Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sekali lagi menegaskan hasrat kerajaannya untuk merampas seluruh Gaza yang ketika ini dikepung sepenuhnya.
Netanyahu turut menolak sebarang perjanjian dan usaha untuk menamatkan perang, sambil menafikan spekulasi mengenai perselisihannya dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
“Ada sekurang-kurangnya 20 tebusan yang masih hidup di Gaza dan kira-kira 38 lagi dipercayai telah terbunuh,” katanya pada Rabu dalam satu sidang media di pejabatnya di Baitulmaqdis Barat.
Kumpulan pejuang Palestin Hamas telah berulang kali menyatakan kesediaan mereka untuk membebaskan tahanan Israel dalam satu pertukaran, dengan syarat perang ditamatkan, Israel berundur dari Gaza, dan tahanan Palestin dibebaskan.
Namun, Netanyahu menolak syarat-syarat tersebut dan sebaliknya menuntut agar semua kumpulan pejuang Palestin melucutkan senjata mereka, serta menegaskan keperluan untuk Israel menduduki Gaza sepenuhnya.
Beliau turut menggariskan syarat-syarat bagi menamatkan perang: pemulangan semua tebusan Israel, penyingkiran kepimpinan Hamas dari Gaza, dan pelucutan senjata kumpulan itu secara menyeluruh.
Netanyahu mendakwa bahawa sebaik sahaja matlamat ini dicapai, Israel akan melaksanakan rancangan yang dikenali sebagai “Trump Plan” — yang secara meluas ditafsirkan sebagai rangka kerja untuk memindahkan rakyat Palestin keluar dari Gaza.
Netanyahu nafi perselisihan dengan Trump
Netanyahu turut menolak spekulasi mengenai perselisihan dengan pentadbiran AS susulan lawatan Trump ke negara-negara Teluk di mana Israel tidak menerima jemputan.
Lawatan Trump ke Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu menyaksikan beberapa perjanjian perniagaan besar dimeterai, namun ia juga mencetuskan kritikan secara meluas di media yang mempersoalkan ketiadaan Israel — sekutu paling rapat Washington di rantau itu — dalam lawatan tersebut.
Lawatan itu dibuat susulan keputusan Trump untuk menamatkan serangan AS terhadap kumpulan Houthi di Yaman.
Netanyahu, yang sebelum ini tidak mengulas isu tersebut secara terbuka, memberitahu wartawan bahawa beliau diberitahu oleh Trump: “Bibi, saya mahu kamu tahu, saya amat komited terhadap kamu dan terhadap Israel.”
Susulan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap Israel, Trump menggesa agar perang di Gaza ditamatkan dengan segera, sambil memetik penderitaan orang awam di wilayah yang dikepung itu, di mana Israel telah menyekat bantuan daripada disalurkan selama 11 minggu, sekali gus mencetuskan krisis kemanusiaan.
Dalam perbualan berasingan beberapa hari lalu, Netanyahu berkata Naib Presiden AS JD Vance turut memberitahunya: “Jangan pedulikan semua berita palsu tentang keretakan hubungan antara kita.”
SUMBER: TRT World & Agensi