Turkiye menolak keras laporan 2023–2024 Parlimen Eropah (EP) mengenai negara itu, dengan menyifatkannya sebagai dokumen yang berat sebelah dan dipenuhi dengan “tuduhan tidak berasas” terhadap dasar dalam dan luar negeri Ankara.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, Kementerian Luar Turkiye mengkritik laporan yang diterima pakai semasa sesi Parlimen Eropah, sambil berkata ia mencerminkan sikap berat sebelah sebuah institusi yang memberikan “platform propaganda kepada organisasi pengganas” dan kumpulan yang menjadikan sentimen anti-Turkiye sebagai matlamat utama mereka.
“Kami menolak penilaian yang tidak berasas daripada sebuah institusi yang memberikan ruang propaganda kepada organisasi pengganas dan kumpulan yang menjadikan sentimen anti-Turkiye sebagai raison d’être mereka, berhubung dinamik politik negara kami, dasar luar kami, dan lawatan Presiden kami ke Republik Turki Cyprus Utara,” menurut kenyataan itu.
Kementerian itu turut menggesa agar Parlimen Eropah mengambil pendekatan yang lebih membina dan seimbang pada masa akan datang, terutamanya berkaitan proses kemasukan Turkiye ke Kesatuan Eropah yang telah lama tertangguh.
“Dalam tempoh akan datang, kami menjangkakan EP melaksanakan tanggungjawabnya bagi memastikan hubungan kami dengan Kesatuan Eropah (EU), termasuk proses keanggotaan, diteruskan berasaskan manfaat bersama,” kata kenyataan itu lagi.
SUMBER: TRT World dan Agensi