logo
Fokus Hari Ini | 17 Jun
03:38
03:38
Dunia
Fokus Hari Ini | 17 Jun
Presiden AS Donald Trump bergegas ke Washington selepas mesyuarat G7 di Kanada. Firma Turki dan Itali bekerjasama bangunkan dron tanpa pemandu.

Trump bergegas ke Washington selepas mesyuarat G7 susulan konflik Israel-Iran

Timur tengah terus bergolak susulan serangan balas di antara Tel Aviv dan Tehran.

Serangan itu, yang dimulakan oleh Israel tanpa provokasi, menyasarkan tapak nuklear, kedudukan strategik, dan membunuh saintis serta pegawai berpangkat tinggi Iran.

Amerika Syarikat, penyokong utama Israel, menyatakan sokongan terhadap serangan Tel Aviv sambil menggesa Iran untuk hadir ke meja rundingan.

Presiden AS Donald Trump berulang kali memberi amaran kepada Iran untuk tidak meneruskan serangan.

Trump bergegas meninggalkan mesyuarat G7 di Kanada dan kembali ke Washington pada Isnin untuk membincangkan situasi antara Iran dan Israel.

Polis Israel sasar wartawan, rampas peralatan media

Sementara itu, polis Israel menyerbu dan merampas peralatan di pejabat media di Haifa, termasuk TRT Arabi dan Al Ghad TV, di bawah arahan Menteri Keselamatan Negara sayap kanan Itamar Ben-Gvir.

Memetik "keselamatan negara," Ben-Gvir mendesak tindakan keras terhadap siaran asing, berikutan liputan langsung serangan peluru berpandu ke atas kilang penapisan minyak Haifa semasa serangan balas Iran pada 15 Jun.

Operasi di kilang penapisan yang rosak itu masih digantung.

Wartawan turut dipanggil untuk membuat kenyataan ketika ketegangan memuncak berhubung kebebasan media.

Israel bunuh puluhan lagi rakyat Palestin, ratusan cedera semasa berbaris ambil makanan

Sekurang-kurangnya 50 rakyat Palestin terbunuh pada Isnin selepas Israel melepaskan tembakan di tapak bantuan Yayasan Kemanusiaan Gaza yang disokong AS di Rafah, lapor pegawai Palestin.

Pakar perubatan berkata 200 orang tercedera ketika cuba mendapatkan makanan di bawah sistem pengedaran baharu Israel yang penuh kontroversi.

Sejak akhir Mei, Israel telah membunuh lebih 300 rakyat Palestin dan mencederakan hampir 3,000 orang berhampiran kawasan bantuan.

Sejak Israel melancarkan perang pembunuhan beramai-ramai ke atas Gaza pada 7 Oktober 2023, lebih 55,400 rakyat Palestin telah terkorban.

Rusia, Ukraine selesai pertukaran mayat askar yang kelima di bawah perjanjian Istanbul

Rusia dan Ukraine telah menyelesaikan pertukaran mayat askar yang kelima yang terkorban susulan perjanjian baru-baru ini di Istanbul.

Moscow memulangkan 1,248 mayat askar Ukraine, manakala Kiev menyerahkan 51 mayat askar Rusia, menjadikan jumlah keseluruhan pertukaran kepada 6,060 dari Rusia dan 78 dari Ukraine.

Kedua-dua pihak mengesahkan pertukaran banduan juga masih diteruskan selain pemindahan segera untuk mereka yang memerlukan rawatan.

Ini merupakan kerjasama yang penting ketika konflik di antara dua negara itu masih berterusan.

Baykar, Leonardo bentuk usaha sama dron generasi baharu

Dalam perjanjian penting yang diumumkan pada Pameran Udara Paris ke-55, gergasi pertahanan Turki Baykar dan gergasi aeroangkasa Itali Leonardo melancarkan usaha sama - iaitu LBA Systems - untuk menerajui sistem tanpa pemandu generasi baharu.

Pengerusi Baykar Selcuk Bayraktar memuji langkah pertahanan Türkiye, manakala Ketua Pegawai Eksekutif Leonardo, Roberto Cingolani menekankan tentang kekurangan dron di Eropah.

Pengeluaran dijangka bermula secepat mungkin di mana penggunaan dron pada kapal pengangkut pesawat Tentera Laut Itali mungkin disiapkan menjelang akhir tahun, sekali gus menguatkan lagi sistem pertahanan Eropah dan sayap timur NATO.

Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us