Satu pasukan antarabangsa yang diketuai ahli biologi molekul Rana Dajani dari Universiti Hashemite, Jordan menemui bukti bahawa kesan genetik trauma boleh diwarisi.
Kajian terbitan Scientific Reports pada 27 Februari ini melibatkan Catherine Panter-Brick dari Universiti Yale (reka bentuk soal selidik trauma) dan Connie Mulligan dari Universiti Florida (analisis epigenetik).
Penyelidikan sebegini biasanya terhad kepada kajian haiwan kerana tidak beretika dilakukan pada manusia. Namun konflik di Syria menyediakan 'makmal semula jadi' untuk mengkaji kesan trauma antara generasi.
Selama beberapa dekad, rakyat Syria mengalami kitaran keganasan berterusan - dari pembunuhan beramai-ramai Hama 1982 hingga konflik 2011 yang berlarutan 13 tahun. Situasi ini membolehkan kajian unik tentang warisan biologi trauma.
Bagi Dajani (keturunan Syria-Palestin dan anak pelarian), kajian ini sangat peribadi dan revolusioner:
"Idea ini datang dari saintis Syria-Palestin, anak pelarian. Biasanya saintis dari Barat yang datang ke dunia kami. Kali ini berbeza - saintis datang dari komuniti sendiri, dan kerana komuniti ini mempunyai pengalaman dan ilmu sains," katanya kepada TRT World.
Soalan itu belum pernah diselidik sebelum ini: Mungkinkah kengerian keganasan terakam dalam gen generasi akan datang?
Setelah bertahun-tahun mengumpul data, menganalisis DNA dan menjalankan penyelidikan makmal, jawapannya sangat tidak disangka.
Mengesan Trauma Melalui DNA
Epigenetik (kajian perubahan ekspresi gen tanpa pengubahsuaian jujukan DNA) menunjukkan trauma meninggalkan tanda pada tahap molekul.
Biasanya, penanda epigenetik dipadam ketika kelahiran generasi baru. Namun kajian Dajani membuktikan sebaliknya.
Pasukannya mengumpal sapuan pipi 131 peserta dari 48 keluarga, dianalisis di Universiti Florida.
Kumpulan kajian dibahagikan kepada:
1. Nenek yang mengalami trauma semasa hamil dalam pembunuhan beramai-ramai Hama 1982, anak dan cucu perempuan mereka
2. Nenek tidak berada di Hama 1982 tetapi anak perempuan mereka terdedah kepada pemberontakan Syria 2011
3. Keluarga Syria yang berhijrah sebelum 1982 (ada seawal 1925)
Ketabahan muncul daripada Trauma antara-generasi
Setelah tujuh tahun penyelidikan, mereka menemui:
- 21 lokasi genom menunjukkan tanda trauma akibat pendedahan langsung
- 14 lokasi lain pada cucu yang terdedah secara tidak langsung
Yang paling mengejutkan - janin yang terdedah kepada trauma dalam rahim menunjukkan penuaan epigenetik lebih pantas. Trauma bukan sahaja mempengaruhi ibu hamil dan janin, malah sel reproduktif dalam janin itu sendiri. Oleh sebab sel janin membahagi dengan pantas, ia lebih terdedah kepada pengaruh persekitaran, termasuk trauma.
"Ini sangat penting kerana hari ini di Gaza, beribu-ribu wanita hamil terdedah kepada genosid," tegas Dajani.
Namun, fungsi 14 lokasi tersebut masih tidak diketahui.
Sebagaimana dijelaskan Dajani, lokasi-lokasi ini tidak berkaitan dengan kemurungan atau laluan biologi negatif lain yang diketahui. "Apa maksudnya? Laluan ini tidak diaktifkan oleh kemurungan atau penanda negatif lain," tambahnya.
Walaupun begitu, Dajani percaya lokasi-lokasi yang belum dikenal pasti ini mungkin berkaitan dengan fungsi pengawalan tahap tinggi yang boleh memberikan harapan untuk masa depan.
Ini menimbulkan kemungkinan menarik: Mungkinkah lokasi-lokasi yang tidak dikenali ini berkaitan dengan ketahanan dan bukan kerentanan?
"Oleh kerana ia belum dikenal pasti, kemungkinan besar ia memainkan peranan dalam pengawalan tahap tinggi," kata Dajani. "Melalui evolusi, manusia sentiasa mengharungi peperangan. Kita bertahan, kita berkembang, kita maju."
Walaupun Dajani belum dapat mengesahkan secara saintifik bahawa trauma membawa kepada perubahan genetik yang memupuk ketahanan dalam generasi akan datang, penemuan ini menunjukkan bahawa ini mungkin berlaku - walaupun eksperimen lanjut diperlukan untuk mengesahkan tanda-tanda ini.
Bukan mangsa seperti gambaran si penjajah
Dajani sangat sedar akan implikasi kerja beliau yang lebih luas. Beliau menghubungkan penemuan ketahanan ini dengan cara sains Barat secara menggambarkan masyarakat Timur sejak dari dahulu.
Beliau berhujah bahawa penyelidikan ini mencabar idea bahawa trauma secara kekal menjadikan komuniti rentan, dengan menawarkan pemahaman yang lebih bernuansa tentang ketahanan dalam menghadapi kesukaran.
"Ini sangat penting," katanya, "kerana sains Barat sentiasa menggambarkan orang yang terdedah kepada trauma dan keturunan mereka sebagai mangsa dan mudah dikecam. Dan mungkin sebab sebenar mereka menjadi mangsa dan rentan adalah kerana halangan struktur yang dibina oleh penjajah, atau ketidaksamaan, rasisme, ataupun apartheid."
Penggunaan perkataan "penjajah" oleh beliau adalah sengaja - satu cabaran terhadap naratif tradisional.
"Jadi sikap negatif ini - bahawa trauma menjadikan anda mangsa - adalah idea yang sangat kolonial. Mereka memulakan peperangan, kemudian memberitahu kami kami adalah mangsa. Dan mereka ingin datang menyelamatkan kami, yang merupakan penjajahan moden melalui bantuan kemanusiaan dan pembangunan."
Kerangka ini telah lama digunakan untuk memahami distorsi asas di mana yang dijajah melihat diri mereka dan tempat mereka di dunia. Melalui menyahinsankan, trauma epistemik menimbulkan luka psikologi dan emosi yang mendalam, kesannya berterusan lama selepas pemerintahan kolonial berakhir.
Tetapi bagi Dajani, sains dan data empirikal mendedahkan sesuatu yang lebih mendalam.
"Sekarang, berkat biologi, kita boleh katakan: Bukan biologi yang menjadikan mereka mangsa, tetapi halangan struktur."
Kerja beliau menekankan kepentingan mengubah persepsi: "Jika kita mengamalkan pendekatan itu, yang memerlukan kita menyahkoloni minda kita, bahawa kita bukan mangsa, maka kita boleh bekerjasama di seluruh dunia untuk meruntuhkan halangan struktur yang menghalang kita daripada mencapai kesaksamaan dan membolehkan kita keluar dari kemiskinan, peperangan, ketidaksamaan dan ketidakadilan."
Beliau berhujah bahawa penemuan ini menunjukkan sesuatu yang lebih memberi harapan.
"Ia bukan dalam DNA kita untuk menjadi mangsa; dalam DNA kita, sebagai sebahagian daripada evolusi, kita boleh bertahan, berkembang, dan maju serta menentang kesukaran dalam generasi akan datang kerana kita sebagai spesies boleh menyesuaikan diri. Kita mempunyai keupayaan untuk membuat pilihan ke hadapan."
Bolehkah penyelidikan membantu mewujudkan keadilan di Syria?
Aplikasi potensi penyelidikan ini melangkaui akademik, bahkan dalam kes trauma yang berasal dari keganasan rumah tangga, kata Dajani.
Selain itu, ia juga boleh diaplikasikan dalam bidang politik. Dengan kejatuhan rejim Assad pada Disember 2024, pintu telah dibuka untuk pertanggungjawaban di Syria. Dajani percaya sains boleh memainkan peranan dalam proses ini.
"Sekarang bukti biologi ini boleh digunakan di mahkamah undang-undang untuk mempertanggungjawabkan pelaku atas kekejaman yang mereka lakukan."
Bagi Dajani, tujuan sains adalah jelas. Beliau percaya bahawa penemuan dari penyelidikan ini boleh digunakan di luar akademik, menawarkan alat yang kuat untuk keadilan di Syria.
"Ini adalah sempadan baru di mana sains bukan sahaja boleh mendedahkan kebenaran tetapi juga menyumbang kepada akauntabiliti dan keadilan, tetapi ini akan jatuh ke dalam bidang di luar saintis."
Bagi Dajani, tujuan sains adalah untuk manusia: "Mana-mana saintis perlu melakukan sains kerana kita ingin memberi manfaat kepada manusia."
Mesej beliau meluas kepada seruan untuk tanggungjawab global yang lebih besar: "Ia panggilan penting untuk menyuruh seluruh dunia bangun dan sebagai manusai, kita perlu berbuat lebih baik dari apa yang dilakukan sekarang. Kita perlu melindungi kemanusiaan, bahawa semua orang sama, bukan sesetengah lebih sama daripada yang lain."