar- empayar yang dibina atas keadilan selektif, hipokrasi dan perang tanpa akhir.
Warisan kolonial yang tak berkesudahan
Apa yang kita saksikan bukan anomali tetapi kesinambungan mentaliti kolonial yang tidak pernah hilang. Penyebaran kuasa Barat selalu mengorbankan bangsa bukan kulit putih.
Berabad lalu, empayar Eropah mewajarkan penaklukan dengan dakwaan "memperadabkan" dunia. Hari ini, mereka mewajarkannya atas nama "mempertahankan demokrasi".
Sama ada penjajahan British di Palestin, imperialisme Perancis di Afrika atau perang Amerika di Timur Tengah, tujuannya sama - kawalan, eksploitasi dan penindasan penentangan.
Israel adalah projek penjajah terakhir dunia moden, dan Barat akan lakukan segalanya untuk mengekalkannya. Kenapa? Kerana Israel merupakan lanjutan hegemoni Barat di Timur Tengah.
Ia pangkalan tentera, alat untuk menekan penentuan nasib sendiri Palestin dan mengawal rantau ini. Itulah sebabnya peraturan untuk negara lain tidak relevan untuk Israel.
Itulah sebabnya Netanyahu boleh bergerak bebas sementara rakyat Palestin menghadapi perbicaraan dan penjara hanya kerana wujud di tanah sendiri.
Masa untuk hentikan ilusi
Kredibiliti Barat sedang runtuh. Hipokrasinya terlalu jelas untuk diabaikan. Mereka yang selalu peka sudah lama mengetahuinya, tetapi kini seluruh dunia mula menyedarinya.
Jika Barat ingin diambil serius, ia mesti sanggup melaksanakan standard yang sama untuk semua.
Ia tidak boleh mendakwa memperjuangkan demokrasi sambil menyokong aparteid. Tidak boleh mengajar hak asasi sambil membiayai genosid. Tidak boleh bercakap tentang kedaulatan undang-undang sambil membiarkan penjenayah perang bebas.
Paling tidak, Barat boleh berhenti meratib kita dengan versi hak asasi mereka. Jika demokrasi hanyalah alat untuk melindungi imperialisme, maka berhentilah berpura-pura.
Kerana sekarang, Barat bukan pembela demokrasi. Barat sudah jadi bahan ketawa dunia.