Imbas semula keganasan Zionis yang membawa kepada penubuhan Israel
Imbas semula keganasan Zionis yang membawa kepada penubuhan Israel
Walaupun Barat lebih tertumpu kepada operasi yang dijalankan Hamas, tidak banyak diperkatakan tentang keganasan yang dilancarkan oleh rejim Zionis sejak 1940-an.
7 Januari 2025

Selepas serangan 7 Oktober, pemimpin Barat seperti Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, Perdana Menteri Britain Rishi Sunak dan Presiden Perancis Emmanuel Macron segera mengecam Hamas, kadangkala membandingkannya dengan kumpulan pengganas Daesh.

Namun, pada 1940-an, lama sebelum kumpulan pejuang Palestin seperti Hamas mengangkat senjata menentang penjajahan Israel, pelbagai kumpulan militan Yahudi yang mengebom dan membunuh pegawai-pegawai British serta warga Arab Palestin.

Kumpulan Yahudi seperti Haganah, Irgun dan Stern Gang (Lehi) menggunakan keganasan secara aktif terhadap mandat British di Palestin dan untuk menakutkan penduduk Arab.

“Hujahan saya adalah keganasan Yahudi pada tahun 1940-an mempunyai kepentingan taktikal dan strategik. Dari segi taktikal, pengganas Yahudi berjaya menggagalkan pasukan keselamatan British dan menghakis keupayaan mereka untuk mengawal Palestin,” tulis David A. Charters, profesor sejarah ketenteraan dan felo kanan di Pusat Kajian Perang dan Masyarakat Gregg di Universiti New Brunswick, Kanada.

“Itu memainkan peranan penting yang strategik dalam meyakinkan Britain untuk berundur dari Palestin, yang kemudiannya mewujudkan keadaan yang memudahkan penubuhan Israel, dan seterusnya membawa kepada kewujudan diaspora Arab-Palestin,” katanya dalam artikel beliau ‘Jewish Terrorism and the Modern Middle East’.

John Lois Peeke, pakar ketenteraan Amerika, juga menulis bahawa keganasan Zionis adalah inti kepada idea penubuhan Israel. “Keganasan Yahudi terhadap British dan Arab menyumbang besar kepada penyingkiran British dari Palestin, pengabaian mandat Liga Bangsa-Bangsa, dan pembentukan sebuah negara Yahudi Israel,” tulisnya dalam buku beliau ‘Jewish-Zionist Terrorism and the Establishment of Israel’.

Kumpulan pengganas Zionis tidak hanya menyasarkan pihak tentera tetapi juga orang awam pada 1940-an.

Pada Oktober 1945, kumpulan bawah tanah Yahudi mensasarkan laluan kereta api kolonial, kilang penapisan minyak dan bot-bot polis di Palestin secara serentak. Peristiwa itu menandakan permulaan tempoh dua tahun pemberontakan Yahudi terhadap British dan Palestin.

Pada Julai 1946, Irgun meletupkan Hotel King David di Baitulmaqdis, tempat terletaknya ibu pejabat pentadbiran British, menyebabkan 92 orang terbunuh.

“[Robert] Asprey, [Menachem] Begin, dan [Samuel] Katz memberi isyarat bahawa Hotel King David diletupkan atas dua sebab: untuk membalas serangan British terhadap Agensi Yahudi dan untuk memusnahkan dokumen rahsia yang boleh mengaitkan Agensi Yahudi dan [David] Ben-Gurion dengan keganasan Haganah,” tulis Peeke.

Haganah adalah sayap bersenjata Agensi Yahudi untuk Palestin yang merupakan cabang operasi Organisasi Zionis Sedunia yang diasaskan oleh Theodor Herzl, pengasas Zionisme, semasa Kongres Zionis Pertama pada 1897 di Basel, Switzerland.

Agensi Yahudi untuk Palestin, yang menukar namanya kepada Agensi Yahudi untuk Israel selepas 1948, bertujuan menggalakkan, memastikan dan melaksanakan migrasi orang Yahudi ke Israel dari negara lain.

Ben Gurion merupakan presiden Agensi Yahudi dari 1935 hingga penubuhan Israel pada 1948, memainkan peranan penting dalam aktiviti Haganah. Gurion kemudiannya menjadi perdana menteri pertama Israel.

Haganah bermaksud angkatan pertahanan, dan ini memberi inspirasi kepada pemimpin Zionis untuk menamakan angkatan bersenjata mereka sebagai Pasukan Pertahanan Israel (IDF) selepas munculnya Israel.

Dari aktiviti bawah tanah pada 1940-an, “keganasan Yahudi berubah menjadi operasi ketenteraan dan organisasi pengganas itu menjadi Pasukan Pertahanan Israel,” tulis Peeke.

‘Pembersihan etnik’ Zionis

Pada 9 April 1948, militan Irgun dan Lehi bersama-sama melakukan pembunuhan beramai-ramai Deir Yassin terhadap sekurang-kurangnya 107 penduduk kampung di Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak. Deir Yassin merupakan sebuah kampung di Palestin yang berdekatan Baitulmaqdis dengan anggaran 600 orang penduduk.

Kekejaman keganasan Irgun terhadap rakyat Palestin di Deir Yassin bertujuan untuk mengejut dan menakutkan orang Arab Palestin. Ia bertujuan memaksa rakyat Palestin meninggalkan tanah air mereka, kata Salah Khalaf, salah seorang pengasas bersama gerakan Fatah, dalam satu wawancara bersama wartawan Perancis Eric Rouleau pada 1979.

Fatah, organisasi pejuang Palestin, adalah kumpulan utama dalam Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan diiktiraf di peringkat antarabangsa, yang juga mentadbir Tebing Barat.

Walaupun komuniti antarabangsa kini melihat Fatah sebagai kumpulan yang sah, pada 1960-an, AS dan Israel menggambarkannya sebagai organisasi pengganas, sama seperti cara mereka mengecam Hamas sekarang. Hamas memenangi pilihan raya Palestin terakhir pada 2006.

Khalaf, yang juga dikenali sebagai Abu Iyad, menggambarkan dengan jelas bagaimana pembunuhan beramai-ramai Irgun di Deir Yassin memaksa keluarganya meninggalkan rumah mereka di Jaffa ke Gaza, dalam bukunya ‘Palestinien sans patrie’ [Palestin tanpa tanah air] berdasarkan wawancara dengan Rouleau.

Berbeza dengan catatan rasmi, menurut Khalaf lebih 250 rakyat Palestin dibunuh pengganas Zionis dalam serangan April 1948 itu, di mana pengganas Yahudi “memukul banyak mayat dengan belantan sambil mengeluarkan isi perut sekitar tiga puluh wanita hamil.”

Pembunuhan beramai-ramai Deir Yassin adalah peristiwa penting dalam kempen pembersihan etnik Palestin oleh Zionis, menurut Khalaf. Pembunuhan lain oleh Zionis di bandar Palestin seperti Saliha dan Lydda menyusul selepas Deir Yassin, mencetuskan eksodus besar-besaran rakyat Palestin yang disebut sebagai Nakba.

Pada awal 1948, Haganah meneruskan “aktivitinya dengan kerjasama rapat bersama organisasi separatis seperti Irgun, dengan melancarkan serangan berkala untuk membersihkan penempatan Arab” dalam wilayah yang dibayangkan sebagai negara Yahudi oleh pihak Zionis, kata Khalaf.

“Kerana takut dengan pembunuhan yang terjadi di Deir Yassin, ratusan ribu rakyat Palestin yang ditinggalkan tanpa bantuan memutuskan untuk meninggalkan negara mereka untuk mencari keselamatan,” katanya.

Apabila rakyat Palestin ini meninggalkan tanah air mereka, mereka berharap dapat kembali ke rumah mereka dengan bergantung kepada negara-negara Arab untuk mendapatkan kembali wilayah yang dijajah. Namun, itu tidak berlaku.

Pendatang Yahudi dari Eropah dan rantau lain ditempatkan semula di Palestin oleh Agensi Yahudi dengan bantuan kumpulan bersenjata Zionis. Penggantian penduduk Palestin ini berterusan hingga ke hari ini apabila Israel terus membina penempatan haram di wilayah yang diduduki di sekitar Tebing Barat.

Irgun, yang dipimpin oleh Begin selama bertahun-tahun, disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh PBB, AS dan UK. 

Meskipun terdapat kecaman keras, Begin membentuk Herut, sebuah parti politik sayap kanan Israel. Begin menjadi perdana menteri keenam Israel pada 1977. Herut kemudian bergabung menjadi Parti Likud, parti perdana menteri semasa, Benjamin Netanyahu.

Tidak mungkin meninggalkan tanah air

Khalaf, yang menjadi timbalan ketua dan ketua perisikan PLO serta pemimpin kedua paling berkuasa dalam Fatah selepas Yasser Arafat dan pemimpin seumur hidup kumpulan pejuang Palestin, berkata rakyat Palestin seharusnya tidak meninggalkan tanah air mereka.

“Apabila saya melihat kembali, saya rasa rakan senegara saya membuat kesilapan kerana mempercayai negara-negara Arab dan membiarkan medan ini terbuka luas untuk penjajah Yahudi. Mereka sepatutnya berjuang dengan apa cara sekalipun. Tidak mungkin Zionis mampu memusnahkan hidup mereka semua. Tambahan pula, bagi kebanyakkan kami, menjadi buangan adalah lebih teruk daripada kematian.”

Apabila penduduk Gaza kini diusir, dalam apa yang dilihat sebagai Nakba kedua, amaran Khalaf mungkin membayangi kepimpinan Hamas.

Dokumen rasmi Israel yang dibocor menunjukkan bahawa seperti Nakba, Tel Aviv merancang untuk melaksanakan satu lagi pelan pengusiran rakyat Palestin dari Gaza.

Tentera Israel telah mengebom kawasan Gaza dengan serangan udara, roket dan tembakan artileri selama lebih sebulan, membunuh lebih sepuluh ribu orang termasuk wanita dan kanak-kanak, seperti yang terjadi di Deir Yassin dan kawasan lain pada 1940-an.

Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us