Israel bunuh 80 lagi rakyat Palestin di Gaza
Tentera Israel membunuh 80 lagi rakyat Palestin di beberapa kawasan di Gaza, menurut sumber perubatan yang memberitahu Anadolu Agency.
Antara yang maut merupakan 57 orang yang sedang mencari bantuan. Menurut sumber, mereka ditembak mati oleh tentera Israel.
Israel tahan dua aktivis dalam kurungan bersendirian
Israel menempatkan dua aktivis antarabangsa yang turut serta dalam misi bantuan kapal Madleen dalam kurungan bersendirian, menurut kumpulan hak asasi Israel.
Organisasi hak asasi dan pusat perundangan Adalah berkata, aktivis Brazil Thiago Avila dan ahli Parlimen Eropah berdarah Perancis-Palestin Rima Hassan telah dipindahkan ke kemudahan penjara yang berasingan, jauh daripada aktivis lain, dan diletakkan dalam kurungan bersendirian.
Kumpulan hak asasi manusia mengecam tindakan itu sebagai "satu pencabulan serius terhadap hak sukarelawan dan percubaan jelas untuk menekan mereka."
AS pindahkan kakitangan di Timur Tengah susulan ketegangan di Iran
Kedutaan AS di Iraq, Bahrain dan Kuwait sedang bersiap sedia untuk memindahkan kakitangan kedutaan dan ahli keluarga mereka susulan ketegangan yang semakin memuncak di rantau itu, menurut laporan media.
Keputusan itu dibuat selepas Presiden Donald Trump berkata beliau kurang yakin Iran akan bersetuju untuk menghentikan aktiviti pengayaan uranium dalam perjanjian nuklear dengan Washington.
Hakim AS: Trump tidak boleh menahan Mahmoud Khalil
Seorang hakim persekutuan memutuskan bahawa pentadbiran Trump tidak boleh menggunakan kepentingan dasar luar AS untuk menghalalkan penahanan pelajar Universiti Columbia dan aktivis pro-Palestin Mahmoud Khalil.
Hakim itu berkata dalam perintahnya bahawa keputusan itu tidak akan berkuat kuasa sehingga Jumaat, 13 Jun.
Hakim Michael Farbiarz juga memberi pihak kerajaan sehingga Jumaat untuk merayu keputusan itu.
Türkiye eksport 48 jet pejuang KAAN ke Indonesia
Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mengumumkan bahawa 48 jet pejuang KAAN yang dikeluarkan oleh negara itu akan dieksport ke Indonesia.
Erdogan menyifatkan perkembangan itu sebagai "kemajuan yang sangat penting dan dialu-alukan" dan berkata pesawat itu akan dipasang di Türkiye sebagai sebahagian daripada perjanjian yang ditandatangani dengan Indonesia.
Perjanjian itu termasuk peruntukan untuk menggabungkan keupayaan tempatan Indonesia dalam proses pengeluaran.