PERANG GAZA
3 min membaca
Bekas PM Israel akui ‘jenayah perang’ Netanyahu di Gaza
Ehud Olmert berkata Tel Aviv sedang melakukan pembunuhan kejam tanpa had dan belas kasihan terhadap penduduk awam di Gaza.
Bekas PM Israel akui ‘jenayah perang’ Netanyahu di Gaza
Mantan Perdana Menteri Israel Ehud Olmert mengecam kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu atas jenayah perangnya di Gaza. / Reuters
29 Mei 2025

Dengan menyifatkan pengeboman Israel di Gaza sebagai serangan ketenteraan yang tidak sah, bekas Perdana Menteri Israel Ehud Olmert mengecam kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu atas jenayah perang yang menyebabkan wilayah Palestin yang diduduki itu menjadi kawasan bencana kemanusiaan.

Dalam ulasan pedas yang diterbitkan di akhbar Haaretz, Olmert — yang memimpin kerajaan Israel dari 2006 hingga 2009 — berkata Tel Aviv kini berperang tanpa hala tuju, tanpa matlamat, tanpa perancangan yang jelas, dan tanpa peluang jelas untuk menang.

Beberapa ahli politik dan bekas jeneral Israel menentang perang ini, di mana Tel Aviv telah menghentam Gaza dengan 70 kilotan bom — bersamaan dengan enam kali bom yang menghentam Hiroshima.

Sehingga baru-baru ini, Olmert menegaskan bahawa Israel tidak melakukan jenayah perang di Gaza dan tiada pegawai kerajaan akan mengarahkan pembunuhan ke atas rakyat Palestin secara sewenang-wenangnya. Namun beliau mengubah pendirian selepas melihat siri pembunuhan orang awam yang dianggapnya “tidak boleh dibenarkan” dan “tidak boleh diterima” dalam perang yang disifatkannya sebagai kejam.

“Apa yang kita lakukan di Gaza sekarang ialah perang pemusnahan: pembunuhan orang awam secara sewenang-wenangnya, tanpa had, kejam dan satu jenayah… Ini hasil dasar kerajaan — yang dibuat dengan penuh kesedaran, dengan niat jahat, secara tidak bertanggungjawab. Ya, Israel sedang melakukan jenayah perang,” katanya.

Olmert berkata perang itu sepatutnya dihentikan pada awal 2024. Namun ia berlarutan tanpa justifikasi atau sebarang visi politik untuk masa depan Gaza. Tentera Israel pula bertindak secara “tergesa-gesa, tidak berhati-hati, terlalu agresif” serta menunjukkan sikap cuai dan tidak peduli terhadap jumlah korban rakyat Palestin.

Walaupun pendapat awam di banyak negara telah beralih menentang Israel sejak Oktober 2023, beberapa sekutu rapatnya dari negara Barat turut mengurangkan sokongan terhadap Tel Aviv dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Pemimpin dari United Kingdom, Perancis dan Kanada pada minggu lalu mengeluarkan kenyataan bersama yang menyifatkan peningkatan keganasan Israel di Gaza sebagai “sama sekali tidak seimbang”. Mereka turut memberi amaran akan mengambil tindakan konkrit jika Israel tidak menghentikan serangan baharu dan terus menyekat bantuan kemanusiaan.

Ribuan kanak-kanak di Gaza kini menghadapi kebuluran teruk apabila Israel melarang kemasukan makanan dan ubat-ubatan selama hampir tiga bulan untuk 2.3 juta penduduk yang terperangkap dalam medan pengeboman tanpa henti selama 20 bulan.

Israel hanya membenarkan sejumlah kecil trak bantuan memasuki wilayah itu pada awal minggu ini disebabkan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu merasa bimbang imej kelaparan di Gaza akan menyebabkan sokongan antarabangsa terhadap Israel semakin terhakis.

Namun bagi ramai pihak, bantuan itu terlalu sedikit dan terlalu lewat. Pegawai PBB menyifatkan jumlah bantuan yang dibenarkan masuk sebagai “setitis dalam lautan”. UNICEF pula melaporkan minggu lalu bahawa 71,000 kanak-kanak dan lebih 17,000 ibu di Gaza memerlukan rawatan segera akibat kekurangan zat makanan yang teruk.

Olmert berkata kerajaan Netanyahu sedang “secara aktif, tanpa ragu, dan dengan niat jahat” melaksanakan dasar kebuluran terhadap Gaza.

“Ya, kita telah menafikan rakyat Gaza daripada makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas sebagai sebahagian daripada dasar yang nyata. Seperti biasa, Netanyahu cuba mengaburkan jenis arahan yang telah diberikannya, untuk mengelak daripada tanggungjawab undang-undang dan jenayah pada masa hadapan,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu turut merujuk kepada “penyembelihan ke atas orang awam Palestin di Tebing Barat (yang diduduki)”. Olmert berkata pasukan polis dan tentera yang dikerahkan ke kawasan itu menutup mata terhadap jenayah kejam yang dilakukan mereka setiap hari di wilayah Palestin.

“Sudah tiba masanya untuk kita hentikan semua ini, sebelum kita semua disingkirkan daripada komuniti antarabangsa dan dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas tuduhan jenayah perang, tanpa sebarang pembelaan kukuh. Cukuplah.”

Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us