DUNIA
2 min membaca
AS, Israel berbeza pandangan keupayaan nuklear Iran
Washington percaya Iran masih memerlukan sekurang-kurangnya 2 ke 3 tahun untuk membina bom nuklear yang boleh digunakan, manakala Israel mendakwa ancaman itu semakin hampir.
AS, Israel berbeza pandangan keupayaan nuklear Iran
Serangan Israel sasar kemudahan nuklear dan ketenteraan Iran. / AP
17 Jun 2025

Amerika Syarikat dan Israel berbeza pandangan mengenai sejauh mana keupayaan Iran dalam usahanya membangunkan senjata nuklear, dengan penilaian perisikan AS menunjukkan Tehran masih memerlukan beberapa tahun, manakala Tel Aviv bertegas ancaman itu sudah hampir, menurut laporan media pada Selasa.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mendakwa Iran sedang berlumba untuk membangunkan senjata, yang mencetuskan siri serangan Israel ke atas infrastruktur nuklear dan ketenteraan Iran, menurut CNN.

Namun begitu, empat sumber yang mengetahui perkara itu memberitahu CNN bahawa perisikan AS tidak percaya Iran sedang membina bom nuklear pada masa ini dan menganggarkan ia akan mengambil sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun lagi untuk menghasilkan dan menggunakannya.

Serangan baru-baru ini merosakkan beberapa kemudahan nuklear seperti Natanz tetapi tidak menjejaskan tapak pengayaan Fordow yang dikawal dengan ketat.

Menurut pakar pertahanan yang dipetik dalam laporan itu, untuk merosakkan kemudahan Fordow, Israel memerlukan senjata khas dan sokongan udara dari AS.

“Israel boleh berada di atas kemudahan nuklear itu dan menyebabkan ia tidak berfungsi, tetapi jika mahu melumpuhkannya sepenuhnya, pilihan yang ada hanyalah serangan ketenteraan AS atau satu perjanjian baharu,” kata Brett McGurk.

Trump: ‘Saya tak peduli apa risikan kata’

Perbezaan penilaian ini mencetuskan dilema bagi pentadbiran Trump yang cuba mengelak ketegangan daripada melarat dan pada masa sama bersiap sedia menghadapi kemungkinan serangan balas.

Pengarah Perisikan Kebangsaan Tulsi Gabbar berkata pada Mac lalu bahawa komuniti perisikan “berpuas hati bahawa Iran tidak membina senjata nuklear”.

Namun Trump menolak kenyataan Gabbar dengan berkata, “Saya tak peduli apa dia cakap — saya rasa mereka sangat hampir untuk memilikinya.”

Ketegangan serantau memuncak sejak Jumaat lalu apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi di Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklearnya, yang menyebabkan serangan balas dari Tehran.

Pihak berkuasa Israel berkata sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh dan ratusan lagi cedera akibat serangan peluru berpandu Iran.

Iran pula menyatakan sekurang-kurangnya 224 orang terbunuh dan lebih 1,000 lagi cedera dalam serangan Israel.

SUMBER: TRT World dan Agensi

Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us