BISNES & TEKNOLOGI
2 min membaca
Trump perlekeh kesan kemelesetan jangka pendek di AS
Presiden Donald Trump menegaskan dasar beliau akan membawa lonjakan ekonomi kepada AS meskipun mengakui kemungkinan berlaku kemelesetan.
Trump perlekeh kesan kemelesetan jangka pendek di AS
Ekonomi AS, iaitu yang terbesar di dunia, mula menyusut secara mengejut sejak tiga bulan pertama tahun ini selepas Trump memulakan pelan tarifnya. / AP
3 Mei 2025

Presiden Donald Trump berkata Amerika Syarikat kini berada dalam “tempoh peralihan” dan akan mencatat prestasi “yang sangat hebat,” sambil memperkecilkan kesan kemelesetan jangka pendek yang mungkin berlaku.

Ketika ditanya dalam temu bual bersama NBC News pada Jumaat sama ada wajar untuk berdepan kemelesetan jangka pendek, Trump menjawab:

“Lihat, ya, semuanya OK. Apa yang kita alami sekarang — saya katakan, ini adalah tempoh peralihan. Saya rasa kita akan mencatat kejayaan luar biasa.”

Kenyataan Trump mengenai ekonomi AS yang sedang melalui tempoh peralihan itu pernah ditulis di media sosialnya sebelum ini, di mana beliau merujuk kepada kadar pekerjaan yang kukuh serta mengulangi gesaannya agar Rizab Persekutuan AS menurunkan kadar faedah.

“Kita hanya berada pada fasa permulaan peralihan!” katanya dalam hantaran di Truth Social. Kenyataan itu dibuat selepas data terkini menunjukkan pertumbuhan pekerjaan AS untuk April sedikit perlahan.

Apabila ditanya sama ada AS mampu menghadapi kemelesetan, Trump menjawab, “Apa-apa pun boleh berlaku.”

“Tetapi saya percaya kita akan mempunyai ekonomi paling hebat dalam sejarah negara kita. Saya rasa kita akan mengalami lonjakan ekonomi paling besar dalam sejarah,” katanya dalam petikan temu bual tersebut yang akan disiarkan penuh pada Ahad.

Tarif besar-besaran ke atas import

Trump, yang baru meraikan hari ke-100 pentadbirannya, kini berdepan ketidakpuasan hati dikalangan rakyat yang semakin meningkat berhubung cara beliau mengurus ekonomi, di mana ramai ahli ekonomi meramalkan tarif yang diumumkan sejak beberapa bulan lalu akan meningkatkan inflasi dan memperlahankan pertumbuhan.

Tinjauan Reuters/Ipsos pada Ahad menunjukkan 42 peratus responden menyambut baik prestasi Trump sebagai presiden, iaitu penurunan lima mata peratusan berbanding selepas majlis angkat sumpahnya pada 20 Januari.

Jabatan Perdagangan AS pada Rabu mendedahkan data awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan penyusutan suku tahunan pertama dalam tempoh tiga tahun, apabila banyak syarikat tergesa-gesa mengimport barangan sebelum pelaksanaan tarif Trump.

Bagaimanapun, beberapa ahli ekonomi berkata perbelanjaan pengguna yang kukuh dan pelaburan swasta adalah petanda bahawa pertumbuhan mungkin akan pulih tidak lama lagi.

Pasaran kewangan mengalami ketidaktentuan sejak Trump memegang jawatan dan berusaha mengubah semula sistem ekonomi global dengan mengembalikan tarif import.

Namun begitu, harga saham meningkat pada Jumaat berikutan laporan pekerjaan yang kukuh di AS.

SUMBER: TRT World dan Agensi

Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us