Sektor automotif Eropah berada dalam "bahaya", amaran ketua industri Kesatuan Eropah (EU), Stephane Sejourne, sebelum melancarkan rancangan yang hangat diperkatakan pada hari Rabu untuk menyelamatkan pengeluar kereta di blok tersebut yang menghadapi masalah.
"Inilah sebabnya Suruhanjaya Eropah mencadangkan... satu rancangan bersepadu yang melindungi sektor ini," kata Sejourne kepada AFP.
"Ini adalah detik penting untuk industri ini."
Dasar Sifar Pelepasan
Secara berasingan, Suruhanjaya Eropah berkata pada Rabu bahawa ia akan berpegang kepada sasaran 2035 iaitu semua kereta dan van baru yang dijual di Kesatuan Eropah tidak akan mengeluarkan karbon dioksida dan juga akan mematuhi sasaran pertengahan untuk 2030.
Suruhanjaya Eropah mengalah kepada tekanan daripada pengeluar kereta Eropah pada Isnin dengan memberi mereka tempoh tiga tahun, bukannya satu tahun, untuk mematuhi sasaran pelepasan dan elak denda berat.
Pesuruhjaya Pengangkutan, Apostolos Tsitsikostas, pada Rabu membentangkan rancangan tindakan eksekutif EU untuk memastikan pengeluar kereta EU mengalihkan armada mereka kepada elektrik dan bersaing dengan pesaing dari AS dan China yang lebih maju.
Beliau berkata kajian semula peraturan pelepasan yang dirancang pada 2026 akan didahulukan ke suku ketiga dan keempat tahun ini, tetapi sasaran itu sendiri tidak akan berubah.
"Kami berpegang kepada sasaran 2035, jadi kami berpegang kepada sasaran 2025, 2030, dan sudah tentu sasaran 2035," katanya.
Pengeluar kereta EU berkata tempoh pematuhan yang lebih panjang untuk sasaran 2025 masih sukar untuk dipenuhi.
SUMBER: AFP