Matthew Miller, yang berkhidmat sebagai jurucakap Jabatan Negara AS dari 2023 hingga akhir pentadbiran Joe Biden, menyatakan Israel "tanpa ragu" melakukan jenayah perang di Gaza. Pengakuannya ini menandakan perbezaan ketara daripada pendirian rasminya semasa masih berkhidmat di bawah pentadbiran Biden.
Dalam wawancara terbuka dan mendalam di podcast Sky News yang disiarkan pada hari Isnin, Miller mendedahkan perpecahan dalaman pentadbiran Biden berkenaan dasar AS terhadap pembunuhan beramai-ramai Israel di Gaza.
Kini sudah tidak lagi memegang jawatan dalam pendatbiran, refleksi Miller menggambarkan cabaran moral dan politik yang dihadapi di peringkat tertinggi dasar luar AS semasa salah satu tempoh paling ganas di rantau itu.
"Tidak dapat disangkal bahawa Israel telah melakukan jenayah perang," kata Miller dalam podcast itu. Walaupun beliau sebelum ini terikat dengan mesej rasmi kerajaan, keyakinan peribadinya menjadi lebih jelas selepas meninggalkan jawatannya.
"Sebagai jurucakap, anda bukan mewakili diri sendiri. Anda mewakili presiden dan pentadbiran, serta menyampaikan pendirian pentadbiran," jelasnya. "Apabila sudah tidak dalam pentadbiran, barulah anda boleh menyuarakan pendapat sendiri."
Wawancara itu mendedahkan ketegangan dan perselisihan dalam pentadbiran Biden mengenai cara menangani krisis Gaza—konflik yang mempertentangkan pembelaan "tanpa syarat" AS terhadap sekutu terdekatnya dengan jumlah korban awam yang semakin meningkat di Gaza, di mana puluhan ribu terbunuh dalam serangan tentera Zionis Israel yang tanpa henti.
"Terdapat perselisihan sepanjang masa tentang cara mengendalikan dasar. Ada perselisihan besar, ada juga yang kecil," kata Miller, mengesahkan pertikaian dalaman yang lama disyaki.
Ketika ditanya mengenai laporan ketegangan antara Setiausaha Negara Antony Blinken dan Presiden Biden berkenaan Gaza, Miller enggan mengulas secara langsung tetapi mengakui wujudnya pertikaian dasar dalam kerajaan.
"Setiap pegawai kanan kerajaan tidak memenangi setiap perdebatan dasar yang mereka sertai. Apa yang mereka lakukan ialah memberikan hujah terbaik kepada presiden."
Usaha pentadbiran Biden untuk menyeimbangkan dasar mencapai titik genting pada musim bunga 2024 apabila penghantaran bom 2,000 paun ke Israel dihentikan kerana kebimbangan penggunaannya di Gaza. Namun, usaha mengawal aliran senjata itu bersifat separa dan penuh cabaran.
"Ada perdebatan sama ada untuk menggantung penghantaran senjata lain, dan kadangkala kami menahan senjata tertentu semasa berunding tentang penggunaannya," kata Miller.
"Tetapi kami berada dalam situasi yang sangat sukar, terutamanya dalam tempoh itu ketika konflik memuncak."
'Persoalan terbuka'
Bekas jurucakap itu juga memberikan gambaran tentang maklumat perisikan Washington mengenai Hamas semasa pembunuhan beramai-ramai berterusan.
"Keputusan dan pemikiran pemimpin Hamas tidak selalu menjadi rahsia kepada AS dan rakan-rakan kami," katanya.
Miller merujuk perdebatan awam di AS tentang mengurangkan bantuan kepada Israel, protes meluas, dan langkah diplomatik negara-negara Eropah untuk mengiktiraf Palestin.
"Dalam tempoh antara akhir Mei dan pertengahan Januari [2025], ketika ribuan rakyat Palestin—rakyat awam yang tidak menginginkan perang ini—terbunuh, adakah lebih banyak yang boleh kami lakukan untuk menekan kerajaan Israel bersetuju dengan gencatan senjata? Pada masa-masa tertentu, mungkin ada."
Miller membezakan dua bentuk jenayah perang, memberikan pandangan terperinci tentang tindakan Israel.
"Ada dua cara untuk melihat jenayah perang. Pertama, jika negara itu menjalankan dasar untuk sengaja melakukan jenayah perang atau bertindak secara cuai sehingga membantu jenayah perang. Adakah negara itu melakukan jenayah perang?"
Walaupun Miller tidak menyatakan kepimpinan Israel sengaja mengarahkan jenayah perang, beliau mempersoalkan tindakan cuai yang mungkin memudahkannya.
Beliau mengkritik langkah akauntabiliti Israel, dengan berkata, "Kami belum melihat mereka mempertanggungjawabkan sejumlah besar anggota tentera." Beliau menambah, ia masih "persoalan terbuka" sama ada mereka akan berbuat demikian.
Miller juga bercakap tentang pertimbangan politik dalaman, mendedahkan beliau "ingin mempunyai calon yang lebih baik" daripada Biden untuk pilihan raya 2024, sekali lagi menggambarkan suasana bergolak semasa pentadbirannya.
Sidang media Miller
Semasa berkhidmat, Miller dikenali dengan sidang media yang lantang, sering mempertahankan sekutu AS, Israel.
Dalam satu sidang media, beliau ditegur kerana "senyuman sinis" ketika membincangkan jumlah kematian di Gaza.
Dalam kes lain, ketika ditanya mengenai serangan ke atas kemudahan yang menempatkan kira-kira 6,000 pelarian di Gaza, beliau berkata, "Israel berhak menjadikan orang awam tersebut sebagai sasaran."
Ketika mengulas laporan oleh Pelapor Khas PBB untuk Palestin, Francesca Albanese, yang menyatakan tindakan Israel di Gaza telah "melangkahi ambang melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin," Miller menggunakan stereotaip anti-Semit untuk menyasarkan Albanese.
Dalam sidang media November 2024, seorang wartawan mencabar AS sebagai pencabar dalam konsensus global tentang hak Palestin. Miller kemudian menggesa orang ramai "melihat usaha" diplomasi AS, yang dikritik di media sosial sebagai "pembelitan realiti" atau gaslighting.