Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dijangka tiba di Arab Saudi pada Selasa dalam lawatan sulungnya ke beberapa negara Teluk yang turut merangkumi Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Ini merupakan lawatan luar negara pertama Trump bagi penggal kedua pentadbirannya, di mana Rumah Putih menyatakan beliau teruja untuk “kembali” ke rantau tersebut.
Lapan tahun lalu, Trump turut memilih Arab Saudi sebagai destinasi lawatan sulung beliau sebagai presiden.
Dalam tempoh beberapa hari sebelum lawatan itu, Rumah Putih telah memainkan peranan penting dalam memuktamadkan gencatan senjata antara India dan Pakistan, pembebasan tebusan warga Amerika di Gaza, serta mengadakan satu lagi rundingan nuklear dengan Iran.
Inisiatif ini menyusul selepas pengumuman mengejut minggu lalu bahawa Trump bersetuju dengan gencatan senjata bersama kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yaman.
‘Perjanjian’
Tumpuan utama di rantau itu dijangka lebih menjurus kepada pemeteraian perjanjian perniagaan.
“Sumber Rumah Putih memberi gambaran presiden akan memberi fokus kepada ‘perjanjian’,” tulis Daniel B. Shapiro, felo kanan di Inisiatif Keselamatan Timur Tengah Scowcroft di Atlantic Council.
Riyadh, Doha dan Abu Dhabi dijangka menyambut ketibaan jutawan berusia 78 tahun itu dengan sambutan yang mewah.
“Presiden teruja dengan kepulangannya yang bersejarah ke Timur Tengah,” kata jurucakap Trump, Karoline Leavitt, menjelang lawatan itu — bagi mempromosikan visi di mana “ekstremisme ditewaskan dan digantikan dengan perdagangan serta pertukaran budaya”.
Negara-negara Teluk kini tampil sebagai rakan diplomatik utama dalam penggal kedua Trump.
Doha kekal sebagai perantara penting dalam rundingan antara Hamas dan Israel, manakala Arab Saudi memainkan peranan dalam memudahkan rundingan berhubung perang di Ukraine.
Cakap-cakap mengenai lawatan Trump ke Arab Saudi bermula sejak beberapa bulan lalu. Putera Mahkota Mohammed bin Salman berikrar untuk melabur AS$600 bilion dalam perdagangan dan pelaburan dengan AS.
“Saya akan minta putera mahkota, yang merupakan individu yang hebat, untuk genapkan angkat itu kepada satu trilion. Saya rasa mereka akan bersetuju kerana kita sangat baik dengan mereka,” kata Trump.
Menurut seorang pegawai Arab Saudi yang dekat dengan kementerian pertahanan, Riyadh akan berusaha mendapatkan pesawat pejuang F-35 yang terkini dari AS, berserta sistem pertahanan udara tercanggih yang bernilai berbilion dolar.
“Kami akan menetapkan syarat agar penghantaran dibuat semasa tempoh pentadbiran Trump,” kata sumber itu kepada AFP.
Usaha untuk mendesak Arab Saudi mengiktiraf Israel dijangka tidak menjadi keutamaan dalam lawatan ini, memandangkan Riyadh menegaskan bahawa sebuah negara Palestin perlu diwujudkan terlebih dahulu sebelum sebarang perjanjian dapat dimeterai.
Iran pula dijangka menjadi topik utama dalam lawatan tersebut, susulan pusingan keempat rundingan di Oman pada hujung minggu lalu.
Satu lagi kontroversi yang timbul adalah berkenaan rancangan Trump untuk menerima jet mewah Boeing daripada keluarga diraja Qatar untuk digunakan sebagai pesawat rasmi Air Force One. Pada Ahad, Trump menyatakan pesawat itu merupakan “hadiah sementara”.
Beliau kemudiannya menyifatkan perjanjian itu sebagai “urusan yang sangat terbuka dan telus,” dan sebelum berlepas dari Washington pada Isnin, beliau berkata: “Saya bukan jenis orang yang akan menolak tawaran sebegitu.”
SUMBER: REUTERS