Elon Musk telah menggelar penasihat perdagangan utama Presiden Donald Trump, Peter Navarro sebagai "bodoh" dan "lebih dungu daripada karung batu", mendedahkan perpecahan dalam pentadbiran Republikan berkenaan isu tarif.
Kenyataan Musk pada Selasa itu dibuat sehari selepas Navarro mendakwa Musk, pemilik syarikat kereta elektrik Tesla, "bukan pengeluar kereta - dia hanya pemasang kereta".
"Jika anda pergi ke kilangnya di Texas, sebahagian besar enjin yang dia dapat (yang dalam kes EV adalah bateri) datang dari Jepun dan China," kata Navarro.
"Elektronik datang dari Taiwan... apa yang kami mahukan - dan perbezaan pemikiran kami dengan Elon - ialah kami mahu tayar dibuat di Akron. Kami mahu transmisi dibuat di Indianapolis. Kami mahu enjin dibuat di Flint dan Saginaw. Dan kami mahu kereta dipasang di sini."
"Navarro betul-betul bodoh. Apa yang dia katakan ini ternyata palsu," balas Musk.
Bilionair penasihat Trump itu, yang telah memansuhkan beberapa agensi persekutuan melalui Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE), menambah bahawa "Tesla mempunyai kereta paling banyak dibuat di Amerika. Navarro lebih dungu daripada karung batu."
Lelaki terkaya dunia itu baru-baru ini menyokong zon perdagangan bebas antara Amerika Utara dan Eropah - hasrat yang bercanggah dengan dasar tarif utama Trump.
Presiden AS itu menolak sebarang perubahan pada pendirian agresifnya walaupun menghadapi tindakan balas China dan kritikan dalam Parti Republikan.
Pertelingkahan Navarro-Musk mendedahkan ketegangan awam yang semakin meningkat sementara Trump kekal dengan dasar tarifnya.
Pada Ahad lalu, penyokong Trump bilionair Bill Ackman menulis di media sosial bahawa tarif akan menyebabkan "musim sejuk nuklear ekonomi" dan meminta presiden menghentikannya sementara.
Penyokong Trump terkemuka lain termasuk pengasas Barstool Sports Dave Portnoy dan hos podcast Joe Rogan juga meluahkan kebimbangan serupa tentang tarif tersebut.