Berra Ince
Pada malam 31 Ogos, tepat jam 10.13, sepasang warga Amerika ternampak satu objek misteri yang bersinar-sinar di langit malam Montana, AS.
“Adakah itu tahi bintang?” tanya salah satu daripada mereka.
Namun, apabila mereka maju untuk mendapatkan pandangan yang jelas, kedua-duanya tergamam melihat kelibat sejenis mesin terbang yang besar dengan lampu merah oren yang bekelip-kelip dan berpusing-pusing dibawahnya.
Catatan dalam Reddit yang luarbiasa ini adalah dari dua minggu lepas – ia menerangkan apa yang digelar sebagai ‘pertemuan dekat jenis ketiga’ atau close encounters of the third kind yang mendapat ilham dari filem Hollywood tahun 70an – menambah kepada senarai yang semakin bertambah mengenai laporan kelibat UFO menjelang perbicaraan Kongres dan ia digelar ‘fenomena udara yang tidak dapat dijelaskan’.
Menurut laporan media, perbicaraan tersebut akan berlangsung dalam beberapa minggu lagi.
Insiden tersebut berlaku di Choteau, sebuah pekan yang kecil dan sunyi yang terletak di tengah-tengah Montana, AS dan hanya 60 batu dari pangkalan senjata nuklear tentera udara AS.
Pada bulan Mei, Senator New York, Kirsten Gillibrand, yang mengesahkan perbicaraan yang akan datang, telah menyuarakan kebimbangan beliau berkenaan dron yang tidak dikenali berdekatan dengan kawasan pangkalan tentera.
“Ia agak membimbangkan bahawa ada perisian pengintip oleh musuh, jadi kami mahu maklumat yang lebih lanjut,” Gillibrand berkata pada sesi temuramah dengan podcast Ask a Pol, dimana topik perbualan adalah tentang kesan laporan deklasifikasi Pejabat Resolusi Anomali Semua Domain (AARO).
“Kami juga mahu terus membina kredibiliti di dalam pejabat (AARO) agar orang awam boleh melaporkan penampakan serta mempunyai tempat dan platform untuk memberi maklumat dan membuat pertanyaan,” menurut petikan New York Democrat.
“Kerana itu adalah tugasan pejabat ini.”
AARO ditubuhkan pada tahun 2022 susulan dari laporan Pentagon tahun 2021 berkenaan fenomena udara yang tidak dikenal pasti (UAP) yang mendokumenkan 144 penampakan, tetapi hanya boleh menerangkan satu sahaja manakala 143 penampakan tidak dapat mencapai kesimpulan yang memuaskan berdasarkan data yang tidak mencukupi.
Tujuan AARO tidak terhad kepada menjawab hal keselamatan berkenaan perjumpaan yang kerap berlaku di antara fasiliti atau kapal terbang tentera dengan objek terbang yang tidak dikenali (UFO), tetapi juga untuk menyelidiki kemungkinan kehidupan makhluk luar angkasa.
Dibawah Akta Kebenaran Pertahanan Negara, AARO dikehendaki untuk membuat laporan kepada Kongres yang mencatat secara terperinci rekod sejarah kerajaan berkaitan dengan fenomena anomali yang tidak dikenal pasti (UAP) sejak 1945.
Ia telah menghantar dua jilid pertama kepada Kongres pada bulan Mac yang menyatakan tidak ada bukti untuk mengaitkan penampakan makhluk asing atau kecerdasan makhluk luar angkasa. Sebaliknya kebanyakan insiden itu berlaku disebabkan objek dan fenomena biasa atau adalah kes silap kenal pasti.
“AARO menyedari bahawa ramai orang mempunyai kepercayaan sebegini kerana persepsi mereka terhadap pengalaman sebelum ini, pengalaman dari mereka yang dikenali, atau media dan sumber atas talian yang mereka percayai sebagai sumber yang sahih,” mengikut laporan tersebut.
Namun, laporan AARO telah dipertikaikan dengan kritik yang menunjukkan bahawa laporan tersebut penuh dengan kesilapan dan kekurangan serta ia gagal untuk menjawab aspek sejarah dan saintifik fenomena UAP.
“Walaupun saya menghargai usaha AARO, laporan terkini mereka agak cetek dan tidak telus,” Dr. Beatriz Villarroel, seorang pakar astronomi di Institut Nordic untuk Fizik Teoretikal di Stockholm, memberitahu TRT World.
“Contohnya, mereka merendah-rendahkan peristiwa UFO di Washington pada tahun 1952.”
Pada Julai 1952, satu siri peristiwa penampakan UFO telah dilaporkan berlaku di Washington D.C. Peristiwa ini kerap digelar Skandal Washington 1952 atau 1952 Washington Flap.
Berikutan dengan laporan-laporan tersebut, kerajaan AS bergegas menghantar jet-jet pejuang untuk memintas objek-objek UFO tersebut, tetapi mereka terbukti jauh lebih pantas dan mengatasi jet-jet pejuang.
Walaupun Tentera Udara kemudiannya mengaitkan penampakan tersebut dengan gangguan radar yang disebabkan oleh penyonsangan suhu, insiden ini yang telah menarik perhatian orang ramai, dan kekal sebagai salah satu kes UFO yang hangat dalam sejarah.
Villarroel juga menunjuk bahawa isu yang lebih meluas di dalam komuniti sains adalah wartawan-wartawan yang agak berat hati untuk menerbitkan artikel berkenaan UFO kerana artikel tersebut selalunya akan ditolak awal sebelum menjalani semakan rakan setara.
Kekurangan penglibatan akademik menyumbang kepada jurang ilmu dimana kerajaan dijangka untuk memberi jawapan tanpa penglibatan sains yang munasabah.
Mengikut statistik, sejak laporan Pentagon tahun 2021 mendokumentasi penampakan UAP tanpa menolak kemungkinan makhluk luar angkasa, makin ramai orang mula mempercayai kewujudan UFO.
Pada tahun 2022, pol YouGov melaporkan bahawa peratusan rakyat Amerika yang mempercayai bahawa UFO adalah kemungkinannya kapal makhluk asing atau bukti kehidupan luar angkasa telah naik dari 20 peratus pada tahun 1996 ke 34 peratus pada tahun 2022, setahun selepas laporan Pentagon diterbitkan.
Pol Gallup dari 2021 juga menyokong penemuan tersebut dengan lebih 40 peratus rakyat Amerika mempercayai bahawa kapal makhluk asing pernah mengunjungi bumi – kenaikan dari 33 peratus pada tahun 2019.
SUMBER: TRT World dan agensi
Berra Ince
Berra Ince adalah timbalan penerbit di TRT World.