Menteri dalam negeri Perancis, Bruno Retailleau, berdepan kecaman selepas menyifatkan penyokong Paris Saint-Germain (PSG) yang meraikan kemenangan kelab dalam Liga Juara-Juara UEFA sebagai "puak gasar."
Kenyataan itu dikeluarkan selepas PSG menewaskan Inter Milan dari Itali 5-0 dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara pada Sabtu, mencetuskan sambutan meriah di seluruh Perancis.
Menurut laporan akhbar Le Figaro yang memetik Jabatan Polis Paris, seramai 131 orang ditahan di seluruh negara selepas perlawanan. Dua kenderaan dibakar, dan sebuah kedai dirompak.
Di Grenoble, tiga pejalan kaki cedera apabila seorang pemandu hilang kawalan dan melanggar orang ramai, lapor penyiar BFMTV.
Retailleau menulis di X bahawa penyokong sejati menikmati perlawanan, tetapi "segelintir puak gasar mengambil kesempatan untuk melakukan jenayah dan mencetuskan provokasi terhadap pihak berkuasa."
Beliau berkata telah mengarahkan pasukan keselamatan bertindak tegas terhadap insiden itu.
"Tidak boleh diterima bahawa kita tidak boleh meraikan kemenangan tanpa rasa takut terhadap keganasan minoriti samseng yang tidak menghormati apa-apa," tambahnya.
"Orang gasar berada di Beauvau"
Penggunaan istilah "puak gasar" oleh Retailleau mencetuskan kritikan pedas daripada ahli politik pembangkang.
Antoine Leaument dari parti kiri jauh La France Insoumise (parti Perancis Tak Tunduk) mengutuk penggunaan gas pemedih mata yang berlebihan di stesen metro Madeleine, salah satu stesen metro terdekat dengan Champs-Élysées, tempat penyokong berkumpul.
"Menghalang orang ramai meraikan kemenangan di Champs-Élysées, itukah rancangannya? Si orang gasar sebenarnya berada di Beauvau," katanya, merujuk kepada dataran awam.
Ahli parlimen pembangkang Alexis Corbière turut mengkritik Retailleau, menyifatkan kenyataannya tidak sesuai untuk seorang menteri dalam negeri republikan.
"Kita harus menolak keganasan mereka yang ingin merosakkan sambutan, tetapi mengapa gunakan bahasa seperti ‘puak gasar', 'ganas', yang membawa maksud orang asing dan hampir seperti haiwan?" katanya. "Ketika orang sedang bergembira, lelaki ini dipenuhi kebencian."
Thomas Portes dari La France Insoumise menuduh Retailleau bersikap perkauman, menulis di X: "Mungkin kita ada perbezaan politik, tetapi perkataan puak gasarr' tidak sepatutnya keluar dari mulut menteri dalam negeri. Bruno Retailleau membuktikan malam ini bahawa dia seorang menteri dalam negeri yang rasis."