Dokumen yang baru dinyahklasifikasi mendedahkan kerjasama rahsia antara agensi perisikan Barat yang membekalkan maklumat penting kepada Israel yang membantu Mossad mencari dan membunuh rakyat Palestin di Eropah pada awal 1970-an.
Dokumen itu, yang didedahkan oleh The Guardian pada Rabu, menyatakan aktiviti memburu rakyat Palestin oleh Mossad mendapat bantuan rangkaian perkongsian risikan yang merangkumi 18 negara Barat.
Penemuan ini merupakan hasil penyelidikan Dr Aviva Guttmann, seorang sejarawan strategi dan risikan di Universiti Aberystwyth, yang mengakses dokumen yang membuktikan komunikasi antara agensi perisikan yang dahulunya diklasifikasikan dan disimpan di Switzerland.
“Apa-apa perkongsian risikan antara agensi pelbagai negara memang sukar untuk dipantau. Hubungan rahsia antara negara di peringkat antarabangsa sebenarnya tidak berada dalam radar ahli politik, parlimen atau orang awam,” kata Guttmann.
Sekurang-kurangnya 10 rakyat Palestin dibunuh di bandar-bandar besar seperti Paris, Rom, Athens dan Nicosia dalam operasi yang dijalankan oleh Mossad, iaitu agensi risikan luar Israel.
Pembunuhan itu adalah sebahagian daripada operasi ‘Wrath of God’, yang dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan di Olimpik Munich 1972, di mana 11 atlet Israel dibunuh oleh kumpulan Palestin Black September Organisation (BSO). Operasi ini turut mengilhamkan sebuah filem Hollywood.
Guttmann berkata pendedahan mengenai ‘Kilowatt’ menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana negara-negara yang terlibat berkongsi maklumat risikan dalam perang Gaza hari ini. “Sekarang pun ada banyak maklumat yang dikongsi tetapi kita tidak tahu apa-apa mengenainya.”
Berikut adalah butiran mengenai sistem telex rahsia yang dikenali dengan kod nama “Kilowatt”.
Rangkaian Kilowatt
Ditubuhkan pada 1971, Kilowatt merupakan sistem perkongsian maklumat risikan sulit yang menghubungkan 18 negara Barat termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Jerman Barat dan Switzerland.
Pada asalnya ia diwujudkan untuk menyelaras usaha menentang keganasan di Eropah. Namun, platform ini dengan pantas berkembang menjadi saluran rahsia untuk berkongsi maklumat sensitif seperti nama, alamat, jadual perjalanan dan lokasi rumah selamat individu yang disyaki.
Rangkaian Kilowatt terbukti sangat berkesan disebabkan tahap perinciannya. “Maklumatnya sangat terperinci, menghubungkan individu kepada serangan tertentu dan memberikan maklumat yang sangat membantu,” kata Guttmann.
Ketika Israel memburu individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan organisasi Black September dan kumpulan Palestin lain, Kilowatt menjadi tulang belakang kepada aktiviti memburu di peringkat antarabangsa yang mengaburkan garisan antara kerjasama keselamatan dan pembunuhan tanpa perbicaraan.
Menurut Guttmann, besar kemungkinan bahawa aktiviti Mossad tidak dapat dilaksanakan tanpa maklumat risikan yang dibekalkan oleh perkhidmatan di Eropah.
“Saya tidak pasti sama ada kempen pembunuhan Israel itu akan berjaya tanpa maklumat taktikal yang disalurkan oleh perkhidmatan risikan Eropah,” katanya.
Siapa yang dibunuh?
Antara sasaran pertama ialah Wael Zwaiter, seorang intelektual dan penterjemah Palestin yang bekerja di kedutaan Libya di Rom. Beliau ditembak mati di lobi bangunan pangsapurinya beberapa minggu selepas kejadian di Munich. Walaupun keluarga dan rakannya menafikan kaitan beliau dengan pihak militan, maklumat Kilowatt mendedahkan agensi Barat menuduh Zwaiter memberi sokongan logistik kepada BSO.
Sasaran lain, Mahmoud al-Hamshari, wakil rasmi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di Perancis, dibunuh di Paris pada Disember 1972. Beliau turut muncul dalam komunikasi Kilowatt, yang menggambarkan beliau sebagai tokoh diplomatik yang disyaki menubuhkan gerakan pengganas dan mengumpul dana untuk operasi keganasan.
Jari-jemari Mossad berjaya mencapai seluruh benua Eropah. Pihak berkuasa Switzerland memainkan peranan penting dalam membantu pembunuhan seorang ahli BSO dan Popular Front for the Liberation of Palestine (PFLP) di Paris yang menjaga kerja-kerja logistik pada 1973, menurut dokumen itu.
Pada Jun 1973, seorang bekas pejuang Algeria dan pengarah teater, Mohamed Boudia, didakwa menjadi individu penting dalam PFLP dan BSO. Risikan Switzerland menyediakan maklumat penting untuk operasi itu, termasuk butiran kereta yang ditemui semasa serbuan ke atas sebuah rumah selamat di Geneva.
Dokumen itu turut mendedahkan satu kesilapan besar. Agensi risikan British MI5 membekalkan Mossad dengan satu-satunya gambar Ali Hassan Salameh, yang didakwa menjadi dalang dalam serangan di Munich. Pada Julai 1973, ejen Israel menggunakan gambar itu untuk mengenal pasti seorang lelaki di Lillehammer, Norway — menyangka dia adalah Salameh. Lelaki itu sebenarnya seorang pelayan restoran dari Maghribi.
Operasi yang gagal itu — kemudian dikenali sebagai Insiden Lillehammer — menyebabkan beberapa ejen Mossad ditangkap dan mendapat kecaman antarabangsa. Menurut laporan, Perdana Menteri Israel ketika itu, Golda Meir, kemudiannya mengarahkan agar operasi Wrath of God dihentikan.
Namun, penemuan Guttmann menunjukkan bahawa perkongsian maklumat risikan masih diteruskan walaupun aktiviti Mossad telah diketahui umum.
“Pada awalnya mungkin [pegawai Barat] tidak menyedari tentang [pembunuhan itu],” katanya kepada The Guardian, “tetapi selepas itu terdapat banyak laporan media dan bukti lain yang menunjukkan dengan jelas apa yang telah dilakukan oleh Israel.”
Namun begitu, menurut Guttmann agensi-agensi tersebut masih lagi menyalurkan bantuan kepada Mossad, dan kadangkala berkongsi hasil siasatan mereka sendiri.
SUMBER: TRT World dan Agensi