Presiden Türkiye Recep Tayyip Erdogan menyatakan bahawa kebisuan Barat terhadap genosid Gaza telah memberi semangat kepada Israel untuk teruskan pembunuhan di wilayah terkepung itu.
"Dengan galakan dari kuasa-kuasa Barat yang mengunci mulut dan menjadi semakin tidak bertanggungjawab dari hari ke hari, kerajaan Israel meneruskan dasar genosid walaupun pada Ramadan," kata Erdogan pada hari Rabu semasa majlis penyampaian hadiah pertandingan pembacaan Quran di ibu negara, Ankara.
Beliau bertegas Ankara tekad untuk melakukan "apa sahaja yang perlu untuk menghentikan penindasan dan genosid di Gaza secepat mungkin."
Beliau juga mengulangi sokongan kukuh Türkiye terhadap rakyat Palestin.
Dalam perang genosid itu, Israel telah membunuh lebih daripada 62,000 rakyat Palestin, mencederakan 110,000 lagi dan mengusir hampir keseluruhan penduduk Gaza, yang kini berdepan dengan Nakba (malapetaka dalam bahasa Arab) seperti tahun 1948 apabila Israel dan AS merancang untuk membersihkan etnik semua rakyat Palestin dari Gaza.
Perpaduan di kalangan negara Islam
Erdogan juga menyeru dunia Islam untuk bersatu dan "berpegang teguh pada persaudaraan" tanpa mengira perbezaan etnik.
"Sebagai dunia Islam, tanpa mengira sama ada Turki, Kurd, Arab, Parsi, Asia, atau Afrika, hitam atau putih, kita mesti bersatu dan berpegang teguh pada persaudaraan," kata Erdogan.
Presiden itu menyeru perpaduan "untuk menyembuhkan luka kita, menegakkan keadilan di bumi, dan mengakhiri penderitaan orang yang tertindas."