Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan menegaskan tiada kuasa boleh memaksa rakyat Gaza keluar dari tanah air “abadi” mereka kerana Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur adalah milik rakyat Palestin.
“Tiada siapa yang mempunyai kuasa untuk mengusir rakyat Gaza dari tanah air abadi mereka, yang telah wujud selama ribuan tahun. Palestin, termasuk Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur adalah milik rakyat Palestin,” kata Erdogan kepada pemberita pada Ahad di Istanbul sebelum berlepas ke Malaysia.
Cadangan pentadbiran Amerika Syarikat mengenai Gaza, yang dibuat di bawah tekanan rejim Zionis, tidak berbaloi untuk dibincangkan, kata Erdogan, merujuk kepada cadangan Presiden AS Donald Trump untuk memindahkan rakyat Palestin.
Erdogan turut memuji Hamas kerana menunaikan janjinya dalam pertukaran tahanan yang sedang berlangsung dengan Israel, walaupun terdapat usaha oleh Israel untuk menggagalkan proses tersebut.
Mengenai situasi di Syria, Erdogan berkata apabila kubur besar-besaran ditemui di pelbagai kawasan di Syria, wajah berdarah rejim Assad semakin terdedah.
Presiden Turkiye itu menyatakan harapannya agar Syria mencapai kestabilan di bawah kepimpinan Presiden Ahmed Alsharaa, sambil menambah negara itu bakal menemui kedamaian tidak lama lagi.
Tiada tempat untuk kumpulan pengganas di Syria, kata Erdogan, sambil menegaskan bahawa Ahmad Alsharaa akan berjuang menentang kumpulan-kumpulan itu.
SUMBER: AA