Sekurang-kurangnya empat orang maut dan lebih 100 penerbangan tertangguh susulan angin kencang, ribut debu dan hujan lebat yang melanda ibu kota India, New Delhi pada pagi Jumaat.
Jabatan meteorologi negeri berkata angin kencang melanda Delhi pada waktu pagi disebabkan “ribut petir yang kuat,” dengan kelajuan angin tertinggi direkodkan di sekitar Safdarjung. Hujan lebat dan ribut petir turut dilaporkan di ibu kota.
Keadaan cuaca yang teruk menyebabkan banyak pokok tumbang dan banjir kilat, sekali gus menjejaskan penerbangan. Menurut flightradar24.com, lebih 100 penerbangan dilaporkan tertangguh.
Lapangan Terbang Antarabangsa Delhi dalam kenyataannya pada awal pagi Jumaat memaklumkan beberapa penerbangan terjejas akibat cuaca buruk dan ribut petir.
Bagaimanapun, lapangan terbang itu kemudian memaklumkan bahawa ia akan beroperasi seperti biasa, meskipun cuaca buruk menyebabkan beberapa pokok tumbang dan jalan raya sekitar lapangan terbang terhalang.
Di kawasan kejiranan Dwarka, Delhi, empat orang termasuk tiga kanak-kanak maut akibat angin kencang pada waktu pagi, menurut pihak berkuasa tempatan.
Ketua Menteri Delhi Rekha Gupta berkata pada Jumaat bahawa semua pegawai telah diarahkan untuk mengenal pasti kawasan yang dilanda banjir kilat dan mencari jalan penyelesaian segera.
SUMBER: AA