Ketika Tehran dilaporkan cuba mengurangkan ketegangan dengan Israel melalui perantara dari negara Arab, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata beliau percaya satu perjanjian nuklear baharu dengan Iran akan ditandatangani.
“Saya rasa perjanjian akan ditandatangani, atau sesuatu akan berlaku. Apa pun, perjanjian akan ditandatangani,” kata Trump kepada wartawan pada Isnin semasa pertemuan dengan Perdana Menteri Britain Keir Starmer di Sidang Kemuncak G7 di Kanada.
Beliau menyifatkan Iran sebagai “tidak bijak” kerana enggan berunding, namun tidak mengulas lanjut tentang langkah yang akan diambil Washington selepas sidang kemuncak itu tamat pada Selasa.
Trump juga enggan mengesahkan sama ada AS akan menyokong serangan Israel terhadap kemudahan nuklear Iran, walaupun beliau memuji serangan terbaharu Israel dan mengesahkan penggunaan senjata buatan AS dalam operasi tersebut.
Kenyataan itu dibuat susulan laporan bahawa Iran menghantar mesej kepada Washington dan Tel Aviv melalui negara Teluk, menyatakan kesediaannya untuk menamatkan permusuhan dan menyambung semula rundingan nuklear.
Dalam kenyataan sebelum itu bersama Perdana Menteri Kanada Mark Carney, Trump berkata: “Saya boleh katakan Iran sekarang ini tidak memenangi perang, dan mereka sepatutnya berunding — berunding dengan segera sebelum terlambat.”
Iran: Serangan Israel ‘melemahkan diplomasi nuklear’
Menurut Wall Street Journal, Tehran menggunakan perantara dari negara Arab untuk menyatakan kesediaan berunding — dengan syarat Israel menghentikan serangannya.
Laporan itu menyebut Iran menyampaikan pendirian tersebut kepada negara Teluk selepas serangan Israel pada Jumaat lalu ke atas tapak ketenteraan, nuklear dan kawasan orang awam di Iran.
Agensi berita Reuters kemudian melaporkan Iran telah meminta Qatar, Arab Saudi dan Oman untuk mendesak Trump supaya menekan Israel agar menerima gencatan senjata serta-merta.
Memetik dua sumber dari Iran dan tiga sumber serantau, laporan itu menyebut Tehran bersedia bertolak ansur dalam rundingan nuklear sekiranya Israel menghentikan serangannya.
Pemimpin negara Teluk yang dipetik dalam kedua-dua laporan berkata kerajaan mereka sedang menggesa pentadbiran AS untuk mengawal tindakan Israel bagi mengelak ketegangan menjadi lebih buruk.
Seorang sumber dari negara Teluk memberitahu Reuters bahawa kuasa serantau bimbang konflik itu boleh berlarutan dan mengancam infrastruktur tenaga serta pasaran minyak global.
Seorang lagi pegawai serantau berkata Iran telah menghubungi Qatar dan Oman bagi membantu menjadi perantara untuk menyambung semula rundingan, namun menegaskan bahawa perbincangan hanya akan diteruskan jika gencatan senjata dengan Israel dicapai terlebih dahulu.
Sementara itu, Menteri Luar Iran merangkap ketua perunding nuklearnya, Abbas Araghchi, berkata serangan Israel terhadap negaranya “melemahkan” usaha diplomasi dalam satu panggilan telefon bersama rakan sejawatnya dari Perancis, Britain dan Jerman.
“Pencerobohan Israel terhadap Iran ketika rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat sedang dirancang adalah satu tamparan terhadap diplomasi,” kata Abbas Araghchi dalam perbualan telefon yang dilaporkan oleh kementeriannya dengan Menteri Luar Perancis Jean-Noel Barrot, David Lammy dari United Kingdom, Johann Wadephul dari Jerman, serta ketua hal ehwal luar Kesatuan Eropah, Kaja Kallas.
Tiga negara Eropah dan Kesatuan Eropah, bersama China dan Rusia, merupakan penandatangan asal perjanjian nuklear Iran pada 2015, namun Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Trump menarik diri secara unilateral selepas itu.
SUMBER: TRT World & Agensi