ASIA
5 min membaca
Larangan ke atas Hurriyat - Kepingan baru dalam teka-teki politik Kashmir
Larangan kerajaan India terhadap dua pertubuhan Hurriyat adalah corak penindasan politik yang biasa - tetapi adakah ia juga mempunyai tujuan strategik yang lebih mendalam?
Larangan ke atas Hurriyat - Kepingan baru dalam teka-teki politik Kashmir
Kerajaan India telah melarang dua pertubuhan Hurriyat — termasuklah Awami Action Committee pimpinan Mirwaiz Umar Farooq's (Reuters). / Reuters
25 Mac 2025

Larangan kerajaan India terhadap dua pertubuhan Hurriyat sederhana – Awami Action Committee (AAC) pimpinan Mirwaiz Umar Farooq dan Jammu Kashmir Ittihadul Muslimeen (JKIM) pimpinan pemimpin Syiah, Masroor Abbas Ansari – di bawah undang-undang anti-keganasan yang ketat, mengejutkan banyak pihak. Namun, dari banyak segi, ia selari dengan corak penindasan politik yang sudah lama berlaku. Walaupun tidak dijangka, langkah ini seakan kepingan terakhir yang melengkapkan strategi New Delhi terhadap Kashmir.  

Jika ini sekadar sekatan baharu ke atas pertubuhan Kashmir, persoalan utama ialah: kenapa sekarang?  

Politik pro-kemerdekaan di Jammu dan Kashmir sudah lama dibungkam sejak India menarik autonomi wilayah itu pada 2019, membahagikan bekas negeri itu kepada dua Wilayah Kesatuan, dan melaksanakan pemerintahan langsung dari New Delhi.  

Sejurus selepas itu, kerajaan mengharamkan Jamaat-e-Islami, JKLF, Muslim League, Democratic Freedom Party dan Dukhtaran-e-Millat, dengan menahan aktivis dan pemimpin utama. Baru-baru ini, pihak berkuasa menyerbu bahan bacaan Jamaat dan mengharamkan lebih 600 buku.  

Sejak 2019, aktiviti politik AAC dan JKIM sudah sangat terbatas. Misalnya, Mirwaiz kebanyakannya berada dalam tahanan rumah selama lima tahun ini, malah dilarang menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Jamia, Srinagar. Beberapa bulan kebelakangan ini, dia sesekali membuat rayuan untuk memulakan dialog politik. JKIM pula terus berdiam diri, terutamanya selepas kematian pengasasnya, Maulana Abbas Ansari, pada 2022. Tiada bukti awam yang mengaitkan kumpulan ini dengan sebarang gerakan pemisahan terkini.  

Larangan tidak berasas?  

JKIM dan AAC mempunyai persamaan – sebagai faksi sederhana dalam Hurriyat, mereka terlibat dalam aktivisme politik dan sosio-agama sejak lebih enam dekad.  

Kerajaan mendakwa keganasan menurun secara mendadak sejak 2019, dengan anggaran hanya 76 militan aktif (59 daripadanya dikatakan warga asing). Jika dakwaan ini benar, dan aktiviti politik pemimpin Kashmir sudah pun dikawal, apakah keperluan mendesak untuk larangan ini?  

Perintah 11 Mac yang mengharamkan AAC hanya merujuk kes-kes lama (2008-2011), tanpa bukti kesalahan terkini. Alasannya bergantung pada tuduhan kabur tentang "aktiviti anti-negara", bukan pola jenayah yang boleh dibuktikan.  

Langkah ini nampaknya spekulatif – berdasarkan andaian tentang apa yang mungkin dilakukan AAC, bukan pelanggaran nyata dalam landskap politik semasa.  

Larangan ini juga mengabaikan sejarah Mirwaiz – dia bukan sekadar pemimpin Kashmir, tetapi juga mangsa keganasan. Bapanya, Mirwaiz Moulvi Farooq, dibunuh pada 1990, dan keesokan harinya, pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah perarakan pengebumiannya, membunuh puluhan orang. Mirwaiz mewarisi legasi rohani dan politik bapanya, lalu menjadi salah seorang pengasas Hurriyat Conference – gabungan pertubuhan pro-kemerdekaan.  

Isyarat bertentangan  

Beberapa perkembangan terkini menambah kekeliruan. Pada 2017, perlindungan keselamatan peringkat-Z Mirwaiz- iaitu pengawalan keselamatan peringkat tinggi yang disediakan kerajaan - telah ditarik balik selepas seorang pegawai polis dibunuh oleh orang ramai di Masjid Jamia. Namun, perlindungan ini baru-baru ini dipulihkan, mendorong Ketua Menteri Omar Abdullah untuk mencadangkan bahawa keadaan keselamatan di Lembah Kashmir semakin baik. Komen beliau itu telah mencetuskan bantahan awam.  

Pada Januari lalu, Mirwaiz mengetuai rombongan ke New Delhi dan mengemukakan memorandum enam perkara kepada Jawatankuasa Parlimen mengenai Rang Undang-Undang Wakaf, membantah pengambilalihan harta Wakaf dan pengurangan perwakilan Muslim.  

Pada masa sama, beberapa media India melaporkan bahawa kerajaan mungkin mempertimbangkan untuk berunding semula dengan Hurriyat. Namun, pemerhati Kashmir ragu-ragu memandangkan kerajaan Modi terus mengambil pendekatan keras sejak 2019 – membungkam suara pembangkang melalui sekatan media, penahanan, dan taktik intimidasi.  

Dalam konteks ini, wajar bertanya: Adakah ia langkah pencegahan untuk menghalang dialog politik? Atau sebahagian strategi lebih besar untuk melenyapkan suara bukan kerajaan, termasuk yang paling sederhana?  

Omar Abdullah  

Larangan ini dikritik hebat oleh beberapa tokoh politik, termasuk Omar Abdullah. Walaupun laporan awal tentang kemungkinan rundingan dengan Hurriyat tidak diendahkan, rentetan peristiwa terkini mencetuskan spekulasi baharu.  

Terdapat beberapa teori: Pertama, ada yang mendakwa Omar Abdullah mungkin secara senyap melobi untuk larangan ini bagi menyekat sebarang pendekatan kepada Hurriyat yang boleh menceroboh ruang politiknya. Kedua, teori lain menunjukkan pertelagahan birokrasi - di mana Pejabat Penasihat Keselamatan Negara (NSA) memulihkan perlindungan keselamatan-Z untuk Mirwaiz, sementara Kementerian Dalam Negeri meneruskan larangan tersebut.

Namun penjelasan yang paling munasabah juga yang paling mudah: larangan ini selaras dengan agenda kerajaan pusat untuk melemahkan institusi, membungkam suara pembangkang, dan mengukuhkan kawalan.  

Walaupun dua teori pertama masih bersifat spekulatif, teori ketiga ini sangat selari dengan strategi kerajaan Modi selepas 2019.  

Menggambarkan Omar Abdullah sebagai pengacau bagaimanapun tidak tepat dengan realiti semasa. Partinya hanya memerintah secara nama sahaja, dengan kuasa sebenar berada di New Delhi dan dilaksanakan melalui Gabenor yang dilantik pusat.  

Dengan mengambil pendirian berhati-hati dan tidak konfrontasi terhadap kerajaan Modi, Abdullah mungkin akan memilih dengan teliti isu yang ingin ditangani. Dalam apa jua keadaan, di bawah dinamik kuasa pusat-negeri yang ada sekarang, cadangannya tidak akan diberi pertimbangan serius.  

Sambil menyelam minum air?  

Lebih daripada sekadar melemahkan kumpulan hak asasi Kashmir, kepentingan lebih mendalam kerajaan pusat mungkin terletak pada melumpuhkan lagi Omar Abdullah dan Parti National Conference (NC) - untuk mengisi langsung vakum politik yang terhasil. Ini merupakan projek berterusan yang dilaksanakan secara sistematik melalui struktur pemerintahan yang melumpuhkan kepimpinan tempatan. Tindakan tidak popular seperti penahanan ramai orang awam dan pembukaan kedai arak yang berleluasa telah memalukan dan meragukan kredibiliti Abdullah.

Sama pentingnya, teori mengenai pendekatan India terhadap Hurriyat ini agak rapuh - contoh klasik kewartawanan malas atau terbenam. Pemahaman senyap antara NC dan New Delhi juga tidak boleh diketepikan sepenuhnya, tetapi tiada bukti konkrit untuk menyokong mana-mana dakwaan ini.

Jika larangan ini hanyalah langkah terbaharu dalam strategi kerajaan untuk mengosongkan landskap politik Kashmir, ia pasti bukan yang terakhir. Pelemahan institusi - sama ada pro-kemerdekaan, pro-India, atau keagamaan - telah menjadi tren konsisten sejak 2019. Walaupun AAC dan JKIM sudah lama lemah dari segi politik, mereka masih mempunyai pengaruh agama dan sosial. Potensi untuk menghidupkan atau mengembangkan pengaruh itu merupakan cabaran kepada cita-cita kerajaan pusat: untuk melucutkan sepenuhnya kuasa Kashmir - dari segi politik, sosial dan ekonomi.

Tetapi adakah larangan ini hanya untuk itu? Atau ia langkah terancang untuk melemahkan Hurriyat sambil memalukan kepimpinan pro-India Kashmir? Jika ya, Omar Abdullah mungkin tidak sedar telah bermain ke tangan kerajaan Modi – dengan kenyataannya tentang perlindungan Z dan strategi penyerahan diam-diam yang semakin menghakis kredibilitinya.  

Apa pun, landskap politik Kashmir terus berubah – bukan ditentukan oleh pemimpin tempatan, tetapi oleh kuasa yang ingin mengawalnya dari jauh.  

SUMBER:TRT World
Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us