Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah menandatangani perjanjian perkongsian ekonomi ‘bersejarah’ dengan Ukraine, selepas beberapa minggu rundingan intensif dijalankan bagi membolehkan Washington mendapat akses kepada simpanan mineral nadir bumi milik Kiev, menurut kenyataan kedua-dua negara.
“Saya berbesar hati mengumumkan pemeteraian perjanjian perkongsian ekonomi bersejarah ini hari ini,” kata Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, dalam mesej video pada Rabu yang menggambarkan perjanjian itu sebagai “bersejarah.”
Kiev pula berkata ia berjaya mengekalkan kawalan ke atas sumber semula jadinya.
Perjanjian tersebut ditandatangani selepas Presiden Trump mendesak Ukraine ‘membayar balik’ bantuan AS yang mempertahankan negara itu daripada pencerobohan Rusia.
Seorang pegawai kanan Ukraine berkata beliau menandatangani perjanjian bagi mewujudkan Dana Pelaburan Pembinaan Semula AS-Ukraine, yang akan membolehkan kedua-dua negara mengembangkan potensi ekonomi mereka serta menyumbang kepada keselamatan Ukraine.
“Bersama Amerika Syarikat, kami mewujudkan Dana yang akan menarik pelaburan global ke negara kami,” tulis Timbalan Perdana Menteri Pertama Ukraine, Yulia Svyrydenko di X.
“Pelaksanaannya membolehkan kedua-dua negara memperluaskan potensi ekonomi melalui kerjasama dan pelaburan secara saksama,” katanya.
“Amerika Syarikat akan menyumbang kepada dana tersebut. Selain sumbangan kewangan secara langsung, AS juga boleh menyalurkan bantuan baharu — contohnya sistem pertahanan udara untuk Ukraine.”
Ukraine kekal kawalan sumber asli
Trump sebelum ini menuntut hak ke atas kekayaan mineral Ukraine yang penting untuk teknologi baharu selepas menuntut pampasan untuk bantuan senjata AS bernilai berbilion dolar sejak perang Rusia-Ukraine bermula lebih tiga tahun lalu.
Selepas sedikit keraguan pada awal, Ukraine menerima perjanjian itu sebagai jalan untuk mendapatkan pelaburan jangka panjang dari AS, ketika Trump sedang berusaha mengurangkan komitmen keselamatan AS di seluruh dunia.
Di Kiev, Perdana Menteri Ukraine, Denys Shmygal, berkata kedua-dua negara akan menubuhkan Dana Pelaburan Pembinaan Semula dengan hak mengundi 50 peratus untuk kedua-dua negara.
“Ukraine mengekalkan kawalan penuh ke atas tanah subsoil, infrastruktur dan sumber semula jadinya,” katanya.
Menjawab kebimbangan utama Ukraine, beliau berkata Ukraine tidak akan diminta membayar balik sebarang “hutang” bagi bantuan senjata dan sokongan lain dari AS.
“Keuntungan daripada dana tersebut akan dilaburkan semula sepenuhnya di Ukraine,” tambahnya.
Trump sebelum ini meminta akses kepada kekayaan mineral bernilai AS$500 bilion — kira-kira empat kali ganda jumlah yang telah disumbangkan AS kepada Ukraine sejak perang bermula.
Trump juga enggan memberikan jaminan keselamatan kepada Ukraine dan menolak aspirasinya untuk menyertai NATO.
Namun pada Rabu, Trump berkata kehadiran AS di lapangan akan memberi manfaat kepada Ukraine.
Kaya dengan sumber mineral
Ukraine dianggarkan memiliki kira-kira lima peratus daripada jumlah keseluruhan sumber mineral dan unsur nadir bumi di dunia.
Namun, banyak kawasan sumber itu masih belum diterokai, dan sebahagian besar terletak di wilayah yang kini diduduki tentera Rusia.
Menurut Biro Penyelidikan Geologi dan Perlombongan Perancis, Ukraine memiliki kira-kira 20 peratus grafit dunia — bahan penting untuk bateri elektrik.
Ukraine juga merupakan pengeluar utama mangan dan titanium, dan mendakwa memiliki simpanan litium terbesar di Eropah.
Rusia kini menguasai sekitar 20 peratus wilayah Ukraine selepas lebih tiga tahun peperangan yang mengorbankan puluhan ribu nyawa termasuk orang awam.
SUMBER: TRT World dan Agensi