Presiden China Xi Jinping dijadual berlepas ke Moscow pada Rabu bagi lawatan rasmi selama tiga hari, yang merangkumi perarakan besar-besaran sempena Hari Kemenangan, di mana beliau menyatakan sokongan kepada Vladimir Putin.
Moscow dan Beijing mengisytiharkan “perkongsian tanpa had” beberapa minggu sebelum Putin mengarahkan serangan Rusia ke atas Ukraine pada Februari 2022. Hubungan yang semakin erat dalam bidang ketenteraan dan perdagangan itu mula membuat negara Barat bimbang.
Lawatan ini diadakan ketika ketegangan antara China dan Amerika Syarikat terus memuncak, susulan tarif perdagangan AS yang membebankan banyak negara, sementara Presiden Donald Trump turut membuat tawaran kepada Putin untuk menjadi perantara dalam konflik Ukraine.
Pada Selasa, Kremlin memuji hubungan Rusia-China sebagai contoh kerjasama yang “tulen” dan berkata ia kini berada “pada tahap tertinggi”.
Kremlin berkata Putin dan Xi akan membincangkan isu Ukraine dan hubungan Rusia-AS dalam satu pertemuan empat mata.
Menurut Kementerian Luar China, kedua-dua pemimpin akan “menghimpunkan negara-negara Selatan Global, membentuk tadbir urus global ke arah yang benar, menentang tindakan unilateral dan pembulian secara tegas, serta bersama-sama mempromosikan dunia yang adil dan teratur,” lapor penyiar rasmi CCTV.
Hari Kemenangan
Putin dijangka berucap dalam perarakan Hari Kemenangan tahunan yang “terbesar” di Moscow pada Jumaat ini, sempena ulang tahun ke-80 kekalahan Nazi Jerman dalam Perang Dunia Kedua, bagi meraih sokongan terhadap tenteranya yang sedang berperang di Ukraine.
Xi dijangka menjadi tetamu kehormat pada perarakan 9 Mei itu bersama 29 pemimpin asing yang lain, termasuk tiga daripada negara yang tidak diiktiraf atau separa iktiraf. Putin turut mengarahkan gencatan senjata selama tiga hari di barisan hadapan Ukraine sempena sambutan tersebut.
Kiev menolak isyarat itu sebagai cubaan Moscow untuk menjamin keselamatan perarakan dan menggesa gencatan senjata selama sebulan. Ukraine — yang telah melancarkan serangan dron ke atas Moscow beberapa hari sebelum perarakan berlangsung — menyatakan bahawa ia tidak boleh bertanggungjawab terhadap apa yang mungkin berlaku di Rusia nanti.
Beberapa negara dilaporkan telah menghubungi Kiev untuk meminta jaminan keselamatan bagi pemimpin mereka yang hadir ke perarakan itu.
China menghantar seramai 102 anggota tentera — kontingen asing terbesar dalam kalangan 13 negara yang menyertai acara tersebut. Ukraine pada Selasa memberi amaran agar supaya tentera asing tidak menyertai perarakan itu, sambil menyifatkannya sebagai “tidak boleh diterima” dan membantu Moscow menghalalkan “jenayah perangnya”.
Perang Dunia Kedua, yang dikenang secara rasmi di Rusia sebagai “Perang Patriotik Besar”, meninggalkan kesan mendalam terhadap Kesatuan Soviet, dengan lebih 20 juta rakyat dan anggota tenteranya terkorban.
Sepanjang pemerintahannya, Putin sering membangkitkan trauma ini, menjadikan 9 Mei sebagai cuti umum paling penting di Rusia dan memposisikan tenteranya sebagai pembela menentang fasisme.
Kremlin juga mengaitkan operasi ketenteraannya di Ukraine dengan perjuangan menentang Nazi.
Garis yang samar
China menggambarkan dirinya sebagai pihak berkecuali dalam konflik yang telah berlarutan lebih tiga tahun itu, meskipun kerajaan Barat mendakwa hubungan eratnya dengan Rusia telah menyuntik sokongan ekonomi dan diplomatik yang penting kepada Moscow.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy pada April lalu menuduh China membekalkan senjata kepada Rusia dan mendakwa Beijing maklum bahawa sekurang-kurangnya 155 warga China berperang bersama tentera Rusia. Beijing menafikan warganya direkrut secara besar-besaran oleh Rusia dan menggesa rakyatnya untuk tidak terlibat dalam mana-mana konflik.
China juga menolak dakwaan bahawa ia membekalkan senjata kepada mana-mana pihak dalam perang itu.
Sejak sedekad lalu, China dan Rusia memperkukuhkan hubungan mereka, dengan Beijing kini menjadi rakan dagang terbesar Moscow susulan sekatan besar-besaran oleh Barat.
Namun, Rusia hanya merupakan rakan dagang kelima terbesar bagi China, dengan Beijing banyak bergantung kepada Moscow untuk bekalan gas asli dan minyak.
Syarikat-syarikat China dengan pantas mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh syarikat Barat — terutamanya dalam sektor automotif — selepas Rusia melancarkan serangan ke atas Ukraine.
Kedua-dua negara kini melaksanakan hampir semua transaksi dua hala dalam mata wang tempatan, dengan 95% pembayaran diselesaikan dalam Ruble dan Yuan.
Menghormati sejarah
Pada Rabu, China menyatakan penglibatan tenteranya dalam perarakan Hari Kemenangan pada 9 Mei adalah sebagai “penghormatan terhadap sejarah”. Kenyataan ini dibuat susulan komen Ukraine yang menyifatkan penyertaan negara asing sebagai pelanggaran terhadap pendirian berkecuali mereka.
“Kehadiran China dalam upacara memperingati ini menunjukkan bahawa China menghormati dan mengingati sejarah, serta komited mempertahankan hasil kemenangan Perang Dunia Kedua,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian
“Kemenangan besar dalam Perang Dunia menentang kumpulan fasis adalah hasil usaha bersama semua negara dan rakyat yang mencintai keamanan dan menjunjung keadilan. Rakyat China dan semua etnik dalam bekas Kesatuan Soviet telah melakukan pengorbanan besar dan menyumbang kepada kemenangan yang penting dan bersejarah ini,” tambahnya.
Dalam satu kenyataan di Telegram pada Selasa, Kementerian Luar Ukraine berkata penyertaan tentera asing dalam perarakan 9 Mei di Moscow akan dianggap sebagai pelanggaran terhadap pendirian berkecuali dan menggesa negara-negara asing untuk tidak mengambil bahagian dalam acara tersebut.
SUMBER: AFP