PERANG GAZA
6 min membaca
Tahanan Israel dapat liputan berita, rakyat Palestin masuk kubur
Ketika dunia bersatu menyokong tahanan Israel, tahanan Palestin terus menderita di penjara Israel dengan dikenakan penahanan tanpa had, penyeksaan dan berdepan maut—semuanya disambut dengan kebisuan oleh masyarakat antarabangsa. Mengapa?
Tahanan Israel dapat liputan berita, rakyat Palestin masuk kubur
Khader Adnan meninggal dunia dalam tahanan Israel selepas mogok lapar. (Reuters) / Reuters
8 Mac 2025

Respon antarabangsa terhadap tahanan dalam konflik Israel-Palestin memperlihatkan hipokrasi yang nyata. Tahanan Israel di Gaza menerima liputan media global, tekanan diplomatik dan seruan segera untuk pembebasan mereka. Sementara itu, ribuan tahanan Palestin—termasuk kanak-kanak, wartawan dan petugas perubatan—dipenjarakan tanpa tuduhan, diseksa, bahkan dibunuh dalam tahanan Israel, tetapi dunia tetap membisu.

Tindakan dua darjat ini bukan suatu kebetulan; ia adalah sikap tidak adil yang disengajakan bagi mengukuhkan Israel sambil menutup penderitaan Palestin.

Kematian dalam tahanan Israel: Pembunuhan senyap

Sejak 7 Oktober 2023, sekurang-kurangnya 59 tahanan Palestin meninggal dunia dalam tahanan Israel, satu keadaan yang mencurigakan. Nama mereka biasanya tidak disebut dalam media antarabangsa, manakala pegawai Israel boleh bertindak tanpa dikenakan hukuman. Dunia hanya menyaksikan dalam diam ketika sistem penjara Israel berubah menjadi bilik maut bagi tahanan Palestin.

Salah satu mangsa terbaharu ialah Musab Hani Haniyeh, yang dibunuh Israel beberapa hari lalu. Kematian beliau bukan satu anomali—ia adalah sebahagian daripada dasar sistematik penyalahgunaan yang merangkumi tindakan memukul dengan kejam, kebuluran, pendedahan kepada suhu ekstrem, dan pengabaian perubatan yang disengajakan. Namun, meskipun terdapat pelanggaran hak asasi manusia sebegitu rupa, tiada satu pun kerajaan Barat yang menyeru siasatan bebas.

Bandingkan ini dengan reaksi terhadap tahanan Israel di Gaza. Sebaik sahaja laporan mengenai keadaan mereka muncul, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amerika Syarikat, dan kuasa Eropah segera mengecam Hamas, menyatakan bahawa penahanan itu adalah “jenayah perang.”

Di manakah suara-suara ini ketika rakyat Palestin diseksa dan dibunuh dalam penjara Israel? Di manakah mesyuarat kecemasan PBB apabila mayat tahanan Palestin keluar dari penjara Israel dalam keranda?

Bilik penyeksaan

Sistem penjara Israel bukan sekadar menahan rakyat Palestin, tetapi menghancurkan mereka. Penahanan pentadbiran dan dasar kejam yang diwarisi daripada pemerintahan kolonial British, membolehkan Israel memenjarakan rakyat Palestin tanpa dakwaan atau perbicaraan untuk tempoh tanpa had. Dasar ini secara tidak seimbang menyasarkan aktivis, pelajar, dan pekerja profesional.

Lihat kes Dr. Husam Abu Safiya, seorang petugas perubatan yang diculik dari tempat kerjanya di Hospital Kamal Adwan di utara Gaza. Menangkap petugas perubatan di zon konflik adalah pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa, namun penderitaan Abu Safiya hampir tidak mendapat perhatian dalam media Barat. Dunia hanya berdiam diri ketika Israel menjadikan hospital sebagai medan buruan untuk penganiayaan politik. Doktor dan wartawan Palestin sering ditangkap, dituduh dengan dakwaan “ancaman keselamatan”, dan ditahan dalam keadaan yang mengerikan.

Mereka yang selamat daripada penjara acap kali keluar dengan badan yang penuh luka—sama ada yang dapat dilihat mahupun yang tersembunyi.

Ambil contoh Mohammed Abu Tawila, seorang tahanan Palestin yang baru dibebaskan. Tubuhnya terdapat kesan luka mengerikan akibat dibakar dengan besi panas, kejutan elektrik, dan kecederaan pada wajahnya yang disengajakan. Ini bukan perbuatan pegawai yang bertindak sendiri; ia adalah sebahagian daripada dasar penyeksaan yang telah lama diinstitusikan dan didokumentasi oleh kumpulan hak asasi manusia seperti B’Tselem, Addameer, dan Human Rights Watch.

Penggunaan penyeksaan, pengasingan yang berpanjangan, dan pengakuan paksa oleh Israel adalah pelanggaran terhadap Konvensyen Menentang Penyeksaan, yang mana Israel adalah salah satu negara yang menandatangani konvensyen itu. Namun, kerajaan Barat yang sering memberi syarahan kepada dunia tentang hak asasi manusia terus membiayai, membekalkan senjata, dan melindungi Israel daripada sebarang tanggungjawab.

Kematian yang sepatutnya mengejutkan dunia

Pada Mei 2023, tahanan Palestin Khader Adnan meninggal dunia selepas mogok lapar selama 86 hari—satu tindakan terdesak untuk menentang penahanan pentadbiran tanpa had yang dikenakan ke atasnya. Sebagai tahanan politik, Adnan memilih untuk melawan penindasnya dengan satu-satunya senjata yang masih ada padanya: tubuhnya sendiri. Dia dibiarkan mati di dalam sel penjara, dinafikan rawatan perubatan sehingga organ dalamannya gagal berfungsi.

Kematian beliau sepatutnya mencetuskan kemarahan. Ia sepatutnya membawa kepada desakan antarabangsa untuk sekatan, siasatan, dan pertanggungjawaban. Sebaliknya, institusi dunia kekal beku, dengan kebisuan mereka lebih lantang daripada sebarang kenyataan yang mampu mereka keluarkan. Dalam beberapa bulan, kisahnya tenggelam di bawah tajuk utama perang Israel ke atas Gaza, hilang dalam kekosongan penderitaan Palestin yang sering dilupakan.

Bandingkan ini dengan reaksi dunia terhadap tahanan Israel. Apabila seorang askar Israel ditangkap, kerajaan di seluruh dunia menuntut pembebasannya dengan serta-merta. Tetapi apabila seorang tahanan Palestin mati dalam sel penjara gelap dan sejuk selepas 86 hari tanpa makanan, dunia hanya mengangkat bahu tanpa peduli.

Politik pembebasan tahanan

Satu lagi perbezaan ketara dalam layanan terhadap tahanan Israel dan Palestin terletak pada permainan politik untuk pembebasan mereka.

Tekanan antarabangsa sering membawa kepada pembebasan tahanan Israel, tetapi tahanan Palestin hanya dibebaskan dengan syarat konsesi politik—biasanya selepas pembantaian dan serangan ketenteraan yang dahsyat.

Setiap pertukaran tahanan didahului dengan tangkapan besar-besaran, pengeboman, dan tindakan keras yang kejam terhadap komuniti Palestin. Dunia tidak pernah menuntut Israel membebaskan rakyat Palestin yang ditahan secara tidak sah, walaupun terdapat pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa. Ini bukan diplomasi—ini adalah wang tebusan yang dibayar dengan darah.

Ketidakseimbangan ini diperkuat lagi oleh naratif media. Tahanan Israel dilabel sebagai “tebusan” atau “askar yang diculik,” menimbulkan rasa simpati. Sebaliknya, tahanan Palestin—sama ada mereka kanak-kanak atau petugas kemanusiaan—dilabel sebagai “pengganas” atau “ancaman keselamatan.”

Manipulasi bahasa ini disengajakan. Ia bertujuan untuk mengharamkan sebarang cubaan rakyat Palestin dalam menentang penjajahan dengan menafikan status sah mereka sebagai tahanan politik. Matlamatnya jelas: memastikan rakyat Palestin sentiasa dilihat sebagai penjenayah, dan bukan sebagai mangsa kuasa penjajah.

Sikap tidak adil media

Tahanan Israel mendapat perhatian media Barat secara berterusan. Kita melihat mereka di kaca televisyen dalam wawancara bersama keluarga mereka; kemudian ada rayuan beremosi oleh pemimpin dunia serta seruan mendesak untuk tindakan segera.

Sementara itu, tahanan Palestin—yang menanggung penderitaan jauh lebih buruk—hanya dikurangkan menjadi statistik tanpa nama, itu pun jika ada disebut.

Liputan terpilih ini bukan sekadar berat sebelah—ia adalah sebahagian daripada perang terhadap kewujudan Palestin. Jika seorang tahanan Palestin diseksa di dalam sel penjara Israel dan tiada sesiapa yang melaporkannya, adakah jenayah itu pernah wujud?

Namun, bukan hanya media yang bersalah; institusi hak asasi manusia juga telah mengkhianati rakyat Palestin dengan sikap bermuka-muka mereka.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mempunyai bidang kuasa ke atas jenayah di wilayah Palestin yang diduduki, namun sehingga kini, ia tidak mengambil sebarang tindakan terhadap penyeksaan sistematik yang dilakukan Israel terhadap tahanan Palestin. Begitu juga dengan PBB, Kesatuan Eropah, dan organisasi hak asasi manusia Barat yang sering mengecam pelanggaran hak di seluruh dunia—tetapi apabila ia melibatkan tahanan Palestin, mereka bersekongkol bersama.

Ini bukan kejahilan. Ia adalah keengganan yang disengajakan untuk menuntut Israel bertanggungjawab.

Jalan menuju keadilan

Jika undang-undang antarabangsa benar-benar bermakna, ia mesti diterapkan secara adil. Keadilan tidak boleh bersifat selektif. Jalan menuju keadilan sudah jelas, dan ia bermula dengan kesedaran global.

Organisasi hak asasi manusia dan wartawan bebas mesti mengutamakan laporan dan advokasi mengenai tahanan Palestin. Kerajaan yang mendakwa memperjuangkan hak asasi manusia mesti mengambil tindakan tegas dan bermakna terhadap pegawai Israel yang bertanggungjawab atas penyeksaan dan pembunuhan di luar proses undang-undang. Media harus dipersoalkan atas laporan berat sebelah mereka, dan penderitaan tahanan Palestin mesti mendapat perhatian yang sama seperti mana-mana tahanan Israel. Tekanan antarabangsa yang berjaya meruntuhkan apartheid di Afrika Selatan mesti diterapkan terhadap sistem penjara apartheid Israel.

Hipokrasi dalam layanan dunia terhadap tahanan Israel dan Palestin adalah kegagalan moral yang sangat besar. Ketika tahanan Israel dilayan seperti manusia, diperjuangkan, dan diselamatkan, tahanan Palestin pula diabaikan, dijadikan sasaran, digambar sebagai pebjahat, dan dibiarkan menderita.

Berapa ramai lagi rakyat Palestin yang perlu mati dalam tahanan Israel sebelum dunia berhenti membisu dan mula ambil peduli?

SUMBER: TRT World

Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us