Ratusan penduduk haram Israel menceroboh masuk kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki pada Isnin sempena sambutan perayaan Yahudi Shavuot, menurut agensi Palestin.
Jabatan Wakaf Islam di Baitulmaqdis dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa lebih 500 penduduk haram memasuki kawasan suci itu secara berkumpulan sambil dijaga dan dilindungi oleh anggota tentera Israel.
Saksi memberitahu Anadolu bahawa penduduk haram memasuki kawasan sensitif tersebut melalui Pintu Al-Mugharbah di sebelah barat masjid.
Menurut agensi berita rasmi Palestin, Wafa, penduduk haram yang hadir melakukan ritual Talmud yang mencetuskan provokasi di pintu-pintu masuk masjid sebagai tanda sambutan Shavuot, yang juga dikenali sebagai "Feast of Weeks”.
Sejak 2003, Israel membenarkan penduduk haram Yahudi memasuki kompleks Masjid Al-Aqsa hampir setiap hari kecuali pada Jumaat dan Sabtu.
Masjid Al-Aqsa merupakan tapak ketiga paling suci dalam Islam. Kaum Yahudi merujuk kepada kawasan itu sebagai “Temple Mount” dan mendakwa ia merupakan lokasi dua kuil Yahudi pada zaman dahulu.
Israel menduduki Baitulmaqdis Timur — lokasi Masjid Al-Aqsa — ketika Perang Arab-Israel 1967. Ia kemudian mengisytiharkan pendudukan ke atas keseluruhan kota suci itu pada 1980, satu tindakan yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.