Bekas Perdana Menteri Korea Selatan Han Duck-soo mengumumkan pencalonannya untuk jawatan presiden pada Jumaat dalam perlumbaan pilihan raya mengejut susulan pemecatan bekas presiden negara itu.
Undian pada 3 Jun itu akan menentukan pengganti bekas Presiden Yoon Suk Yeol, yang disingkirkan daripada jawatannya susulan pengisytiharan darurat tentera pada Disember lalu yang membawa kepada kemelut politik berpanjangan di Korea Selatan.
Ketidakstabilan politik negara itu semakin meruncing apabila mahkamah pada Khamis memerintahkan perbicaraan semula terhadap calon presiden paling berpotensi berikutan dakwaan pelanggaran undang-undang pilihan raya, sementara dua tokoh penting kerajaan – termasuk Han – meletak jawatan.
Han sebelum ini memberi bayangan mengenai hasrat bertanding jawatan presiden apabila beliau meletakkan jawatan sebagai pemangku presiden dan perdana menteri pada Khamis, dengan menyatakan kesediaannya untuk “memikul tanggungjawab lebih besar.”
“Demi masa depan Republik Korea, negara yang amat saya cintai, dan demi kita semua, saya telah memutuskan untuk lakukan apa yang saya mampu,” kata Han dalam ucapan yang disiarkan di televisyen pada Jumaat. “Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya presiden ini.”
Bekas perdana menteri itu mengambil alih jawatan sebagai pemangku presiden selepas Yoon dipecat oleh parlimen pada Disember. Beliau yang berusia 75 tahun dan berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam dijangka bekerjasama dengan Parti Kuasa Rakyat pimpinan Yoon untuk melancarkan kempen konservatif menentang calon liberal utama, Lee Jae-myung.
Sepanjang pentadbiran kerajaan liberal dan konservatif, Han pernah memegang pelbagai jawatan kanan termasuk menteri kewangan, menteri perdagangan dan duta Korea Selatan ke Amerika Syarikat. Han juga pernah dua kali berkhidmat sebagai perdana menteri – pertama kali di bawah mendiang bekas presiden Roh Moo-hyun dan kemudian di bawah Yoon.
“Saya telah mendedikasikan hidup saya untuk berkhidmat di barisan hadapan pembangunan ekonomi sebagai penjawat awam yang bangga mewakili Republik Korea,” kata Han sambil berikrar untuk menangani krisis perdagangan yang berterusan melibatkan tarif yang dikenakan Washington. Beliau turut berjanji akan meminda Perlembagaan bagi memendekkan tempoh jawatan presiden.
Tempoh lima tahun jawatan presiden Korea Selatan yang tidak boleh diperbaharui telah lama dikritik kerana memberi terlalu banyak kuasa kepada seorang individu, dengan pengkritik menyatakan ia kekurangan semak dan imbang.
Pengumuman Han itu dibuat sehari selepas mahkamah agung negara itu membatalkan keputusan terdahulu yang membebaskan Lee daripada tuduhan membuat kenyataan palsu semasa kempen pilihan raya lalu – satu risiko yang berpotensi menjejaskan peluang Lee untuk bertanding pada bulan depan.
Pada hari yang sama, Menteri Kewangan Choi Sang-mok – yang dijangka menggantikan Han sebagai pemangku presiden – turut meletak jawatan selepas ahli parlimen pembangkang mengundi untuk memecatnya atas dakwaan penglibatannya dalam insiden darurat tentera dan isu lain. Prosedur pemecatan itu digantung selepas Choi meletakkan jawatan.
SUMBER: AFP