Istanbul, Türkiye digegarkan gempa bumi kuat 6.2 magnitud yang mengakibatkan 236 orang cedera dalam kejadian panik, namun tiada yang mengalami kecederaan mengancam nyawa.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD), pusat gempa terletak di daerah Silivri, Istanbul.
Gempa berlaku pada 12:49 tengah hari waktu tempatan (09:49 GMT) hari Rabu dan dirasai kuat di seluruh Istanbul serta wilayah jiran, menyebabkan penduduk lari keluar bangunan kerana ketakutan.
Satu lagi gempa bumi 4.9 magnitud berlaku pada 13:02 tengah hari (10:02 GMT) dengan pusat gempa di luar pesisir Buyukcekmece, Laut Marmara.
Menurut AFAD semua institusi berkaitan dan pasukan tindak balas telah digerakkan sementara tinjauan lapangan sedang dijalankan untuk menilai kerosakan dan memastikan keselamatan awam.
Agensi itu menekankan pasukan terlibat sedang memantau situasi dan menyelaraskan usaha bantuan. Tiada laporan segera mengenai kematian atau kerosakan besar.
Dalam satu kenyataan, Presiden Türkiye Recep Tayyip Erdogan menyatakan pihak berkuasa sedang memantau perkembangan dengan teliti.
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres pada hari Rabu menyatakan "solidariti penuh" dengan Türkiye berikutan gempa bumi kuat itu.
"Pertamanya, saya ingin menyatakan kepada kerajaan dan rakyat Türkiye solidariti penuh saya dalam saat-saat sukar ini," kata Guterres sebelum sidang media di ibu pejabat PBB di New York mengenai krisis iklim.