Pentagon akan menghantar lebih banyak jet pejuang ke Timur Tengah ketika ketegangan antara Israel dan Iran terus memuncak, menurut laporan media.
Bercakap kepada Fox News pada Selasa, seorang pemimpin AS berkata selain daripada jet pejuang tambahan, Pentagon turut melanjutkan penempatan jet F-16, F-22 dan F-35 yang telah pun berada di Timur Tengah.
Pada Isnin, Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth mengesahkan AS telah menghantar aset ketenteraan tambahan ke Timur Tengah, satu langkah yang menurut beliau dan pegawai kanan pentadbiran Trump lain sebagai satu bentuk “pertahanan”, ketika spekulasi memuncak bahawa pasukan AS mungkin menyertai serangan ketenteraan Israel.
Seorang lagi pegawai pertahanan memberitahu agensi Anadolu bahawa Hegseth telah mengarahkan Kumpulan Serangan Kapal Pengangkut Pesawat Nimitz ke kawasan CENTCOM bagi mengekalkan “pendirian pertahanan kami dan melindungi kakitangan Amerika.”
Ketegangan serantau memuncak sejak Jumaat lalu apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi di Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, yang menyebabkan Tehran melancarkan serangan balas.
Pihak berkuasa Israel berkata sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh dan ratusan lagi cedera akibat serangan peluru berpandu Iran.
Iran pula melaporkan sekurang-kurangnya 224 orang terbunuh dan lebih 1,000 cedera susulan serangan Israel.
SUMBER: AA