Mengapa sukar untuk dunia sebut 'Nakba'
Mengapa sukar untuk dunia sebut 'Nakba'
Elit media dan politik mengelak istilah 'Nakba', atau Malapetaka, untuk melindungi kuasa, memelihara mitos, dan menindas kebenaran Palestin.
16 Mei 2025

Apabila Israel melengkapkan pembersihan etnik terhadap separuh penduduk Palestin dan memusnahkan separuh kampung serta kebanyakan bandarnya pada tahun 1948, masyarakat antarabangsa hanya berdiam diri tanpa mengutuk tindakannya.

Ingat, ini berlaku hanya beberapa tahun selepas Perang Dunia Kedua tamat dan di penghujung era kolonialisme. Orang Palestin tidak dianggap layak mendapat simpati Barat, dan menyokong projek Zionis membebaskan Eropah daripada menghadapi implikasi Holocaust secara mendalam.

Orientalisme, Islamofobia, dan kolonialisme semuanya memainkan peranan dalam penafian Nakba pada tahun-tahun berikutnya. Jenayah terhadap rakyat Palestin tidak dilaporkan, apatah lagi dikutuk. Mesej kepada Zionia Israel jelas: pembersihan etnik terhadap orang Palestin akan ditoleransi oleh Barat, lebih-lebih lagi  Amerika Syarikat.

Mengapa Nakba terus dinafikan

Kemunculan gerakan nasional Palestin pada akhir 1980-an dan awal 1990-an, serta permulaan usaha pembebasan, dilabel dengan cepatnya sebagai "keganasan" oleh Barat. Sekiranya Nakba tidak dinafikan, tentangan ini mungkin diakui sebagai anti-kolonial—perjuangan rakyat yang dirampas tanah air untuk menebusnya semula.

Tetapi oleh kerana, secara rasmi, Nakba tidak wujud, tentangan bersenjata Palestin dianggap tidak berasas dan hanya boleh ditakrifkan sebagai "keganasan" yang dimulakan oleh kuasa anti-Barat, seperti Moscow sebelum 1987, dan kemudiannya Iran.

Disebabkan kelonggaran sebegini,,ia jadi  mudah bagi Israel untuk meneruskan pembersihan etnik beransur-ansur antara 1948 dan 1967, menyasarkan Arab 1948 (rakyat Palestin yang menjadi warganegara Israel), dan melancarkan kempen lebih intensif semasa perang 1967 dan tahun-tahun berikutnya.

Sepanjang tahun pendudukan di Tebing Barat dan Gaza, Israel terus menggunakan kaedah pembersihan etnik yang sama seperti pada 1948. Namun, kaedah ini gagal mematahkan ketahanan dan tentangan Palestin.

Malangnya, Palestin hanya menunggu masa sebelum  strategi yang lebih kejam dan sinis digunakan demi visi Israel: visi yang mengurung orang Palestin di bawah rejim apartheid dalam "penjara mega," dan paling teruk, mahu menghapuskan mereka sepenuhnya.

Jadi, salah satu sebab penafian Nakba berterusan dalam akademik, media, dan politik arus perdana Barat adalah sikap acuh tak acuh terhadap projek perampasan tanah Palestin yang berterusan.

Tetapi ada dua sebab lain yang penting. Pertama, kesedaran yang semakin meningkat bahawa adalah penting untuk mengetahui pasal Nakba untuk memahami keganasan berterusan di Palestin bersejarah dan kegagalan proses damai.

Apabila Nakba diterima sebagai peristiwa pencetus yang memulakan "konflik," persoalan seterusnya pasti timbul: mengapa Nakba berlaku? Jawapan yang tidak dapat dielakkan adalah bahawa ia adalah pelaksanaan langsung ideologi, strategi, dan perancangan Zionis.

Kesedaran ini memerlukan sikap Barat berbeza yang radikal terhadap Israel dan dasarnya. Malah, ia boleh membawa kepada konfrontasi langsung dengan negara Yahudi—sesuatu yang kebanyakan ahli politik Barat tidak sanggup atau agak pengecut untuk pertimbangkan.

Ketakutan ini didorong oleh kuasa lobi pro-Israel yang dianggap kuat, serta keupayaannya untuk memusnahkan kerjaya politik mereka atau memutuskan hubungan dengan elit kewangan dan industri.

Motif lain di sebalik penafian sengaja terhadap Nakba adalah kebimbangan bahawa pengakuan sedemikian akan mendedahkan keterlibatan Eropah dalam jenayah yang dilakukan terhadap rakyat Palestin pada tahun 1948 dan jenayah berterusan sejak itu.

Konteks sebagai tentangan

Inilah sebabnya Eropah dan Amerika Syarikat berjuang mati-matian menentang apa yang mereka dan Israel panggil "konteks."

Sejak Antonio Guterres, Setiausaha Agung PBB, menyatakan bahawa serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 tidak berlaku dalam vakum tetapi mempunyai konteks sejarah, Israel dan sekutu Eropahnya menganiaya sesiapa sahaja yang mengikuti pendekatannya, dengan Israel menuntut agar Setiausaha Agung itu dipecat.

Konteks sejarah yang relevan untuk memahami peristiwa 19 bulan lalu bermula dengan Nakba. Walaupun orang Palestin sudah menetap di Gaza sebelum 1948, kawasan itu berubah secara drastik semasa Nakba apabila serangan tentera Israel yang mengusir ratusan ribu orang Palestin dari bahagian tengah dan selatan Palestin. Ramai daripada mereka dipaksa masuk ke Gaza, menjadikannya kawasan padat pelarian—satu keadaan yang mentakrifkan sejarah modennya.

Gelombang terakhir orang yang diusir ke Gaza pada 1948 berasal dari kampung-kampung Palestin yang runtuhnya kemudian dibina penempatan yang diserang pada 7 Oktober. Dan sesungguhnya, ramai bekas penduduk kampung itu, bersama ratusan ribu orang Palestin lain dari pelbagai bahagian Palestin bersejarah, kini membentuk 70% populasi Gaza.

Konteks sejarah juga mendedahkan kenapa harusnya terus memperjuangkan pengertian akademik Zionisme sebagai penjajahan dan pendudukan haram, definisi yang pertama kali dikemukakan oleh sarjana Palestin pada pertengahan 1960-an dan dihidupkan semula oleh sarjana Australia dan Amerika pada 1990-an.


Seperti semua projek penjajahan pemukim, Zionisme beroperasi berdasarkan logik penghapusan penduduk asal. Rejim Zionis Israel menggunakan pembersihan etnik sebagai alat utama untuk mengurangkan populasi asal Palestin.

Mengingati Nakba adalah penting untuk memahami dorongan penghapusan gerakan Zionis dan kemudiannya negara “Israel”. Ada garis langsung antara kejayaan mengusir separuh penduduk Palestin—atau kegagalan mengusir separuh lagi—yang sedang kita saksikan hari ini di Gaza.

Dunia, khususnya Barat dan PBB, gagal dalam kewajipan dan tanggungjawab mereka melindungi orang Palestin pada 1948 dan sejak itu.

Tanggungjawab itu tetap suci hari ini, ketika kita menyaksikan percubaan rejim Zionis Israel untuk melengkapkan Nakba melalui genosid di Gaza dan pembersihan etnik di Tebing Barat yang dijajah.

Mengakui Nakba dan melawan penafiannya adalah satu langkah penting ke arah yang benar.


SUMBER:TRT World
Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us