Kadar pengangguran di United Kingdom mencapai paras tertinggi sejak Julai 2021, menurut data rasmi, susulan kenaikan cukai di UK dan pelaksanaan tarif oleh Amerika Syarikat.
Kadar itu meningkat kepada 4.6 peratus bagi tempoh tiga bulan hingga akhir April, kata Pejabat Perangkaan Kebangsaan (ONS) pada Selasa.
Ini berbanding 4.5 peratus pada suku pertama tahun ini, tambah ONS.
Data itu dikumpul sejak bermulanya kenaikan cukai perniagaan yang digariskan dalam belanjawan pertama kerajaan Parti Buruh pada Oktober lalu.
Bilangan penganggur kini mencecah kira-kira 1.6 juta setakat April.
Walaupun kadar pengangguran meningkat, kadar pekerjaan turut naik sedikit sebanyak 0.1 peratus kepada 75.1 peratus, dengan jumlah individu yang bekerja mencecah 34 juta.
April juga menyaksikan bermulanya pelaksanaan tarif sebanyak 10 peratus ke atas UK dan beberapa negara lain oleh Presiden AS Donald Trump.
Pasaran lemah
“Terdapat kelemahan dalam pasaran buruh, dengan bilangan individu yang bergaji kini menurun dengan mendadak,” kata pengarah statistik ekonomi ONS, Liz McKeown.
“Maklum balas daripada tinjauan kekosongan kerja yang kami jalankan menunjukkan sesetengah syarikat berkemungkinan besar akan menangguhkan pengambilan pekerja baharu atau menggantikan pekerja yang telah berhenti.”
Penganalisis berkata data itu — yang turut menunjukkan pertumbuhan gaji yang perlahan — berkemungkinan mendorong Bank of England untuk terus menurunkan kadar faedah sehingga 2026.
“Dengan bilangan pekerja bergaji menurun, kadar pengangguran meningkat, dan pertumbuhan gaji yang semakin perlahan, data pasaran buruh hari ini mengukuhkan keyakinan kami bahawa Bank of England akan menurunkan kadar faedah lebih jauh daripada jangkaan pelabur, kepada 3.50 peratus tahun hadapan,” kata Ruth Gregory, timbalan ketua ahli ekonomi UK di kumpulan penyelidikan Capital Economics.
Bank of England sebelum ini telah menurunkan kadar pinjaman pada Mei sebanyak suku mata kepada 4.25 peratus.
SUMBER: AFP