Tentera Israel telah merampas kapal bantuan Madleen yang dalam perjalanan ke Gaza dan menundanya ke Israel, menurut Kementerian Luar negara itu pada Ahad, sambil menambah bahawa aktivis di atas kapal itu akan dihantar pulang ke negara asal mereka.
Dalam kenyataan di platform X, kementerian itu berkata kapal tersebut kini “sedang menuju ke perairan Israel” dan “para penumpang dijangka akan dihantar pulang ke negara masing-masing”.
Freedom Flotilla Coalition (FFC) mendakwa tentera Israel telah “menculik” aktivis yang menaiki kapal Madleen.
Menurut FFC, anggota tentera laut Israel menaiki kapal tersebut semasa ia masih berada di perairan antarabangsa. Tambahnya, komunikasi dengan kapal berkenaan telah terputus.
Rakaman siaran langsung sebelum itu menunjukkan bot-bot tentera Israel mengelilingi kapal tersebut, dengan tentera memberitahu semua aktivis di atas kapal supaya mengangkat tangan mereka.
Ahli Parlimen Eropah berdarah Perancis-Palestin, Rima Hassan, berkata siren dibunyikan di atas kapal Madleen selepas sebuah dron menyembur cecair putih ke atas kapal tersebut.
Perwakilan Khas PBB, Francesca Albanese, mengesahkan terdapat dua dron dilihat berlegar di ruang udara dan menyifatkannya sebagai “berbahaya”.
Kementerian Luar Israel berkata tentera lautnya telah mengarahkan Madleen menukar haluan kerana ia menghampiri kawasan yang disifatkan sebagai “zon larangan”.
Madleen, sebuah kapal sepanjang 18 meter, berlepas ke Gaza pada 1 Jun dari Pelabuhan San Giovanni Li Cuti di Catania, Sicily sebagai sebahagian daripada misi terbaharu anjuran FFC untuk memecahkan sekatan Israel dan menghantar bantuan ke Gaza.
Seramai 12 orang berada di atas kapal itu, termasuk 11 aktivis dan seorang wartawan.
Menurut penganjur, kapal tersebut membawa bekalan penting untuk rakyat Gaza termasuk susu formula bayi, tepung, beras, lampin, produk kebersihan wanita, kit penyahgaraman air, bekalan perubatan, tongkat dan anggota badan palsu untuk kanak-kanak yang cedera.
SUMBER: AA