DUNIA
3 min membaca
Puluhan ribu dijangka sertai protes ‘Hands Off!’ anti-Trump di AS
Protes akan diadakan di lebih 1,300 lokasi di 50 negeri di Amerika Syarikat, serta bandar besar lain seperti London, Berlin, dan Paris. Perhimpunan pro-Palestin ini juga akan diadakan di ibu negara AS.
Puluhan ribu dijangka sertai protes ‘Hands Off!’ anti-Trump di AS
Lebih 1,300 perhimpunan, acara lain dan meyuarat dijadualkan di kesemua 50 negeri, menurut penganjur. [handsoff2025.com] / TRT World
5 April 2025

Kira-kira 200 kumpulan dijadual mengadakan lebih 1,300 protes terhadap Presiden Donald Trump dan Elon Musk pada Sabtu, menjadikannya demonstrasi sehari terbesar sejak pentadbiran baharu Trump bermula.

Protes anti-Trump “Hands Off!” yang dianjurkan oleh kumpulan progresif seperti Third Act dan MoveOn menentang “rampasan kuasa secara ganas” oleh Trump terhadap kerajaan, ekonomi, dan hak rakyat, dengan Musk sebagai sekutu utamanya.

“Donald Trump dan Elon Musk fikir negara ini milik mereka. Mereka ambil segala yang boleh mereka capai, dan mencabar dunia untuk menghentikan mereka. Pada Sabtu, 5 April, kami akan turun ke jalanan di seluruh negara dengan mesej yang jelas: Hands off!” kata penganjur.

Protes dijadualkan di semua 50 negeri, dengan acara tambahan di bandar besar lain seperti London, Berlin, dan Paris.

Gerakan “Hands Off!” menggesa Trump dan sekutunya untuk berhenti campur tangan dalam program sosial, pekerjaan kakitangan kerajaan, hak sivil, perlindungan pengguna, dan institusi demokrasi.

Gesaan itu dibuat susulan pengumuman tarif oleh Trump yang menyebabkan kejatuhan pasaran saham, pemotongan peruntukan USAID, pemberhentian pekerja kerajaan oleh DOGE milik Musk, serta dasar-dasar yang dilihat anti-imigran dan merosakkan alam sekitar serta demokrasi.

“Ini adalah mobilisasi kebangsaan untuk menghentikan rampasan kuasa paling biadab dalam sejarah moden. Trump, Musk, dan kroni-kroni jutawan mereka sedang mengatur serangan menyeluruh terhadap kerajaan kita, ekonomi kita, dan hak-hak asas kita — dengan sokongan penuh diberikan oleh Kongres.”

“Mereka mahu memecah-belahkan Amerika — menutup pejabat Jaminan Sosial, memecat pekerja yang merupakan aset, menghapuskan perlindungan pengguna, dan memotong Medicaid — semuanya untuk membiayai penipuan cukai mereka. Mereka menyerahkan wang pembayar cukai, perkhidmatan awam, dan demokrasi kita kepada golongan ultra-kaya,” tambah penganjur.

“Jika kita tidak melawan sekarang, tiada apa yang akan tinggal lagi untuk diselamatkan.”

‘Ini adalah rampasan kuasa secara ganas’

Antara acara yang akan diadakan termasuk perhimpunan, perarakan, dan ucapan oleh tokoh terkenal seperti ahli Demokrat Jamie Raskin dan Maxwell Frost, serta pemimpin komuniti.

Protes di Washington DC, Boston, dan Philadelphia dijangka menarik penyertaan yang tinggi, di mana perhimpunan akan diadakan di National Mall dan Boston Common.

Gerakan “Hands Off!” menggambarkan rasa tidak puas hati rakyat terhadap penggal kedua Trump, yang ditambah buruk dengan kontroversi peranan Musk dalam pentadbiran Trump. Ini merupakan susulan protes terdahulu seperti “Tesla Takedown” dan “People’s March” pada 2025.

Penganjur menuduh pentadbiran Trump “menyerang komuniti dan hak-hak kami — menyasarkan veteran, kanak-kanak, warga emas, petani, warga asing, dan lawan politik.”

“Mereka tidak akan berhenti di situ. Ini bukan sekadar rasuah. Ini bukan sekadar salah urus. Ini adalah rampasan kuasa secara ganas.”

Perarakan untuk Palestin

Sementara itu, puluhan kumpulan mengumumkan rancangan untuk berarak di hadapan ibu pejabat Jabatan Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE) AS untuk membantah tindakan keras pentadbiran Trump terhadap individu pro-Palestin dan genosid di Gaza.

“Trump dan pentadbiran jutawannya fikir mereka boleh menindas gerakan kami dengan menyasarkan dan menganiaya pemimpin kami dalam tindakan keras terhadap kebebasan bersuara. Tapi kami tidak takut. 5 April akan menjadi hari kami bangkit dengan kekuatan dan menyatakan pendirian terhadap penganiayaan terhadap Mahmoud Khalil dan ramai lagi pemimpin pelajar lain,” kata People’s Forum, salah satu penganjur, dalam kenyataan.

Perarakan ini bertujuan menuntut pembebasan Mahmoud Khalil, Badar Khan Suri, dan Rumeysa Ozturk, serta pelajar lain yang mengkritik pembunuhan beramai-ramai Israel di Gaza.

“Perarakan ini akan menghantar mesej yang jelas bahawa rakyat di negara ini menolak tindakan keras Trump terhadap hak untuk membantah, sama seperti kami menolak wang cukai kami digunakan untuk membunuh rakyat di Gaza,” kata Layan Fuleihan dari People’s Forum.

Sejak mengambil alih untuk penggal kedua, Trump dan pentadbirannya mula mengambil tindakan keras terhadap individu pro-Palestin yang membantah perang kejam Israel di Gaza.

SUMBER: TRT World dan Agensi

Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us