Ketegangan yang memuncak dengan musuh ketat, India, tidak akan menyebabkan sebarang kesan fiskal besar kepada Pakistan, kata Menteri Kewangan Pakistan Muhammad Aurangzeb dalam satu temu bual bersama agensi berita Reuters.
Katanya keadaan kewangan Pakistan boleh diurus dalam ruang fiskal sedia ada tanpa memerlukan penilaian ekonomi baharu.
Pada Isnin, Aurangzeb menyifatkan pertempuran itu sebagai “ketegangan jangka pendek” dengan kesan fiskal minimum, sambil menyatakan bahawa “kerajaan Pakistan mampu menampung apa-apa kesan dalam ruang fiskal sedia ada.”
Apabila ditanya mengenai kemungkinan peningkatan perbelanjaan ketenteraan dalam belanjawan akan datang, Aurangzeb enggan mengulas, sambil menyatakan bahawa masih terlalu awal untuk membincangkan rancangan khusus.
Namun, beliau berkata: “Kami akan penuhi apa sahaja yang perlu dilakukan bagi memastikan keperluan pertahanan kami lengkap.”
Menurut Aurangzeb, rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat – yang memainkan peranan penting dalam mencapai gencatan senjata antara kedua-dua negara – dijangka membuahkan hasil dalam masa terdekat. Pakistan juga sedang mempertimbangkan untuk mengimport lebih banyak kapas berkualiti tinggi, kacang soya, serta meneroka aset lain termasuk hidrokarbon, katanya dalam temu bual tersebut.
Presiden Donald Trump pada hari yang sama berkata AS bersedia membantu India dan Pakistan selepas perjanjian gencatan senjata dicapai, sambil mendakwa perdagangan merupakan sebab utama kedua-dua negara “berhenti bertempur”.
Pakistan kini berdepan tarif sebanyak 29 peratus ke atas eksport ke AS disebabkan lebihan dagangan sekitar AS$3 bilion, namun ia kini ditangguhkan selama 90 hari sejak pengumuman pada April lalu.
Tekanan dari Washington
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Jumaat meluluskan pembayaran pinjaman sebanyak AS$1 bilion kepada Pakistan sebagai sebahagian daripada pakej sokongan bernilai AS$7 bilion.
Aurangzeb berkata Islamabad akan menerima pembayaran itu pada Selasa.
Lembaga eksekutif IMF turut meluluskan pinjaman baharu sebanyak AS$1.4 bilion kepada Pakistan untuk kemudahan ketahanan iklimnya.
Beliau berkata belanjawan persekutuan untuk tahun fiskal akan datang, yang bermula pada Julai, akan dimuktamadkan dalam tempoh tiga hingga empat minggu lagi, manakala rundingan belanjawan bersama IMF dijadualkan berlangsung dari 14 hingga 23 Mei.
Ketegangan antara India dan Pakistan mula memuncak susulan serangan pada 22 April di wilayah Kashmir yang ditadbir India, yang mengorbankan 26 pelancong – sekali gus mencetuskan pertempuran antara dua negara bersenjata nuklear itu.
Susulan tekanan diplomatik oleh Washington, Amerika Syarikat mengumumkan gencatan senjata di wilayah Himalaya itu pada Sabtu selepas empat hari pertempuran.
SUMBER: Reuters