Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyeru Türkiye bekerjasama dengan Jakarta untuk "memikul tanggungjawab mencipta sistem global baharu."
"(Bersama Türkiye) sebagai pemimpin Global Selatan, rakan strategik, kita perlu bertanggungjawab mewujudkan sistem global baharu," kata Prabowo dalam sidang media bersama Presiden Türkiye Recep Tayyip Erdogan di Ankara pada hari Khamis.
Mengenai situasi geopolitik global, Prabowo berkata: "Indonesia dan Türkiye harus bekerjasama mengekalkan keamanan dan kestabilan global."
"Kami akan bekerjasama menyokong kemerdekaan Palestin," tegasnya.
Kedua-dua negara juga bersetuju menyokong kestabilan dan keamanan di Syria dan Ukraine, tambahnya.
Lawatan rasmi Prabowo ke Türkiye bermula hari Rabu lalu. Sebelum pertemuan empat mata, Erdogan menyambut Prabowo di istana presiden.
Ucapan di parlimen Türkiye
Dalam ucapannya di Parlimen Türkiye, Prabowo menyatakan sokongan untuk bangsa Türkiye dalam memperjuangkan keadilan di dunia tidak menentu.
"Kami ingin berdiri seiring Türkiye mempertahankan keadilan dan kebenaran dalam dunia penuh ketidakpastian," kata Prabowo.
Memuji hubungan erat dengan Ankara, Prabowo berkata: "Bagi kami, Türkiye sebenarnya kesinambungan Empayar Uthmaniyyah dan kami ingat hubungan sejarah antara kita."
Presiden Indonesia berusia 73 tahun itu kemudian berasa nostalgik, mengenang zaman mudanya:
"Wira dan ikon saya ialah Mustafa Kemal Ataturk bersama Sultan Uthmaniyyah Mehmed II," ujarnya merujuk pengasas Republik Türkiye dan sultan yang menakluk Istanbul dengan gelaran Fatih (Sang Penakluk).